Nur

  • Pesawat pejuang Su-30SM Rusia terhempas di wilayah Kaliningrad, juruterbang cedera

    Kementerian Pertahanan Rusia berkata pada Rabu, sebuah pesawat pejuang Su-30SM Rusia terhempas di wilayah Kaliningrad ketika penerbangan latihan yang dijadualkan, menurut berita Anadolu.

    Kedua-dua juruterbang dilaporkan melenting keluar sebelum pesawat itu jatuh.

    Dilaporkan kru terbabit diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat darat, dan nyawa mereka tidak dalam bahaya.

    Anadolu melaporkan, menurut media Rusia yang memetik sumber, pesawat terbabit terhempas di daerah Chernyakhovsky, di antara petempatan Timofeyevka dan Zelyony Bor.

    Kedua-dua juruterbang mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital tentera, Anadolu memetik laporan media itu.

  • 460 dipindahkan selepas feri terbakar di luar pantai Jawa, Indonesia

    Semua 460 orang dalam feri penumpang yang terbakar di luar pantai Pulau Jawa, Indonesia pada petang Selasa dipindahkan dengan selamat, dengan 11 orang memerlukan rawatan perubatan, lapor berita Xinhua memetik Agensi Mencari dan Menyelamat Banten yang berkata pada malam Selasa.

    Dilaporkan, feri terbabit — KMP Batu Mandi, membawa 420 penumpang dan 40 anggota kru apabila kebakaran berlaku kira-kira jam 4:15 petang waktu tempatan, dekat pelabuhan Merak di wilayah Banten.

    Merak merupakan pelabuhan feri utama menghubungkan Pulau Jawa dan Pulau Sumatra merentasi Selat Sunda, yang merupakan satu daripada laluan feri paling sibuk di Indonesia.

  • 5 peluru berpandu sasar istana presiden di Aden, Yaman

    Lima peluru berpandu menyasarkan istana presiden yang menempatkan kerajaan Yaman disokong oleh gabungan pimpinan Arab Saudi di bandar pelabuhan selatan Aden pada Khamis, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai keselamatan tempatan yang memberitahunya.

    Pegawai terbabit, yang enggan namanya didedahkan, dilapor berkata peluru berpandu itu menyasarkan Istana Al-Ma’ashiq di daerah Crater, Aden, sambil menuding jari kepada kumpulan Houthi sebagai pihak bertanggungjawab.

    Menurutnya, maklumat mengenai korban atau cedera dan kerosakan masih belum diketahui.

    Letupan kuat menggegarkan Aden, dengan kepulan asap kelihatan naik dari kawasan sekitar istana, lapor Xinhua memetik seorang wartawannya di lapangan.

    Penduduk berhampiran mengatakan letupan itu menggegarkan rumah mereka.

    Sementara itu, kumpulan Houthi pada Khamis mengulangi amaran kepada penerbangan antarabangsa bahawa ruang udara dan lapangan terbang Arab Saudi adalah “tidak selamat”, lapor Xinhua.

    Dalam satu kenyataan di X, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, dilapor berkata amaran itu merangkumi ruang udara dan lapangan terbang Arab Saudi, kecuali ruang udara di atas kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah.

    Menurut Xinhua, terdahulu pada hari yang sama, Sarea dalam satu kenyataan berasingan berkata bahawa pihak Houthi tidak melancarkan sebarang serangan ke arah wilayah Arab Saudi pada hari itu, sekali gus menafikan dakwaan Arab Saudi bahawa satu serangan telah ditujukan ke arah Madinah.

  • Gabungan pimpinan Arab Saudi kata peluru berpandu jelajah dipintas, dimusnahkan di wilayah Medina

    Gabungan pimpinan Arab Saudi di Yaman berkata pada Khamis bahawa mereka memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu jelajah di wilayah Medina, menurut berita Xinhua.

    Jurucakap gabungan, Turki Al-Maliki, dilapor berkata di X bahawa pertahanan udara Arab Saudi telah memintas dan memusnahkan peluru berpandu jelajah itu.

