GLOBAL

  • Sekurang-kurangnya 57 cedera dalam nahas babit sebuah bas dan lebih 30 kenderaan di Korea Selatan

    Sekurang-kurangnya 57 orang cedera selepas sebuah bas berlanggar dengan lebih 30 kenderaan di Korea Selatan pada awal Rabu, menurut berita Anadolu memetik media tempatan.

    Kemalangan itu berlaku di satu hentian trafik di bandar Seongnam, wilayah Gyeonggi, di selatan Seoul, ketika waktu puncak pagi — Anadolu memetik Agensi Berita Yonhap.

    Bas bandar itu yang dipandu oleh seorang lelaki berusia lingkungan 60-an, berlanggar dengan empat bas lain, sebuah trak kargo dan 27 kereta penumpang sebelum berhenti selepas merempuh penghadang jalan.

    Perlanggaran itu menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang cedera parah, namun tiada kecederaan yang dilaporkan mengancam nyawa.

    Pemandu bas itu memberitahu polis yang brek kenderaan terbabit gagal berfungsi. Dia didapati tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

  • Israel dedah peluru berpandu jelajah jarak jauh baharu dengan kepala peledak seberat 1,000 paun

    Syarikat teknologi pertahanan milik negara Israel, Rafael Advanced Defense Systems, pada Rabu mendedahkan peluru berpandu jelajah jarak jauh baharu yang dilengkapi dengan kepala peledak seberat 1,000 paun, direka untuk menyerang sasaran bernilai tinggi dari jarak yang jauh, lapor berita Xinhua.

    Peluru berpandu itu yang dinamakan ‘Super Ice’ boleh dilancarkan dari platform udara, darat dan laut, sekali gus menawarkan fleksibiliti operasi lebih besar, lapor Xinhua memetik syarikat itu berkata dalam satu kenyataan.

    Super Ice merupakan sebahagian daripada keluarga peluru berpandu jelajah berpandu berketepatan tinggi jarak jauh ‘Ice Breaker’ keluaran Rafael. Ia menampilkan ciri navigasi autonomi, keupayaan terbang pada altitud rendah, keupayaan beroperasi dalam semua keadaan cuaca serta sistem panduan canggih yang menggunakan teknologi pemadanan imej untuk mengenal pasti sasaran.

    Menurut Rafael, lapor Xinhua, peluru berpandu itu menyediakan keupayaan serangan ‘stand-off’ yang membolehkan pasukan tentera melaksanakan serangan berketepatan tinggi tanpa perlu memasuki ruang udara yang dikawal ketat oleh pertahanan musuh.

    Peluru berpandu baharu ini berkongsi teknologi, sistem pelancaran, dan infrastruktur perancangan misi dengan keluarga Ice Breaker yang lain, membolehkan integrasi yang lancar bersama sistem operasi sedia ada.

  • Enam anggota kru dilapor hilang selepas kapal tangki minyak karam dekat Chon Buri

    Tentera Laut Diraja Thailand berkata, enam kru hilang dari kapal tangki minyak yang karam di luar pantai wilayah Chon Buri, timur Thailand, pada Rabu, menurut berita Xinhua.

    Menurut berita Xinhua, tentera laut dalam satu kenyataan di Facebook berkata, operasi mencari kru yang hilang telah dilancarkan serta-merta, susulan laporan mengenai kapal tangki minyak yang karam pada 9 pagi, kira-kira 27 batu dari pesisir pantai.

  • Rusia dakwa lumpuhkan rangkaian perisik Poland di Kaliningrad, tahan 2

    Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) berkata pada Rabu, ia melumpuhkan rangkaian perisikan Poland di wilayah Kaliningrad, sebuah enklaf Rusia di pantai timur Laut Baltik, yang (didakwa) mengumpul maklumat mengenai kemudahan ketenteraan, menurut berita Xinhua.

    Operasi itu membawa kepada penahanan dua ejen perisikan Poland yang mengumpul dan menyalurkan data mengenai tentera Rusia, lokasi ketenteraan, situasi sosio-ekonomi dan dasar migrasi di wilayah Kaliningrad, lapor Xinhua memetik FSB yang berkaya dalam satu kenyataan.

    Tujuh warga Poland lain dan tiga warga Rusia yang mempunyai hubungan dengan perkhidmatan perisikan Poland telah diberi amaran rasmi supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh diklasifikasikan sebagai pengkhianatan besar atau pengintipan, kata kenyataan itu.

