Nur

  • Letupan sisa perang ragut nyawa 3 kanak-kanak di timur Afghanistan

    Tiga kanak-kanak hilang nyawa manakala seorang lagi cedera apabila sebutir bahan letupan tinggalan perang meletup di daerah Bala Khogyani, wilayah Nangarhar di timur Afghanistan pada Selasa, menurut berita Xinhua memetik kenyataan pejabat kerajaan wilayah itu.

    Kanak-kanak terbabit menemui objek yang menyerupai alat permainan dan mula bermain dengannya, namun peranti itu meletup, menyebabkan mereka maut serta-merta dan seorang lagi cedera.

    Afghanistan, yang terjejas akibat konflik, dilaporkan sebagai satu daripada negara yang paling banyak dicemari periuk api di dunia, memandangkan peranti tidak meletup dan periuk api masih tinggal hasil daripada lebih empat dekad peperangan serta pergolakan dalaman pada masa lalu.

  • Ketua PBB ‘mengutuk keras’ serangan udara maut di Myanmar, suarakan kebimbangan mengenai mangsa

    Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berasa bimbang dengan laporan mengenai serangan udara tentera di Negeri Rakhine, Myanmar dan “mengutuk keras” serangan berterusan terhadap orang awam, menurut jurucakapnya pada Selasa, lapor berita Anadolu.

    “Setiausaha Agung mengutuk keras serangan ini dan menggesa semua pihak supaya menghentikan keganasan dengan segera bagi melindungi orang awam serta mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Stephane Dujarric kepada pemberita, sambil menuntut supaya pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.

    Dujarric menjelaskan bahawa serangan udara pada 28 September dekat sebuah pasar di pekan Kalchau dilaporkan telah mengorbankan 50 nyawa dan mencederakan hampir 60 orang, dengan ramai mangsa yang terselamat mengalami kecederaan parah, lapor Anadolu.

  • Pengebom strategik Tu-95 Rusia terhempas di wilayah Amur, 6 maut

    Sebuah pesawat pengebom strategik Tu-95 milik Rusia terhempas semasa penerbangan latihan di wilayah Amur, Timur Jauh, menyebabkan enam anggota kru terkorban dan seorang lagi cedera, menurut berita Xinhua memetik Kementerian Pertahanan Rusia pada Selasa.

    Pesawat terbabit dilaporkan terhempas di kawasan terpencil dan tidak membawa sebarang peluru.

  • Pengawal Revolusi Iran gelar Trump ‘penipu besar’

    Seorang jurucakap Pengawal Revolusi Iran pada Selasa menggelar Presiden AS Donald Trump sebagai “penipu besar”, menuduhnya menyembunyikan kebenaran daripada rakyat Amerika mengenai program nuklear Iran serta keberkesanan sekatan Iran terhadap bekalan tenaga dari Teluk, lapor berita Reuters.

    Antara alasan yang diberikan Trump untuk melancarkan perang terhadap Iran ialah keperluan untuk memastikan negara itu tidak akan sekali-kali berupaya membina senjata nuklear.

    “Musuh (AS) tahu bahawa Iran tidak mengintai senjata nuklear,” kata Hossein Mohebbi, lapor Reuters.

    “Isu mereka dengan Iran bukanlah program nuklearnya, sebaliknya pengaruh luas Iran, yang ingin mereka hancurkan.”

  • 44 dilapor maut dalam pertempuran tentera kerajaan Yaman dan Houthi dekat Bab al-Mandab

    Sekurang-kurangnya 44 orang daripada tentera kerajaan Yaman dan kumpulan Houthi terbunuh, manakala beberapa yang lain cedera dalam pertempuran sengit pada Isnin di wilayah selatan di Lahj, dekat Selat Bab al-Mandab yang strategik; menurut berita Xinhua yang memetik dua sumber tentera daripada pihak bertelagah memberitahunya.

  • Netanyahu sahkan lawatan ke UAE dan pertemuan dengan presiden UAE

    Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengesahkan pada Isnin bahawa dia telah melawat Emiriah Arab Bersatu (UAE) sehari sebelumnya atas jemputan Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, sambil menyatakan bahawa perbincangan mereka tertumpu kepada hubungan antara kedua-dua negara, lapor berita Xinhua.

