Sekurang-kurangnya seorang maut selepas sebuah bangunan tiga tingkat runtuh di bandar raya New York pada petang Rabu, menurut Jabatan Bomba Bandar Raya New York — lapor berita Xinhua.
GLOBAL
-
PBB kata lebih 150,000 khemah sedang menunggu di luar Gaza sementara menanti kebenaran Israel
Lebih 150,000 khemah yang dibeli oleh rakan kongsi kemanusiaan dan negara anggota kini menunggu di luar Jalur Gaza, menanti kebenaran daripada pihak Israel untuk dibawa masuk, menurut berita Anadolu memetik PBB pada Rabu.
Jumlah itu merangkumi 117,000 khemah daripada Jawatankuasa Bantuan Mesir di El Arish, kata Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, kepada wartawan dalam satu taklimat media.
Apabila ditanya mengenai apa yang diperlukan untuk membawa khemah terbabit masuk ke Gaza, Haq berkata: “Pada akhirnya, kami memerlukan pihak berkuasa Israel untuk bekerjasama dalam memberikan kebenaran supaya kami dapat membawa masuk khemah-khemah terbabit.”
“Sesetengah masalah ini berkaitan dengan dana untuk pengangkutan, namun dalam kes ini, isu utamanya ialah mendapatkan kebenaran yang diperlukan dan kami perlu memastikan ia dapat dibawa masuk,” katanya.
Ditanya mengenai seberapa cepat khemah itu boleh sampai kepada mereka yang memerlukan sebaik sahaja kebenaran diberikan, Haq menjelaskan bahawa ia bergantung kepada “sejauh mana akses yang kami miliki di pintu-pintu sempadan” serta kepantasan prosedur untuk membawanya masuk ke Gaza.
“Namun, hakikatnya khemah-khemah itu sudah berada betul-betul di seberang sempadan dan kami bersedia untuk membawanya masuk sebaik sahaja kami memperoleh kebenaran,” katanya.
Menurut Anadolu, ketua hal ehwal kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, berkata pada Rabu bahawa menunggu pembentukan kerajaan baharu Israel bukanlah “alasan yang boleh diterima” bagi kelewatan penghantaran bekalan musim sejuk yang penting ke Gaza.
“Menteri-menteri luar dan rakan kongsi telah memberikan jaminan sokongan kepada saya, namun mereka juga berulang kali menyatakan bahawa kemajuan sukar dicapai sebelum pilihan raya Israel selesai. Kini, kami diminta untuk menunggu sehingga kerajaan baharu dibentuk,” katanya dalam satu kenyataan.
“Sekiranya ada pihak yang ragu-ragu mengenai undang-undang kemanusiaan antarabangsa, ini bukanlah alasan yang boleh diterima, seperti yang telah ditegaskan oleh masyarakat antarabangsa dan Lembaga Keamanan telah menyatakan dengan jelas.”
-
Itali peruntukkan $5.5 juta sebagai bantuan kecemasan untuk kem dilanda banjir di Gaza
Menteri Luar Negeri, Antonio Tajani, berkata pada Rabu, Itali melancarkan inisiatif kecemasan baharu bernilai €5 juta ($5.5 juta) untuk menyediakan bantuan segera kepada Jalur Gaza susulan banjir teruk yang melanda kem, menurut berita Anadolu.
Memandangkan banjir serius yang melanda kem-kem pelarian sejak beberapa hari kebelakangan ini, yang memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah pun kritikal, dia telah memutuskan untuk mengaktifkan satu inisiatif kecemasan baharu bernilai €5 juta melalui Kerjasama Pembangunan bagi menyalurkan bantuan segera kepada penduduk, dia dilapor berkata semasa sesi soal jawab di Dewan.
Keluarga Palestin yang terlantar kini tidak lagi mempunyai perlindungan selepas hujan lebat dan angin kencang menyebabkan banjir yang menjejaskan 70,000 khemah di Gaza. Pegawai memberi amaran bahawa kerosakan infrastruktur serta kekurangan peralatan telah menyukarkan usaha kecemasan.
Menurut Pejabat Media Kerajaan, ribut yang bermula lewat Jumaat itu turut meruntuhkan berpuluh-puluh tembok, lapor Anadolu, anggaran awal kerugian dianggarkan sekitar $3 juta.
