Semua 11 orang yang menaiki pesawat amfibi Kenmore Air diselamatkan selepas pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan dekat Pulau Sucia di negeri Washington dan terbakar, kata pihak berkuasa pada Khamis, lapor Anadolu.
Pesawat amfibi DeHavilland DHC-3 terhempas dekat Pulau Sucia sekitar jam 5:20 petang waktu tempatan ketika membawa 10 penumpang dan seorang juruterbang, Anadolu memetik Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Pengawal Pantai AS berkata semua penumpang telah diselamatkan susulan nahas itu, manakala Pejabat Syerif Daerah San Juan melaporkan beberapa orang mengalami kecederaan, termasuk trauma kepala, patah tulang dan luka. Sekurang-kurangnya seorang dalam keadaan kritikal, Anadolu memetik ABC News.
Kenmore Air dilapor berkata pesawat itu telah berlepas dari Lake Union, Seattle. Empat penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital, manakala penumpang yang tinggal dan juruterbang dibawa ke Stesen Pengawal Pantai Bellingham.
