Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente, pada Selasa mengumumkan peletakan jawatannya susulan kemalangan kereta api berkelajuan tinggi di Toledo minggu lalu yang mengorbankan 69 nyawa dan mencederakan kira-kira 200 orang lain, menurut berita Anadolu memetik laporan akhbar El Pais.
“Seorang Menteri Pengangkutan di negara seperti Sepanyol tidak wajar terus memegang jawatannya selepas berlaku dua kemalangan dalam tempoh kurang setahun; ini demi maruah diri,” kata Puente kepada Jawatankuasa Tetap Kongres.
“Oleh itu, keputusan saya ini adalah satu keputusan yang didasari oleh maruah politik, dan ia harus dilihat sedemikian rupa,” katanya.
Puente berkata pada mulanya dia bercadang untuk menunggu dapatan awal siasatan sebelum mengumumkan peletakan jawatannya.
Dia turut mengesahkan bahawa dia tidak akan bertanding sebagai calon utama bagi Parti Pekerja Sosialis Sepanyol di Valladolid dalam pilihan raya pada 29 November nanti.
Dalam ucapannya, Puente mempertahankan rekod kerajaan berhubung infrastruktur kereta api, sambil menolak dakwaan bahawa laluan kereta api berkelajuan tinggi Madrid-Seville telah diabaikan.
Dia berkata, kerajaan telah melancarkan pelan pemodenan bernilai €780 juta ($873 juta) bagi laluan terbabit, sekali gus menegaskan bahawa infrastruktur itu tidak pernah ditinggalkan mahupun dilupakan.
Kemalangan pada 28 Oktober itu berlaku apabila sebuah tren berkelajuan tinggi milik Renfe melanggar belakang sebuah tren Iryo yang sedang berhenti dekat Urda, di wilayah Toledo.
Puente berkata, kegagalan pada sistem perlindungan kereta api automatik telah menyebabkan kereta api terhenti, sebelum seorang pengawal memberi kebenaran kepada kereta api Renfe itu untuk meneruskan perjalanan pada kelajuan biasa.
Pada Januari, satu lagi kemalangan di laluan berkelajuan tinggi yang sama, yang menghubungkan Madrid dan Seville, mengorbankan 46 orang.