Satu kemalangan jalan raya berlaku di Vladivostok, Rusia, menyebabkan enam orang cedera, menurut berita Xinhua memetik laporan media pada Khamis.
Nur
-
6 maut, 4 cedera dalam kemalangan lebuh raya di tengah China
Enam orang maut dan empat lagi cedera dalam kemalangan di lebuh raya di bandar Huaihua, wilayah Hunan, tengah China, pada awal pagi Khamis, menurut berita Xinhua memetik polis trafik tempatan.
Kemalangan itu berlaku pada kira-kira jam 2:07 pagi di bahagian Huaihua lebuh raya Shanghai-Kunming, menurut Xinhua memetik kenyataan polis lebuh raya wilayah itu.
Sebuah trak separa treler berat yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 57 tahun dalam perjalanan dari arah timur ke barat apabila ia bergesel dengan sebuah kereta, lalu melanggar sebuah lagi kereta di hadapannya. Trak itu hilang kawalan dan menolak sebuah kereta ketiga ke hadapan, menyebabkan kebakaran, menurut siasatan awal.
Kemalangan itu mengakibatkan enam orang maut dan empat cedera, serta menyebabkan kerosakan pada empat buah kenderaan pada tahap yang berbeza-beza.
-

Bilionair Zimbabwe, Wicknell Chivayo, dan isterinya maut dalam nahas helikopter
Bilionair Zimbabwe, Wicknell Chivayo, dan isterinya, Lucy Muteke, meninggal dunia selepas helikopter persendirian yang mereka naiki terhempas di timur Zimbabwe pada Rabu, menurut berita Anadolu.
Jurucakap keluarga, Herbert Chivayo, berkata pasangan itu dalam perjalanan bersama empat yang lain apabila helikopter terbabit terhempas di Marondera, ibu kota wilayah Mashonaland East, di sebelah timur ibu negara Harare.
“Kami kehilangan kata-kata selepas menerima berita tragis ini,” katanya kepada Zimbabwe Broadcasting Corporation (ZBC), lapor Anadolu.
Menurut Anadolu, terdahulu, jurucakap kerajaan, Nick Mangwana, mengesahkan nahas itu dan mengatakan helikopter terbabit membawa “seorang ahli perniagaan terkemuka, tiga penumpang lain, dan dua juruterbang”.
“Maklumat terkini menunjukkan tiada mangsa yang terselamat dalam nahas ini. Kami mengucapkan takziah dan doa kepada mangsa, keluarga, serta rakan-rakan mereka pada saat yang sukar ini,” Mangwana dilapor sebagai berkata menerusi X.
Jurucakap polis Zimbabwe, Paul Nyathi, turut mengesahkan nahas itu dan mengatakan terdapat enam orang di dalam helikopter terbabit, lapor Anadolu.
Chivayo, 42, adalah ahli perniagaan terkemuka yang dikenali dengan gaya hidup mewahnya. Dia juga mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Emmerson Mnangagwa serta parti pemerintah, Zimbabwe African National Union-Patriotic Front (ZANU-PF).
-
6 maut dalam nahas helikopter di Zimbabwe
Enam orang terkorban pada petang Rabu apabila sebuah helikopter terhempas di wilayah Mashonaland East, Zimbabwe, menurut berita Xinhua memetik jurucakap kerajaan, Nick Mangwana.
Mangwana berkata helikopter itu membawa seorang ahli perniagaan terkemuka, tiga penumpang lain, dan dua juruterbang; semua mereka maut dalam nahas terbabit.
Polis tempatan turut mengesahkan kejadian itu, lapor Xinhua.
-
Banjir Thailand ragut 24 nyawa ketika air mulai surut di Bangkok
Banjir di seluruh Thailand mengorbankan 24 nyawa dan menjejaskan jutaan penduduk sejak pertengahan September, menurut pihak berkuasa pada Rabu, lapor Xinhua.
Xinhua memetik Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, banjir masih berlaku di 29 wilayah dan Bangkok, menjejaskan lebih 1.12 juta isi rumah serta 3.19 juta penduduk.
-
1 maut, 8 cedera dalam letupan kilang penapisan minyak di selatan India
Sekurang-kurangnya seorang maut dan lapan yang lain cedera apabila satu letupan kuat berlaku di sebuah kilang penapisan minyak di negeri Karnataka, selatan India pada Rabu, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa.
Letupan itu dilaporkan berlaku sekitar tengah hari di loji Mangalore Refinery and Petrochemicals Ltd. Mayat mangsa ditemui di lokasi kejadian. Seorang individu dirawat di hospital akibat kecederaan parah, manakala yang lain mengalami kecederaan ringan.
-
Angka maut akibat kapal terbalik di Indonesia meningkat kepada 78 orang
Angka kematian akibat insiden kapal penumpang yang terbalik dan karam di Laut Jawa, Indonesia, meningkat kepada 78 orang, menurut berita Xinhua memetik Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional negara itu pada Rabu.