  • 7 maut kemalangan jalan raya di barat daya China

    Tujuh orang maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan sebuah trak semi-treler pada awal pagi Selasa di Pekan Longshan, daerah Longli, wilayah Guizhou, barat daya China, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

  • Tiga wanita antara empat dilapor maut akibat serangan udara Arab Saudi ke atas Yaman

    Kumpulan Houthi Yaman berkata pada Isnin bahawa serangan udara Arab Saudi menghentam sebuah rumah di wilayah barat daya di Taiz, mengorbankan empat orang dan mencederakan tiga yang lain, ketika serangan udara Saudi terus dilancarkan di kawasan dikuasai Houthi di negara itu, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, TV Al-Masirah dikendalikan oleh Houthi melaporkan pesawat perang Saudi melancarkan serangan udara ke atas sebuah rumah kediaman di daerah Al-Ma’afer, wilayah Taiz, mengorbankan tiga wanita serta seorang lelaki warga emas dan mencederakan tiga individu lain.

    Ia turut berkata pesawat perang Saudi menyerang sebuah sekolah di daerah Al-Ta’iziyah, wilayah Taiz, buat kali ketiga, memusnahkan sepenuhnya sisa bangunan terbabit, menurut Xinhua, tiada laporan segera mengenai sebarang korban jiwa.

    Al-Masirah juga menurut Xinhua, melaporkan pesawat Saudi melancarkan dua serangan udara ke atas daerah Adh Dhahir di wilayah utara di Saada, yang bersempadan dengan Arab Saudi dan merupakan kubu kuat utama kumpulan Houthi.

    Saluran itu juga melaporkan pasukan Saudi membedil ke arah kampung-kampung berpenduduk di kawasan utara di daerah Razih, yang turut terletak di wilayah Saada, menurut Xinhua, tiada maklumat segera diberikan mengenai sebarang korban jiwa.

    Menurut Xinhua, tiada ulasan segera daripada Arab Saudi berhubung dakwaan pihak Houthi itu, yang tidak dapat disahkan secara bebas.

  • Israel dakwa bunuh pengurup wang Hamas dalam serangan di bandar Gaza

    Tentera Israel pada Isnin berkata ia membunuh Shadi Abu Hasira, yang disifatkannya sebagai pengurup wang utama bagi sayap bersenjata Hamas, dalam satu serangan udara di bandar Gaza sehari sebelumnya, menurut berita Xinhua.

    Tentera terbabit dilapor berkata, Abu Hasira mengetuai rangkaian pertukaran wang yang didakwa telah memindahkan mata wang asing bernilai puluhan juta shekel kepada Hamas bagi membiayai anggota pejuang, membina semula infrastruktur ketenteraan, dan merancang serangan.

    Ia turut berkata bahawa Abu Hasira baru-baru ini terbabit dalam usaha memulihkan keupayaan Hamas serta merancang serangan terhadap tentera dan orang awam Israel.

    Serangan Israel di Gaza terus berlaku walaupun terdapat gencatan senjata diuruskan oleh Amerika Syarikat dan berkuat kuasa pada Oktober 2025, dengan kedua-dua pihak, Israel dan Hamas, saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian.

  • Hujan lebat berterusan ragut 21 nyawa di Nepal

    Seramai 21 orang terkorban dan lima lagi masih hilang dalam bencana akibat hujan sejak hujan tidak henti-henti bermula pada Khamis di Nepal, kata Perdana Menteri Balendra Shah pada Ahad, menurut berita Xinhua.

    Lima lagi mangsa yang cedera sedang menerima rawatan, kata Shah menerusi hantaran di laman Facebook pada petang Ahad, lapor Xinhua.

    Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, 747 keluarga terjejas, manakala 143 buah rumah musnah dan 51 lagi mengalami kerosakan separa setakat petang Ahad.

    “Cuaca buruk telah mengganggu sistem pengangkutan di beberapa kawasan negara ini, dengan lebih sedozen jalan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh,” kata Shah.