Usaha mencari dan menyelamat diteruskan pada Selasa selepas banjir kilat teruk melanda wilayah Nuristan di timur Afghanistan pada Isnin, menyebabkan sekurang-kurangnya 23 orang terkorban dan lebih 100 orang hilang, menurut berita Anadolu.
Pasukan penyelamat dan bantuan dari Kor Khalid bin Walid ke-201 telah dikerahkan ke kawasan terjejas, menurut Anadolu memetik Agensi Berita Bakhtar dikendalikan oleh kerajaan Afghanistan.
Beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu, manakala sekurang-kurangnya 80 yang lain cedera.
Taj Mohammad Hemat, timbalan jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan, berkata 15 mayat ditemui pada pagi Selasa, sementara operasi mencari dan menyelamat diteruskan, lapor Anadolu memetik penyiar tempatan Ariana News.
Banjir memusnahkan tujuh buah rumah dan merosakkan 23 yang lain. Ia juga merosakkan sepenuhnya atau sebahagian daripada 70 kedai, 40 kenderaan dan 11 hotel.