Pasukan penyelamat masih mencari 57 orang yang dilaporkan hilang, manakala 108 orang lagi telah dipindahkan dengan selamat.
Virgo Transport 8, yang membawa 243 orang, berlepas dari Surabaya di Jawa Timur pada 12 September menuju ke Banjarmasin di Kalimantan Selatan. Ia menghadapi cuaca buruk dan terputus hubungan sekitar jam 2 pagi waktu tempatan pada 13 September.
Sejak itu, pasukan penyelamat telah menemui mayat di dalam kapal serta di pantai wilayah Kalimantan Tengah.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada kira-kira 17,000 pulau, sangat bergantung pada feri dan bentuk pengangkutan laut lain untuk menghubungkan pulau-pulau serta memudahkan perjalanan.
-
Tentera gagalkan cubaan culik 41 pengembara di barat laut Nigeria
Tentera Nigeria menggagalkan cubaan menculik sekurang-kurangnya 41 pengembara dari Senegal selepas mereka diserang oleh kumpulan disyaki pengganas di wilayah barat laut negara itu pada Selasa, menurut berita Xinhua memetik tentera.
Menurut Xinhua, Aliyu Danja, jurucakap operasi ketenteraan di barat laut Nigeria, memberitahunya pada Selasa bahawa tentera telah menyelamatkan para pengembara itu di lebuh raya di Negeri Zamfara selepas kenderaan mereka mengalami kerosakan.
Menurut Danja, mereka yang diselamatkan terdiri daripada 24 lelaki, 10 wanita dan tujuh kanak-kanak. Para pengembara itu dalam perjalanan dari Senegal ke Kano di utara Nigeria apabila kenderaan mereka mengalami masalah mekanikal di Zamfara. Kumpulan yang disyaki pengganas dipercayai mengambil kesempatan daripada situasi itu untuk menculik mereka dan sedang bersiap sedia untuk memindahkan mangsa ke kawasan sekitar apabila tentera tiba dan menyelamatkan semua 41 orang itu tanpa sebarang kecederaan.
Danja berkata tentera bertindak berdasarkan “maklumat perisikan yang boleh diambil tindakan” bergerak ke lokasi kejadian dan berdepan dengan kumpulan bersenjata itu menggunakan kuasa tembakan yang lebih hebat, memaksa mereka meninggalkan mangsa dan melarikan diri ke kawasan ladang berhampiran.
Menurut Xinhua, tentera berkata operasi di wilayah utara berterusan, dengan tumpuan diberikan untuk melumpuhkan kumpulan bersenjata serta aktiviti mereka di samping menjamin keselamatan laluan pengangkutan utama.
-
4 rakyat Palestin terbunuh, 10 cedera dalam serangan udara Israel di Gaza
Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin terbunuh dan 10 lagi cedera pada Rabu dalam serangan udara Israel menyasarkan sebuah kenderaan di kawasan kejiranan Tel al-Hawa, barat daya bandar Gaza, menurut berita Xinhua memetik sumber perubatan Palestin.
Menurut Xinhua, sumber perubatan di Kompleks Perubatan al-Shifa memberitahunya, bahawa mayat empat individu yang terbunuh dalam serangan itu telah dibawa ke hospital. Sepuluh lagi mangsa yang cedera dalam serangan itu turut dimasukkan ke hospital untuk rawatan.
Menurut Xinhua, sumber keselamatan Palestin memberitahunya, bahawa sebuah dron Israel telah melancarkan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu ke arah kenderaan awam di kawasan kejiranan Tel al-Hawa, mengakibatkan korban jiwa dan kecederaan.
-
Houthi dakwa 35 serangan udara Arab Saudi landa Yaman dalam 24 jam di tengah-tengah pertempuran berterusan
Kumpulan Houthi Yaman pada Selasa berkata pesawat perang Arab Saudi melancarkan 35 serangan udara di lima wilayah Yaman dalam tempoh 24 jam lalu, ketika pertempuran antara Houthi dan pasukan kerajaan Yaman berterusan di beberapa barisan hadapan, menurut berita Xinhua.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, dilapor berkata dalam satu kenyataan di X bahawa serangan Arab Saudi itu menyasarkan kawasan di wilayah Taiz, Al-Jawf, Amran, Saada dan Hodeidah.
Sarea berkata, jet F-15 dan Typhoon yang terbang dari pangkalan udara di bandar Khamis Mushait dan Taif di Arab Saudi telah melakukan serangan terbabit, yang menurutnya menghentam infrastruktur awam termasuk kemudahan telekomunikasi dan sekolah.
Serangan terbaharu itu menjadikan jumlah serangan udara dan peluru berpandu Arab Saudi sejak peningkatan konflik semasa bermula kepada 1,158, tambahnya.