Tujuh orang maut dan lima lagi cedera dalam dua kejadian tembakan berasingan di Cape Town, Afrika Selatan, pada petang Rabu, polis mengesahkan pada Khamis, menurut berita Xinhua.
Dalam satu kenyataan, polis Western Cape berkata mereka sedang menyiasat “dua insiden tembakan beramai-ramai berasingan yang meragut nyawa tujuh orang dan menyebabkan lima lagi cedera” di Mitchells Plain dan Philippi East, kedua-duanya terletak di Cape Flats di Cape Town.
Menurut kenyataan itu, kejadian tembakan pertama berlaku kira-kira jam 8:10 malam waktu tempatan (1810 GMT) di Mitchells Plain.
“Lima lelaki dilaporkan berdiri di luar sebuah kedai runcit tempatan apabila mereka didatangi oleh suspek bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah mereka,” polis dilapor berkata.
Tiga mangsa, berumur 18, 19 dan 51 tahun, diisytiharkan mati di tempat kejadian, manakala dua lagi, berumur 17 dan 22 tahun, dibawa ke hospital untuk rawatan.
Kira-kira 20 minit kemudian, polis bertindak balas terhadap satu lagi kejadian tembakan di sebuah kediaman di Marcus Garvey, Philippi East, di mana tujuh orang ditembak. Empat mangsa, berumur antara 17 dan 20 tahun, meninggal dunia akibat kecederaan mereka, manakala tiga yang lain dimasukkan ke hospital untuk rawatan perubatan.
“Motif tembakan itu masih belum ditentukan dan merupakan sebahagian daripada siasatan polis,” kenyataan itu dilapor sebagai berkata.