Menurut Anadolu, agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA, menyatakan pada Khamis bahawa 1.98 juta orang iaitu kira-kira 94% daripada penduduk Gaza memerlukan tempat perlindungan dan bekalan keperluan asas yang lain, berdasarkan tinjauan dijalankan pada Jun. Agensi itu menambah bahawa 58% daripada mereka menghadapi keperluan tempat perlindungan yang kritikal atau sangat teruk.
-
Tentera Rusia dilapor bebaskan dua komuniti dalam operasi Ukraine sepanjang hari lalu
Tentera Rusia membebaskan dua komuniti di Republik Rakyat Donetsk dan Wilayah Zaporozhye sepanjang 24 jam lalu, dalam operasi ketenteraan khas di Ukraine, lapor berita Tass memetik Kementerian Pertahanan Rusia yang melaporkan.
“Unit-unit Kumpulan Tempur Pusat (Battlegroup Center) telah membebaskan penempatan Shilovka di Republik Rakyat Donetsk melalui operasi yang tegas…Unit-unit Kumpulan Tempur Timur (Battlegroup East) mara jauh ke dalam pertahanan musuh dan membebaskan penempatan Voskresenka di Wilayah Zaporozhye melalui operasi yang tegas,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan — lapor Tass menerusi tapak webnya.
-
Switzerland akan hantar bekalan tempat perlindungan kecemasan ke Gaza dilanda banjir
Switzerland mengumumkan pada Rabu, ia sedang menyediakan bekalan tempat perlindungan kecemasan untuk beribu-ribu rakyat Palestin terlantar yang terjejas oleh banjir teruk di Jalur Gaza, di samping bantuan kewangan, menurut berita Anadolu.
“Susulan banjir teruk, beribu-ribu keluarga yang terlantar amat memerlukan tempat perlindungan,” kata Kementerian Luar Switzerland menerusi X—menurut Anadolu.
Kementerian itu berkata, Switzerland sedang menyediakan 300 khemah keluarga yang dilengkapi dengan kelengkapan musim sejuk serta 2,000 kain terpal, bagi membantu kira-kira 3,500 orang melalui Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).
Bantuan ini turut disertakan dengan sumbangan sebanyak 2 juta franc Switzerland (hampir AS$2.5 juta) kepada Program ‘Common Pipeline’ IOM, yang menyokong penyediaan bekalan kemanusiaan.
-

Sekurang-kurangnya 57 cedera dalam nahas babit sebuah bas dan lebih 30 kenderaan di Korea Selatan
Sekurang-kurangnya 57 orang cedera selepas sebuah bas berlanggar dengan lebih 30 kenderaan di Korea Selatan pada awal Rabu, menurut berita Anadolu memetik media tempatan.
Kemalangan itu berlaku di satu hentian trafik di bandar Seongnam, wilayah Gyeonggi, di selatan Seoul, ketika waktu puncak pagi — Anadolu memetik Agensi Berita Yonhap.
Bas bandar itu yang dipandu oleh seorang lelaki berusia lingkungan 60-an, berlanggar dengan empat bas lain, sebuah trak kargo dan 27 kereta penumpang sebelum berhenti selepas merempuh penghadang jalan.
Perlanggaran itu menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang cedera parah, namun tiada kecederaan yang dilaporkan mengancam nyawa.
Pemandu bas itu memberitahu polis yang brek kenderaan terbabit gagal berfungsi. Dia didapati tidak berada di bawah pengaruh alkohol.
-
Israel dedah peluru berpandu jelajah jarak jauh baharu dengan kepala peledak seberat 1,000 paun
Syarikat teknologi pertahanan milik negara Israel, Rafael Advanced Defense Systems, pada Rabu mendedahkan peluru berpandu jelajah jarak jauh baharu yang dilengkapi dengan kepala peledak seberat 1,000 paun, direka untuk menyerang sasaran bernilai tinggi dari jarak yang jauh, lapor berita Xinhua.
Peluru berpandu itu yang dinamakan ‘Super Ice’ boleh dilancarkan dari platform udara, darat dan laut, sekali gus menawarkan fleksibiliti operasi lebih besar, lapor Xinhua memetik syarikat itu berkata dalam satu kenyataan.
