Aksesori Lain

  • Gaza harus dihapuskan atas ‘sebab-sebab Zionis’ – Menteri Israel

    Gaza harus dihapuskan sepenuhnya, kata Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich, sambil menyifatkan penduduknya sebagai “Nazi” dan menuntut agar Israel mengambil alih seluruh wilayah itu atas “sebab-sebab Zionis dan keselamatan”, menurut berita RT bertarikh 13 Okt.

    Berucap di satu acara awam pada Isnin, pemimpin Parti Religious Zionist itu mempertahankan sokongannya sebelum ini terhadap gesaan untuk menghapuskan Huwara, sebuah pekan Palestin di Tebing Barat yang diduduki, lapor RT.

    Dia mendakwa pengkritik telah menyalah tafsir kenyataannya seolah-olah dia menyokong pembunuhan wanita dan kanak-kanak.

    “Ya, kita perlu menghapuskan Gaza, sebagai contoh. Bukan melakukan genosid, dijauhkan Tuhan,” kata Smotrich.

    Dia menyifatkan Gaza sebagai “entiti pengganas dengan 1.8 juta orang Nazi” yang dididik sejak turun-temurun untuk membenci Israel, serta mendakwa mereka mampu melakukan penyembelihan, rogol, dan pembunuhan kanak-kanak.

    Entiti sedemikian “tidak sepatutnya wujud,” katanya, sambil menambah bahawa perkara yang sama terpakai untuk Huwara.

    Smotrich seterusnya menuntut penguasaan penuh Israel ke atas wilayah enklaf itu.

    “Saya tidak mahu Gush Katif. Saya mahukan seluruh Gaza,” katanya, merujuk kepada blok penempatan Israel yang dikosongkan pada tahun 2005.

    “Saya mahu Gaza menjadi milik kita. Saya mahukannya atas sebab-sebab Zionis. Saya mahukannya atas sebab-sebab keselamatan.”

    Smotrich dan rakan menteri dalam gabungan kerajaan, Itamar Ben-Gvir, berulang kali menyokong usaha mewujudkan semula penempatan Israel di Gaza.

    Bulan lalu, Ben-Gvir mengemukakan cadangan untuk memindahkan kebanyakan penduduk ke luar negara dalam tempoh tujuh tahun di bawah label “penghijrahan sukarela” walaupun terdapat tentangan daripada rakyat Palestin untuk meninggalkan tempat tinggal mereka.

    Smotrich, seorang peneroka di Tebing Barat yang turut menyelia hal ehwal awam di wilayah yang diduduki itu, telah menyokong perluasan penempatan yang bertujuan menghalang pembentukan negara Palestin.

    Pada Julai, dia mengumumkan peruntukan lebih AS$400 juta untuk 34 penempatan baharu, lapor RT, projek E1 di timur Baitulmaqdis telah mencetuskan kecaman antarabangsa kerana ia mengancam untuk memecahbelahkan wilayah negara Palestin pada masa depan.

    Perluasan penempatan ini berlaku seiring dengan peningkatan keganasan oleh peneroka.

    Menurut RT, data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dipetik pada Julai menunjukkan sekurang-kurangnya 117 komuniti Palestin telah dipaksa berpindah sepenuhnya atau sebahagiannya akibat serangan peneroka.

    Retorik mengenai wilayah ini juga telah melangkaui sempadan Gaza dan Tebing Barat.

    Menurut laporan RT, Netanyahu telah menzahirkan sokongan terhadap visi “Israel Raya”, manakala utusan AS ke Israel, Mike Huckabee, memberitahu Tucker Carlson pada Februari bahawa “tidak mengapa jika mereka mengambil semuanya” apabila ditanya mengenai tuntutan berasaskan kitab suci Yahudi yang merangkumi wilayah dari Sungai Nil hingga ke Sungai Euphrates.

    Satu suruhanjaya PBB membuat kesimpulan tahun lalu bahawa Israel telah melakukan genosid di Gaza, sementara Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) secara berasingan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel telah menolak dakwaan tersebut.

    Israel melancarkan serangan di Gaza susulan serangan (yang didakwa) diketuai oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, yang (dilaporkan) mengorbankan kira-kira 1,200 rakyat Israel, kebanyakannya orang awam. Sejak itu, lebih daripada 74,000 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 21,000 kanak-kanak, dilaporkan telah terbunuh di Gaza.

  • 13 dilapor lemas bot terbalik di India

    Sebuah bot terbalik di negeri Bihar, timur India, menyebabkan 13 orang lemas, kebanyakannya kanak-kanak, lapor Reuters memetik polis, manakala enam diselamatkan.

    Bot terbabit terbalik pada Selasa di daerah Vaishali, yang terletak di bahagian tengah negeri itu, ketika membawa penumpang ke satu majlis jamuan di kampung berdekatan, kata magistret daerah, Varsha Singh, kepada pihak media.

    Polis sedang menyiasat punca kejadian, kata pegawai polis wilayah Subodh Kumar pada Rabu, sambil memaklumkan jumlah mereka yang diselamatkan, menurut Reuters.