  • 2 maut banjir kilat di Istanbul

    Dua orang maut di Istanbul selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat, dengan curahan hujan mencecah hampir 200 kg bagi setiap meter persegi, menurut pihak berkuasa pada Khamis, lapor berita Xinhua.

    Menurut Pejabat Gabenor Istanbul, lapor Xinhua, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut akibat renjatan elektrik selepas terpijak takungan air di kawasan kejiranan Balat, daerah Fatih. Dalam satu kejadian berasingan di daerah Sariyer, seorang pejalan kaki berusia 34 tahun maut selepas tergelincir di dalam air banjir ketika melintasi jalan raya.

  • AS dilapor pertimbang serangan guna “ibu kepada segala bom” terhadap Iran

    Tentera Amerika Syarikat (AS) merangka pelan serangan baharu yang mungkin membabitkan penggunaan apa yang digelar “Ibu kepada Segala Bom” (MOAB) untuk menyasarkan infrastruktur tenaga dan tapak nuklear Iran, sekiranya Presiden Donald Trump mengarahkan penyambungan semula operasi tempur, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya pertengahan penggal, menurut berita Xinhua memetik CNN melaporkan pada Khamis, memetik beberapa pegawai AS yang mengetahui perkara itu.

    “Penggunaan GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast Bomb atau MOAB, bom bukan nuklear terbesar dalam inventori AS, buat kali pertama dalam konflik dengan Iran akan menandakan peningkatan ketegangan yang ketara. Walau bagaimanapun, timbul keraguan mengenai sejauh mana keberkesanannya dalam mencapai objektif strategik yang ditetapkan oleh Trump, atau dalam mengubah keseimbangan perang,” lapor Xinhua memetik laporan itu, yang memetik beberapa sumber yang arif mengenai perbincangan perancangan ketenteraan dalaman berhubung kemungkinan penggunaan senjata terbabit.

    Perkembangan ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang berterusan antara Washington dan Tehran, meskipun terdapat usaha diplomatik untuk menamatkan konflik.

    Pada 8 Oktober, Trump berkata bahawa AS tidak akan melancarkan serangan baharu terhadap Iran sebelum pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November, dengan merujuk kepada perbincangan yang sedang berlangsung bersama pegawai-pegawai Iran, namun tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan lanjut selepas tarikh itu.

    MOAB, yang mempunyai berat kira-kira 21,000 paun (9,525 kg), direka untuk memusnahkan sasaran di kawasan luas.

  • Trump dilapor berkata pembocor maklumat patut ditembak kerana dedah masa serangan terhadap Iran

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Rabu bahawa pembocor maklumat patut ditembak, mendakwa dia membatalkan serangan terhadap Iran selepas masa serangan itu dibocorkan kepada pihak media, menurut berita Anadolu.

    “Pembocor maklumat patut, pada pendapat saya, pembocor maklumat patut ditembak. Dahulu, kita memang menembak pembocor maklumat,” katanya pada satu perhimpunan di Arizona.

    Trump berkata, pesawat pengebom halimunan B-2 telah dikerahkan “untuk memastikan mereka tidak memiliki senjata nuklear” dan bahawa “Iran sedang menunggu” ketibaan mereka.

    “Ada pihak yang membocorkan maklumat, seorang yang sangat hina. Mereka patut dipenjara dan ditembak. Mereka sepatutnya meringkuk dalam penjara seumur hidup,” katanya.

    “Mereka membocorkan maklumat bahawa kami berlepas pada 12:07 dari Missouri, dan ia (dilaporkan) dalam New York Times, CNN. Mereka membocorkan masa kami berlepas dan masa kami akan tiba,” tambah Trump, seperti dilaporkan.

    Trump berkata bahawa dua hari kemudian, serangan itu diteruskan pada waktu yang sama.

    “Itulah satu-satunya masa mereka tidak menjangkakan kehadiran kami,” katanya.

    Dia menyifatkan pembocor maklumat sebagai “golongan paling hina di muka bumi” sambil menambah bahawa mereka “perlu dikenakan tindakan yang sangat, sangat tegas.”