Super Ice merupakan sebahagian daripada keluarga peluru berpandu jelajah berpandu berketepatan tinggi jarak jauh ‘Ice Breaker’ keluaran Rafael. Ia menampilkan ciri navigasi autonomi, keupayaan terbang pada altitud rendah, keupayaan beroperasi dalam semua keadaan cuaca serta sistem panduan canggih yang menggunakan teknologi pemadanan imej untuk mengenal pasti sasaran.
Menurut Rafael, lapor Xinhua, peluru berpandu itu menyediakan keupayaan serangan ‘stand-off’ yang membolehkan pasukan tentera melaksanakan serangan berketepatan tinggi tanpa perlu memasuki ruang udara yang dikawal ketat oleh pertahanan musuh.
Peluru berpandu baharu ini berkongsi teknologi, sistem pelancaran, dan infrastruktur perancangan misi dengan keluarga Ice Breaker yang lain, membolehkan integrasi yang lancar bersama sistem operasi sedia ada.
-
Enam anggota kru dilapor hilang selepas kapal tangki minyak karam dekat Chon Buri
Tentera Laut Diraja Thailand berkata, enam kru hilang dari kapal tangki minyak yang karam di luar pantai wilayah Chon Buri, timur Thailand, pada Rabu, menurut berita Xinhua.
Menurut berita Xinhua, tentera laut dalam satu kenyataan di Facebook berkata, operasi mencari kru yang hilang telah dilancarkan serta-merta, susulan laporan mengenai kapal tangki minyak yang karam pada 9 pagi, kira-kira 27 batu dari pesisir pantai.
-
Rusia dakwa lumpuhkan rangkaian perisik Poland di Kaliningrad, tahan 2
Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) berkata pada Rabu, ia melumpuhkan rangkaian perisikan Poland di wilayah Kaliningrad, sebuah enklaf Rusia di pantai timur Laut Baltik, yang (didakwa) mengumpul maklumat mengenai kemudahan ketenteraan, menurut berita Xinhua.
Operasi itu membawa kepada penahanan dua ejen perisikan Poland yang mengumpul dan menyalurkan data mengenai tentera Rusia, lokasi ketenteraan, situasi sosio-ekonomi dan dasar migrasi di wilayah Kaliningrad, lapor Xinhua memetik FSB yang berkaya dalam satu kenyataan.
Tujuh warga Poland lain dan tiga warga Rusia yang mempunyai hubungan dengan perkhidmatan perisikan Poland telah diberi amaran rasmi supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh diklasifikasikan sebagai pengkhianatan besar atau pengintipan, kata kenyataan itu.
Menurut Xinhua, jurucakap Kementerian Luar Negeri Poland, Maciej Wewior, berkata laporan yang dikeluarkan oleh FSB itu “sedang disahkan” sambil meminta semua pihak agar berhati-hati terhadap kenyataan daripada pihak Rusia.
“Rusia mempunyai kewajipan di bawah perjanjian dua hala untuk memaklumkan kepada kami secara rasmi sekiranya terdapat warga Poland yang ditahan, jika laporan itu benar,” kata Wewior kepada saluran berita Poland, Interia.
-
Serangan dron Israel bunuh seorang rakyat Palestin di bumbung rumahnya di Gaza
Seorang rakyat Palestin maut manakala beberapa yang lain cedera pada Rabu dalam satu serangan dron Israel yang menyasarkan bumbung sebuah rumah di bahagian barat bandar Gaza, dalam satu lagi pelanggaran perjanjian gencatan senjata, lapor berita Anadolu.
Menurut Anadolu, sumber perubatan memberitahunya, bahawa Hani al-Khudari, 44, maut selepas disasarkan ketika berada di bumbung rumahnya dekat Tanah Perkuburan Sheikh Radwan di bahagian barat bandar Gaza. Jenazahnya dibawa ke Hospital Al-Shifa.
Anadolu melaporkan, saksi memberitahunya, bahawa Khudari sedang berada di bumbung untuk mengisi air apabila sebuah dron Israel melancarkan peluru berpandu ke arahnya, yang mengakibatkan kematiannya.