  • Bunyi letupan kuat dilapor kedengaran dekat ibu pejabat Saudi Aramco di Dhahran

    Bunyi letupan kuat kedengaran di sekitar ibu pejabat Saudi Aramco di Dhahran pada malam Selasa, menurut berita Reuters memetik enam sumber yang memberitahunya.

    Bagaimanapun Reuters melaporkan, tiada sebarang kenyataan rasmi atau pengesahan daripada Aramco.

    Satu sumber berkata ibu pejabat Aramco terbakar, lapor Reuters, empat daripada sumber itu memaklumkan arahan pengosongan bangunan telah dikeluarkan.

    Menurut Reuters, satu sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu memberitahunya bahawa ibu pejabat Aramco kena serangan, namun menambah bahawa tidak dapat dipastikan sama ada bangunan itu kena secara langsung atau akibat serpihan yang jatuh.

    Pekerja Aramco diarahkan untuk bekerja dari rumah pada Rabu, lapor Reuters memetik satu sumber yang memberitahunya.

  • 4 maut letupan periuk api dekat Garis Kawalan Kashmir

    Empat pemuda dilapor terbunuh pada Selasa apabila sebutir periuk api meletup dekat Garis Kawalan (LoC) di wilayah Kashmir ditadbir oleh Pakistan.

    Letupan itu berlaku dekat kampung Mahandlah dan Madarpur di daerah Poonch, lokasi mangsa pergi untuk membaiki saluran paip air di sebuah mata air, lapor berita Anadolu memetik Geo TV.

    Direktorat Am Perhubungan Awam (DGPR) di wilayah Kashmir ditadbir Pakistan berkata keempat-empat mereka sedang melakukan kerja rutin apabila periuk api itu meletup, membunuh mereka serta-merta.

    Mangsa dikenal pasti sebagai Faizan Sagheer, Ishtiaq, Asim Rafiq, dan Waqas Sharif.

    Menurut Anadolu, saluran penyiaran India, NDTV, mendakwa semua lelaki terbabit sedang cuba menceroboh masuk ke wilayah India.

    Insiden ini berlaku susulan kematian dua orang awam Pakistan dekat sempadan antarabangsa pada awal bulan ini.

  • China jatuhkan hukuman mati 3 ketua kumpulan jenayah berpangkalan di Myanmar

    Mahkamah China menjatuhkan hukuman mati terhadap tiga ahli utama kumpulan jenayah berpangkalan di Myanmar pada Selasa atas jenayah termasuk penipuan telekomunikasi dan perjudian, lapor berita Anadolu memetik media kerajaan.

    Mahkamah Rakyat Pertengahan di Quanzhou dan sebuah mahkamah di Nan’an, kedua-duanya di wilayah Fujian, timur China, menjatuhkan hukuman itu terhadap ahli rangkaian jenayah keluarga Wei, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Xinhua milik kerajaan.

    Tiga lagi tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala 55 orang lagi dikenakan hukuman penjara antara tiga tahun tiga bulan hingga 24 tahun.

    Mahkamah turut mengenakan hukuman tambahan, termasuk denda, perampasan harta benda, dan pengusiran.

    Menurut pihak berkuasa China, sindiket itu mengendalikan kawasan jenayah di wilayah Kokang, Myanmar, serta terbabit dalam penipuan telekomunikasi, perjudian, pemerasan, dan aktiviti haram lain.

    Keputusan mahkamah ini dibuat ketika Beijing mempergiatkan tindakan keras terhadap rangkaian penipuan rentas sempadan yang beroperasi di Myanmar.

    Pada Februari, China melaksanakan hukuman mati terhadap 15 ahli kumpulan jenayah berpangkalan di Myanmar yang disabitkan kesalahan termasuk pembunuhan, penipuan telekomunikasi, dan pengedaran dadah, lapor Anadolu.

    Menurut pihak berkuasa China, lapor Anadolu, lebih 7,600 warga China yang disyaki terbabit dalam penipuan telekomunikasi telah dibawa pulang dari Myanmar tahun lalu.

  • 8 cedera amuk tikaman di kompleks komersial Korea Selatan

    Lapan orang cedera pada Selasa selepas seorang suspek lelaki mengamuk dan melakukan serangan tikaman di dalam sebuah kompleks komersial yang menempatkan sebuah kedai diskaun di bandar pelabuhan Incheon, barat Korea Selatan, menurut berita Xinhua memetik agensi berita Yonhap.

    Satu panggilan kecemasan diterima sekitar jam 1:49 petang waktu tempatan bagi melaporkan kejadian tikaman itu.

    Suspek, yang dipercayai berusia dalam lingkungan 60-an, telah ditahan kerana didakwa menyerang dan melukakan pembeli serta pengunjung menggunakan senjata tajam.

