Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) berkata pada Rabu, ia melumpuhkan rangkaian perisikan Poland di wilayah Kaliningrad, sebuah enklaf Rusia di pantai timur Laut Baltik, yang (didakwa) mengumpul maklumat mengenai kemudahan ketenteraan, menurut berita Xinhua.
Operasi itu membawa kepada penahanan dua ejen perisikan Poland yang mengumpul dan menyalurkan data mengenai tentera Rusia, lokasi ketenteraan, situasi sosio-ekonomi dan dasar migrasi di wilayah Kaliningrad, lapor Xinhua memetik FSB yang berkaya dalam satu kenyataan.
Tujuh warga Poland lain dan tiga warga Rusia yang mempunyai hubungan dengan perkhidmatan perisikan Poland telah diberi amaran rasmi supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh diklasifikasikan sebagai pengkhianatan besar atau pengintipan, kata kenyataan itu.
Menurut Xinhua, jurucakap Kementerian Luar Negeri Poland, Maciej Wewior, berkata laporan yang dikeluarkan oleh FSB itu “sedang disahkan” sambil meminta semua pihak agar berhati-hati terhadap kenyataan daripada pihak Rusia.
“Rusia mempunyai kewajipan di bawah perjanjian dua hala untuk memaklumkan kepada kami secara rasmi sekiranya terdapat warga Poland yang ditahan, jika laporan itu benar,” kata Wewior kepada saluran berita Poland, Interia.

