Gaza harus dihapuskan sepenuhnya, kata Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich, sambil menyifatkan penduduknya sebagai “Nazi” dan menuntut agar Israel mengambil alih seluruh wilayah itu atas “sebab-sebab Zionis dan keselamatan”, menurut berita RT bertarikh 13 Okt.
Berucap di satu acara awam pada Isnin, pemimpin Parti Religious Zionist itu mempertahankan sokongannya sebelum ini terhadap gesaan untuk menghapuskan Huwara, sebuah pekan Palestin di Tebing Barat yang diduduki, lapor RT.
Dia mendakwa pengkritik telah menyalah tafsir kenyataannya seolah-olah dia menyokong pembunuhan wanita dan kanak-kanak.
“Ya, kita perlu menghapuskan Gaza, sebagai contoh. Bukan melakukan genosid, dijauhkan Tuhan,” kata Smotrich.
Dia menyifatkan Gaza sebagai “entiti pengganas dengan 1.8 juta orang Nazi” yang dididik sejak turun-temurun untuk membenci Israel, serta mendakwa mereka mampu melakukan penyembelihan, rogol, dan pembunuhan kanak-kanak.
Entiti sedemikian “tidak sepatutnya wujud,” katanya, sambil menambah bahawa perkara yang sama terpakai untuk Huwara.
Smotrich seterusnya menuntut penguasaan penuh Israel ke atas wilayah enklaf itu.
“Saya tidak mahu Gush Katif. Saya mahukan seluruh Gaza,” katanya, merujuk kepada blok penempatan Israel yang dikosongkan pada tahun 2005.
“Saya mahu Gaza menjadi milik kita. Saya mahukannya atas sebab-sebab Zionis. Saya mahukannya atas sebab-sebab keselamatan.”
Smotrich dan rakan menteri dalam gabungan kerajaan, Itamar Ben-Gvir, berulang kali menyokong usaha mewujudkan semula penempatan Israel di Gaza.
Bulan lalu, Ben-Gvir mengemukakan cadangan untuk memindahkan kebanyakan penduduk ke luar negara dalam tempoh tujuh tahun di bawah label “penghijrahan sukarela” walaupun terdapat tentangan daripada rakyat Palestin untuk meninggalkan tempat tinggal mereka.
Smotrich, seorang peneroka di Tebing Barat yang turut menyelia hal ehwal awam di wilayah yang diduduki itu, telah menyokong perluasan penempatan yang bertujuan menghalang pembentukan negara Palestin.
Pada Julai, dia mengumumkan peruntukan lebih AS$400 juta untuk 34 penempatan baharu, lapor RT, projek E1 di timur Baitulmaqdis telah mencetuskan kecaman antarabangsa kerana ia mengancam untuk memecahbelahkan wilayah negara Palestin pada masa depan.
Perluasan penempatan ini berlaku seiring dengan peningkatan keganasan oleh peneroka.
Menurut RT, data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dipetik pada Julai menunjukkan sekurang-kurangnya 117 komuniti Palestin telah dipaksa berpindah sepenuhnya atau sebahagiannya akibat serangan peneroka.
Retorik mengenai wilayah ini juga telah melangkaui sempadan Gaza dan Tebing Barat.
Menurut laporan RT, Netanyahu telah menzahirkan sokongan terhadap visi “Israel Raya”, manakala utusan AS ke Israel, Mike Huckabee, memberitahu Tucker Carlson pada Februari bahawa “tidak mengapa jika mereka mengambil semuanya” apabila ditanya mengenai tuntutan berasaskan kitab suci Yahudi yang merangkumi wilayah dari Sungai Nil hingga ke Sungai Euphrates.
Satu suruhanjaya PBB membuat kesimpulan tahun lalu bahawa Israel telah melakukan genosid di Gaza, sementara Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) secara berasingan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel telah menolak dakwaan tersebut.
Israel melancarkan serangan di Gaza susulan serangan (yang didakwa) diketuai oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, yang (dilaporkan) mengorbankan kira-kira 1,200 rakyat Israel, kebanyakannya orang awam. Sejak itu, lebih daripada 74,000 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 21,000 kanak-kanak, dilaporkan telah terbunuh di Gaza.