    Suspek didakwa memegang senjata sambil bergerak menaiki eskalator dari tingkat bawah tanah kedua—tempat kedai diskaun itu terletak—menuju ke tingkat dua, sebelum berjaya ditumpaskan oleh pengunjung lain di lokasi kejadian.

    Menurut saksi, lelaki itu melakukan serangan dengan pisau yang diikat pada kedua-dua belah tangannya.

  • 5 maut, 30 cedera tren tergelincir di Punjab, Pakistan

    Sekurang-kurangnya lima penumpang maut dan 30 lagi cedera selepas semua 14 gerabak sebuah kereta api penumpang tergelincir di wilayah Punjab, timur Pakistan pada awal pagi Selasa, menurut pihak polis, lapor berita Xinhua.

    “Kemalangan itu berlaku di daerah Multan apabila kereta api Rehman Baba Express, yang dalam perjalanan dari bandar pelabuhan selatan Karachi ke bandar Peshawar di barat laut, terkeluar dari landasan,” kata sumber polis daerah itu kepada Xinhua.

  • 10 pelombong maut selepas bas mini jatuh sungai di Bolivia

    Sekurang-kurangnya 10 pelombong maut dan empat lagi parah pada Isnin selepas sebuah bas mini terjunam kira-kira 25 meter ke dasar sungai di jabatan barat La Paz, Bolivia, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai tempatan.

    Menurut Ricardo Terrazas, komander polis jabatan itu, kemalangan berlaku di daerah Tres Rios dalam kawasan perbandaran Irupana pada awal pagi ketika para pelombong dalam perjalanan ke tempat kerja di lombong 15 de Agosto di wilayah Yungas.

    Bas mini pengangkutan awam itu terjunam ke dasar sungai dan merempuh batu-batan, menurut laporan awal.

    Penduduk tempatan adalah pihak pertama yang tiba di lokasi kejadian dan mula menyelamatkan mangsa yang terselamat sebelum pihak polis sampai ke tempat kemalangan.

    Dilaporkan, empat mangsa yang terselamat dan mengalami kecederaan parah telah dibawa ke hospital di kawasan metropolitan La Paz untuk rawatan.

  • Tentera Yaman mengeluarkan kenyataan mengenai pencerobohan terkini Arab Saudi

    Jurucakap Angkatan Tentera Yaman mengumumkan jumlah keseluruhan tindakan pencerobohan Arab Saudi—yang merangkumi serangan udara dan serangan peluru berpandu—telah mencecah 2,177 sejak peningkatan baharu permusuhan, menurut berita Mehr disiarkan pada 12 Okt di webnya.

    Mehr menyatakan, menurut saluran televisyen tempatan Yaman, Al-Masirah TV, Yahya Saree, jurucakap Angkatan Tentera Yaman itu, menyatakan pada Isnin bahawa pihak penceroboh Arab Saudi telah melancarkan 119 serangan udara dan serangan peluru berpandu terhadap Yaman dalam 24 jam lalu.

    Jurucakap itu menambah bahawa serangan Arab Saudi itu menyasarkan kawasan awam di ibu negara (Sanaa) serta wilayah Al-Jawf, Taiz, Saada, Marib, Lahj, Al-Bayda, dan Ibb. Serangan oleh pihak penceroboh Arab Saudi ini telah mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam, termasuk kematian dan kecederaan membabitkan wanita serta kanak-kanak.

    Yahya Saree turut memaklumkan bahawa serangan udara Arab Saudi itu dilakukan oleh jet pejuang F-15 dan Typhoon yang berlepas dari pangkalan udara Khamis Mushait dan Taif, manakala serangan peluru berpandu dilancarkan dari wilayah Najran dan Jizan. Jumlah keseluruhan serangan udara dan serangan peluru berpandu Arab Saudi ke atas negara mencecah 2,177 sejak konflik memuncak.

  • Letupan kuat gegar Sanaa, ibu negara Yaman dikuasai Houthi

    Satu siri serangan menggegarkan Sanaa, ibu negara Yaman dikuasai Houthi, lewat Isnin, dengan bunyi letupan kedengaran di seluruh bandar raya itu, menurut berita Xinhua memetik penduduk tempatan memberitahunya.

    Penduduk dihubungi melalui telefon berkatabeberapa letupan kuat kedengaran berturut-turut di seluruh Sanaa.

    Sasaran serangan tidak diketahui dengan jelas, dan tiada laporan segera mengenai korban jiwa atau kerosakan harta benda.

    Letupan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Yaman, di mana pertempuran baharu di beberapa barisan hadapan disertai dengan peningkatan serangan rentas sempadan antara kumpulan Houthi dan Arab Saudi.

    Gabungan pimpinan Arab Saudi berkata lewat Isnin bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik dilancarkan oleh kumpulan Houthi ke arah Khamis Mushait, sebuah bandar di barat daya Arab Saudi.

    Terdahulu, kumpulan Houthi dilapor berkata mereka telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik baharu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, ibu negara Arab Saudi, manakala gabungan pimpinan Arab Saudi berkata pasukannya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik Houthi disasarkan ke Riyadh.