Israel dedah peluru berpandu jelajah jarak jauh baharu dengan kepala peledak seberat 1,000 paun

Syarikat teknologi pertahanan milik negara Israel, Rafael Advanced Defense Systems, pada Rabu mendedahkan peluru berpandu jelajah jarak jauh baharu yang dilengkapi dengan kepala peledak seberat 1,000 paun, direka untuk menyerang sasaran bernilai tinggi dari jarak yang jauh, lapor berita Xinhua.

Peluru berpandu itu yang dinamakan ‘Super Ice’ boleh dilancarkan dari platform udara, darat dan laut, sekali gus menawarkan fleksibiliti operasi lebih besar, lapor Xinhua memetik syarikat itu berkata dalam satu kenyataan.

Super Ice merupakan sebahagian daripada keluarga peluru berpandu jelajah berpandu berketepatan tinggi jarak jauh ‘Ice Breaker’ keluaran Rafael. Ia menampilkan ciri navigasi autonomi, keupayaan terbang pada altitud rendah, keupayaan beroperasi dalam semua keadaan cuaca serta sistem panduan canggih yang menggunakan teknologi pemadanan imej untuk mengenal pasti sasaran.

Menurut Rafael, lapor Xinhua, peluru berpandu itu menyediakan keupayaan serangan ‘stand-off’ yang membolehkan pasukan tentera melaksanakan serangan berketepatan tinggi tanpa perlu memasuki ruang udara yang dikawal ketat oleh pertahanan musuh.

Peluru berpandu baharu ini berkongsi teknologi, sistem pelancaran, dan infrastruktur perancangan misi dengan keluarga Ice Breaker yang lain, membolehkan integrasi yang lancar bersama sistem operasi sedia ada.