  • Polis Jerman kenal pasti 3 warga India maut dalam kebakaran di Bochum

    Polis Jerman mengenal pasti tiga warga India yang maut dalam satu kebakaran awal Selasa di sebuah bangunan pangsapuri berbilang keluarga di Bochum, dan menahan seorang penghuni bangunan itu yang berusia 41 tahun buat sementara waktu, lapor berita Anadolu.

    Pihak berkuasa berkata pada Rabu bahawa mangsa terdiri daripada dua wanita, masing-masing berusia 25 dan 27 tahun, serta seorang lelaki berusia 26 tahun, semuanya warga India.

    Polis dan pihak pendakwa raya menolak kemungkinan kerosakan teknikal sebagai punca kebakaran itu susulan siasatan menyeluruh yang turut membabitkan pakar kebakaran.

    Kenyataan itu menyebut hasil siasatan menimbulkan kecurigaan terhadap penghuni berusia 41 tahun itu. Dia telah ditahan buat sementara waktu dan telah disoal siasat oleh penyiasat daripada unit siasatan kes pembunuhan, menurut kenyataan itu. Siasatan lanjut sedang diteruskan di bawah arahan pejabat pendakwa raya Bochum dan dikendalikan oleh unit siasatan kes pembunuhan, lapor Anadolu.

  • Dua warga emas dimasukkan ke hospital selepas diserang dengan tukul

    Dua lelaki warga emas dimasukkan ke hospital selepas diserang dengan tukul dalam kejadian berasingan yang berlaku secara rawak di barat laut Sydney pada malam Selasa dan pagi Rabu, lapor berita Xinhua.

    Polis berkata, kejadian pertama berlaku sekitar jam 9 malam pada Selasa apabila seorang lelaki berusia 75 tahun bertindak balas terhadap ketukan di pintu hadapan rumahnya di Eastwood, kira-kira 15 km ke barat laut pusat bandar Sydney, lalu dipukul pada bahagian muka dengan tukul.

    Pasukan kecemasan telah dipanggil ke lokasi kejadian dan lelaki itu dibawa ke hospital dalam keadaan stabil.

    Dalam kejadian kedua, seorang lelaki berusia 71 tahun dipukul beberapa kali pada bahagian muka dan kepala menggunakan tukul di sebuah taman di Eastwood sejurus sebelum jam 7 pagi pada Rabu.

    Dia menerima rawatan daripada paramedik ambulans dan dibawa ke hospital dalam keadaan serius namun stabil.

    Polis berkata, kedua-dua kejadian itu dipercayai berlaku secara rawak dan telah mengeluarkan imej CCTV seorang suspek lelaki berusia lingkungan 30-an, serta menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai serangan terbabit supaya menghubungi pihak penyiasat.

  • Tiada amaran daripada sekutu ketika peluru berpandu Rusia hentam Kiev

    Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata pada Rabu bahawa Ukraine tidak menerima amaran awal daripada sekutu Baratnya sebelum peluru berpandu balistik Rusia melanda ibu negara Ukraine, Kiev, pada malam Selasa, menandakan kejadian kedua seumpamanya pada minggu ini, lapor berita Xinhua.

    Seorang terbunuh dan enam yang lain cedera selepas serangan itu merosakkan sebuah bangunan kediaman, kata Zelensky dalam satu hantaran di Facebook, menurut Xinhua.

    Satu daripada loji janakuasa utama Kiev turut menjadi sasaran, katanya.

    Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada hujung minggu bahawa Rusia dan Ukraine telah bersetuju untuk melaksanakan “gencatan senjata tenaga”, lapor Xinhua, Zelensky kemudian berkata “jika pihak Rusia bersetuju dengan gencatan senjata tenaga, Ukraine akan bersetuju”.

    Trump dilapor memberitahu pemberita pada Selasa bahawa Washington masih berkongsi risikan dengan Ukraine dan bekerjasama dengan kedua-dua pihak, Kiev dan Moscow, untuk menamatkan perang.

    “Kami membantu mereka, dan kami berkongsi risikan.”

    Letupan kedengaran lagi di Kiev pada awal Rabu ketika Rusia melancarkan peluru berpandu balistik ke arah bandar itu, lapor agensi berita Ukrinform — menurut Xinhua.