Sekurang-kurangnya 30 orang maut dan lapan yang lain cedera dalam satu serangan ke atas sebuah pasar yang sesak di wilayah Taiz, barat daya Yaman pada Jumaat, menurut berita Xinhua memetik laporan stesen televisyen al-Masirah dikendalikan oleh kumpulan Houthi, ketika kerajaan Yaman dan kumpulan Houthi saling menuding jari mengenai pihak bertanggungjawab atas kejadian.
Menurut Xinhua, saluran itu melaporkan, tiga serangan udara oleh Arab Saudi telah melanda pasar awam Al-Hadarah di daerah Al-Wazi’iyah, Taiz, pada waktu pagi ketika pasar itu dipenuhi pengunjung.
Jumlah korban masih merupakan angka awal memandangkan pasukan penyelamat sedang meneruskan usaha mencari di celah runtuhan, kata laporan itu.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, menuduh pesawat perang Arab Saudi melancarkan serangan itu, memberi amaran bahawa apa yang disifatkannya sebagai satu “pembunuhan beramai-ramai” tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan di Taiz yang bersekutu dengan kerajaan Yaman diiktiraf di peringkat antarabangsa menyalahkan Houthi atas serangan itu, menurut Xinhua memetik agensi berita kerajaan, Saba.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa menafikan sebarang serangan udara berlaku di daerah Al-Wazi’iyah pada Jumaat. Mereka sebaliknya menuduh kumpulan Houthi membahayakan kawasan berpenduduk melalui serangan peluru berpandu yang dilakukan tanpa sasaran khusus. Mereka turut menggesa supaya satu siasatan teknikal bebas dijalankan bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab.
Dalam perkembangan berasingan, Sarea berkata menerusi satu kenyataan di X bahawa pesawat perang dan peluru berpandu Arab Saudi telah melancarkan 67 serangan di lima wilayah Yaman sepanjang 24 jam lalu.
Insiden berdarah ini berlaku di tengah-tengah pertempuran yang semakin sengit antara Houthi dengan pasukan kerajaan disokong oleh gabungan pimpinan Arab Saudi. Keadaan ini turut diburukkan lagi dengan serangan udara di seluruh Yaman serta serangan peluru berpandu dan dron oleh kumpulan Houthi ke dalam wilayah Arab Saudi.
Yaman telah terjerumus dalam konflik sejak akhir 2014, apabila Houthi menawan ibu kota Sanaa. Peristiwa itu mencetuskan campur tangan ketenteraan oleh gabungan pimpinan Arab Saudi pada 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman.