Sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk anggota keselamatan, polis dan seorang pegawai jabatan perhutanan terbunuh dalam pengeboman berani mati menyasarkan pos keselamatan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan, menurut berita Xinhua memetik sumber keselamatan pada Jumaat.
Serangan itu berlaku di pos keselamatan di daerah Tank pada malam Khamis apabila seorang pengebom berani mati yang membawa kenderaan meletupkan bahan letupan, mencetuskan letupan kuat yang menyebabkan kecederaan dan kerosakan meluas, kata sumber kepada Xinhua.
Mangsa yang terkorban membabitkan sembilan askar, empat anggota polis dan seorang pegawai dari jabatan perhutanan wilayah, sumber itu dilapor berkata.
Sekurang-kurangnya 24 orang, membabitkan 20 askar dan empat anggota polis cedera dalam letupan itu dan dipindahkan ke hospital berdekatan.
Pos itu rata ke tanah selepas letupan itu, dan pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan mengosongkan di lokasi terbabit, dengan tiga askar dipercayai terperangkap di bawah runtuhan, sumber itu dilapor berkata.
Semasa operasi pembersihan berikutnya, pasukan keselamatan membunuh tiga militan di kawasan sekitar, sumber itu dilapor berkata.
