Masjid

  • Polis berbalas tembakan dengan suspek pengedar dadah di lapangan terbang Sao Paulo, Brazil

    Polis Persekutuan Brazil terbabit dalam kejadian tembak-menembak dengan suspek pengedar dadah bersenjata pada Jumaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo selepas suspek cuba menyeludup sejumlah besar kokain ke dalam pesawat yang menuju ke Eropah, menurut berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut laporan polis dan berita tempatan, sekurang-kurangnya 10 individu bersenjata yang menaiki empat kenderaan memasuki kawasan kargo terhad dekat landasan, di mana ejen persekutuan memintas mereka, mencetuskan kejadian berbalas tembakan.

    Tiada kecederaan atau tangkapan segera dilaporkan, dan suspek melarikan diri ke arah tapak pembinaan sungai berdekatan.

    Pihak berkuasa menemui lebih 300 kg kokain, termasuk sekurang-kurangnya lima beg pakaian berisi dadah yang telah dimuatkan ke dalam pesawat, serta empat kotak yang ditinggalkan di atas landasan, menurut Xinhua.

  • Sepanyol tingkatkan tindak balas ketika krisis migran Ceuta menyebabkan 18 maut

    Sepanyol meningkatkan tindak balasnya terhadap krisis migran yang semakin mendalam di kawasan Afrika Utara, Ceuta, dengan mengerahkan angkatan tentera bagi menyokong Pengawal Awam selepas beribu-ribu migran menyeberang dari negara jirannya Maghribi, manakala sekurang-kurangnya 18 migran maut ketika cuba sampai ke wilayah Sepanyol melalui laut, menurut berita Xinhua memetik akhbar tempatan El Pais pada Khamis.

    Beribu-ribu migran memasuki Ceuta pada Khamis, memberi tekanan teruk kepada kemudahan penerimaan tetamu tempatan dan perkhidmatan keselamatan, pihak berkuasa dilapor berkata.

    Lintasan sempadan Beni Enzar, satu-satunya lintasan operasi antara Sepanyol dan Maghribi di kawasan Sepanyol yang berjiran Melilla, ditutup selepas beratus-ratus migran cuba melakukan lintasan besar-besaran. Pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk untuk mengelakkan kawasan sempadan bagi memudahkan operasi keselamatan yang berterusan.

    Menurut Xinhua, situasi itu juga mencetuskan ketegangan diplomatik antara Sepanyol dan Itali.
    Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares dilapor berkata, dia telah memanggil Duta Besar Itali ke Sepanyol, Giuseppe Buccino Grimaldi selepas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, menyeru agar Sepanyol digantung daripada Kawasan Schengen atas krisis migran di Ceuta.

    Menurut Xinhua, Tajani dalam satu catatan di X berkata, keputusan kerajaan untuk menormalkan lebih 500,000 migran tanpa izin telah menggalakkan pemerdagangan manusia dan menyeru agar Sepanyol dikecualikan daripada Kawasan Schengen.

    Albares menyifatkan kenyataan Tajani sebagai “tidak sesuai” dan berkata Sepanyol menjangkakan “solidariti Eropah, bukan demagogi partisan” daripada negara rakan kongsi.

    Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dan Menteri Dalam Negeri, Fernando Grande-Marlaska dijadualkan melawat Ceuta pada Jumaat ketika kerajaan terus mengukuhkan tindak balasnya terhadap krisis terbabit.

    Ceuta, bersama-sama Melilla, membentuk satu-satunya sempadan darat EU dengan Afrika dan telah lama menjadi titik masuk utama bagi migran yang ingin sampai ke Eropah.

  • Iran kutuk serangan AS ke atas kawasan perumahan

    Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, pada Khamis mengutuk serangan AS ke atas sebuah bangunan kediaman di Pulau Qeshm di selatan Iran yang mengorbankan tiga orang awam, menurut berita Xinhua.

    Baghaei dalam satu catatan di media sosial dilapor berkata, serangan semalaman itu merosakkan beberapa buah rumah dan mengorbankan pemandu teksi Qaisar Jafari, isterinya Zahra, dan anak lelaki mereka berusia dua tahun, Sina.

    Baghaei berkata, setiap letupan, serangan, sekatan, ancaman dan pembunuhan kanak-kanak akan menguatkan keazaman dan perpaduan rakyat Iran dalam mempertahankan negara dan hak mereka.

  • Gempa bumi 5.6 magnitud landa wilayah sempadan Peru-Brazil

    Gempa bumi berukuran 5.6 magnitud menggegarkan wilayah sempadan Peru-Brazil pada 0058 GMT Jumaat, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, menurut berita Xinhua.

    Pusat gempa, dengan kedalaman 144.7 km, pada mulanya ditentukan berada pada 8.31 darjah latitud selatan dan 74.12 darjah longitud barat.

  • Pengawal Pantai China ronda perairan timur Pulau Taiwan

    Pengawal Pantai China (CCG) pada Jumaat menjalankan rondaan penguatkuasaan undang-undang rutin di perairan timur Pulau Taiwan, China, kata seorang jurucakap, menurut berita Xinhua.

  • 4 maut dan 6 cedera terowong runtuh di Mongolia Dalam, utara China

    Terowong dalam pembinaan runtuh awal pagi Jumaat di bandar Ulanqab, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, utara China, menyebabkan empat orang maut dan enam lagi cedera, menurut pihak berkuasa tempatan, berita Xinhua melaporkan.

    Kemalangan itu berlaku sekitar jam 3:50 pagi di seksyen pembinaan terowong yang dijalankan oleh China Railway 15th Bureau Group Co, Ltd untuk daerah Zhuozi, Ulanqab.

    Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. Rawatan untuk mangsa yang cedera dan siasatan kemalangan sedang dijalankan.

  • 51 disahkan maut, 10 masih hilang dalam runtuhan gunung di Chongqing, barat daya China

    Jumlah kematian akibat runtuhan gunung di Perbandaran Chongqing, barat daya China meningkat kepada 51 orang dan 10 orang masih hilang, kata pihak berkuasa tempatan pada Khamis, menurut berita Xinhua.

    Lebih 1,100 penduduk dipindahkan. Tiga daripada sepuluh orang yang diselamatkan dibenarkan keluar dari hospital, Xinhua memetik penyelamat.

    Bencana yang disebabkan oleh hujan itu berlaku pada jam 9:08 pagi, 17 Julai di daerah kecil Hanjia, Daerah Autonomi Pengshui Miao dan Tujia, di sepanjang seksyen Sungai Wujiang. Lebih 10 bangunan kediaman tertimbus.

  • 7 maut dalam nahas helikopter di San Juan Argentina

    Sebuah helikopter terhempas pada Rabu di wilayah barat San Juan, Argentina, mengorbankan semua tujuh orang di dalamnya, menurut berita Xinhua.

    Helikopter itu, sebuah Bell 412, terputus hubungan dengan kawalan darat sekitar jam 10:26 pagi waktu tempatan pada Rabu.

    Ia dijadualkan ke wilayah barat La Rioja untuk menjalankan operasi memadam kebakaran hutan selepas menamatkan latihan di wilayah San Juan.

    Menurut Xinhua, gabenor wilayah San Juan kemudiannya mengesahkan semua tujuh orang di dalamnya meninggal dunia, termasuk pengarah pertahanan awam, ketua bomba dan timbalan ketua polis wilayah itu. Punca nahas sedang disiasat.

  • 3 anggota IRGC dilapor maut akibat serangan AS

    Tiga anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) terbunuh awal Khamis dalam serangan udara AS, ketika IRGC mengatakan ia telah melancarkan serangan balas ke atas kemudahan tentera AS di Jordan dan Kuwait, menurut berita Xinhua memetik laporan media Iran.

    Menurut Xinhua, agensi berita separa rasmi Iran, Mehr, mengenal pasti mangsa sebagai Mahmoud Mollajabbari, Mohammad-Reza Cheraghi, dan Jamal Amiri, yang berkhidmat dengan unit Ansar al-Mahdi IRGC di wilayah barat laut Zanjan.

    Perintah Pusat AS (CENTCOM) dilapor mengatakan dalam catatan di X awal Khamis bahawa pasukannya telah menyelesaikan “gelombang serangan besar-besaran terhadap Iran sebagai tindak balas terhadap percubaan serangan peluru berpandu semalam ke atas pasukan AS”.

    Ia menambah bahawa pasukan AS telah menyerang berpuluh-puluh tapak IRGC, “termasuk pusat arahan tentera, kemudahan peluru berpandu dan dron, tapak pengawasan dan pertahanan pantai, serta keupayaan maritim”.

    Xinhua memetik agensi berita rasmi Iran, IRNA, serangan itu terutama menyasarkan empat wilayah selatan Iran iaitu Hormozgan, Khuzestan, Fars, dan Bushehr.

    Ia menambah bahawa satu serangan ke atas sebuah bangunan kediaman di Pulau Qeshm membunuh tiga ahli keluarga dan mencederakan dua orang lagi yang berasal dari keluarga sama.

    Menurut Xinhua, IRGC dalam kenyataan di saluran berita rasminya, Sepah News, berkata pasukan aeroangkasanya menyerang Pangkalan Udara Al-Azraq di Jordan dengan peluru berpandu balistik, menyasarkan landasan penempatan dan hangar penyelenggaraan dan pembaikan jet pejuang F-35.

    Ia menambah bahawa tiga pesawat F-35 musnah, tiga yang lain rosak teruk, dan beberapa pegawai “musuh” serta kakitangan teknikal dan penyelenggaraan terbunuh.

    IRGC juga mengumumkan bahawa tentera aeroangkasa dan daratnya telah menyerang kemudahan dan aset AS di Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, mendakwa telah memusnahkan dua hangar dron, sebuah depot bahan api penerbangan, dan helikopter tentera AS.

  • Pengasas bersama Telegram disenaraikan sebagai pengganas dan ekstremis

    Perkhidmatan Pemantauan Kewangan Persekutuan Rusia menambah pengasas bersama Telegram, Pavel Durov, ke dalam senarai pengganas dan ekstremisnya, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita TASS pada Khamis.

    Durov, yang disenaraikan melalui notis diterbitkan di laman web rasmi perkhidmatan pemantauan, dilahirkan pada 10 Oktober 1984, di Leningrad (kini St. Petersburg).

    Sebagai sebahagian daripada siasatan jenayah yang sedang dijalankan, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) menuduh Durov memudahkan aktiviti pengganas dan memulakan prosedur untuk meletakkannya dalam senarai dikehendaki antarabangsa.

    FSB berkata pengendali Telegram gagal mengalih keluar saluran, sembang dan bot yang digunakan secara aktif oleh perkhidmatan khas Ukraine untuk merancang tindakan sabotaj dan keganasan di wilayah Rusia, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan terlibat dalam penipuan siber.

    Menurut FSB, lebih daripada 153,000 jenayah yang membabitkan Telegram telah didaftarkan di Rusia sejak 2022.