    Menurut Xinhua, jurucakap Kementerian Luar Negeri Poland, Maciej Wewior, berkata laporan yang dikeluarkan oleh FSB itu “sedang disahkan” sambil meminta semua pihak agar berhati-hati terhadap kenyataan daripada pihak Rusia.

    “Rusia mempunyai kewajipan di bawah perjanjian dua hala untuk memaklumkan kepada kami secara rasmi sekiranya terdapat warga Poland yang ditahan, jika laporan itu benar,” kata Wewior kepada saluran berita Poland, Interia.

  • Serangan dron Israel bunuh seorang rakyat Palestin di bumbung rumahnya di Gaza

    Seorang rakyat Palestin maut manakala beberapa yang lain cedera pada Rabu dalam satu serangan dron Israel yang menyasarkan bumbung sebuah rumah di bahagian barat bandar Gaza, dalam satu lagi pelanggaran perjanjian gencatan senjata, lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, sumber perubatan memberitahunya, bahawa Hani al-Khudari, 44, maut selepas disasarkan ketika berada di bumbung rumahnya dekat Tanah Perkuburan Sheikh Radwan di bahagian barat bandar Gaza. Jenazahnya dibawa ke Hospital Al-Shifa.

    Anadolu melaporkan, saksi memberitahunya, bahawa Khudari sedang berada di bumbung untuk mengisi air apabila sebuah dron Israel melancarkan peluru berpandu ke arahnya, yang mengakibatkan kematiannya.

  • Pasukan Israel lancar pencerobohan baharu ke wilayah Quneitra, Syria, bakar kawasan pertanian

    Pasukan Israel melancarkan pencerobohan baharu ke wilayah Quneitra di barat daya Syria pada Rabu, mengusir petani menuai buah zaitun dari tanah pertanian di bahagian selatan serta mencetuskan kebakaran di kawasan pertanian di bahagian utara, menurut berita Anadolu memetik laporan stesen televisyen rasmi Syria.

    Menurut Anadolu, TV Alikhbaria melaporkan satu pasukan peronda Israel telah mara ke kawasan di sebelah barat bandar al-Rafid, di selatan Quneitra.

    Tentera Israel menggeledah petani zaitun sebelum mengusir mereka dari ladang dan “menghalang mereka daripada meneruskan kerja mereka” — Anadolu memetik laporan penyiar itu.

    Di utara Quneitra, pasukan Israel melepaskan grenad asap ke arah kawasan pertanian dekat kampung Taranja, mencetuskan kebakaran — Anadolu memetik saluran itu.

  • Lebih 60% tentera wanita Jerman dilapor alami gangguan seksual

    Lebih 60% tentera wanita Jerman menyatakan pernah mengalami gangguan seksual sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, menurut berita Anadolu memetik majalah berita Der Spiegel pada Rabu, memetik satu tinjauan.

    Daripada lebih 4,000 tentera wanita yang menjawab soal selidik oleh Pusat Sejarah Ketenteraan dan Sains Sosial yang berpangkalan di Potsdam, lebih 60% melaporkan bahawa mereka pernah mengalami gangguan seksual semasa berkhidmat.

    Para penyelidik mengkategorikan tahap keterukan gangguan kepada empat peringkat. Kategori pertama merangkumi laporan mengenai kenyataan berunsur seksual dan komen yang menjurus. Hampir 40% wanita yang menjawab soal selidik itu menyatakan bahawa mereka pernah mengalaminya semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera Jerman (Bundeswehr).

    Lagi 15% melaporkan mengalami gangguan melalui imej—sama ada imej yang diambil tanpa kerelaan mereka atau imej yang telah diubah suai menggunakan kecerdasan buatan, manakala 8% pula menyatakan bahawa mereka pernah berdepan dengan tindakan fizikal yang tidak diingini, dan 2% lagi melaporkan kejadian keganasan seksual yang nyata.

    Sementara itu, lebih sedikit daripada satu pertiga tentera wanita terbabit menyatakan bahawa mereka tidak melaporkan—atau tidak akan melaporkan—kejadian salah laku seksual. Hal ini berpunca daripada kurangnya kepercayaan terhadap pihak atasan, atau keraguan sama ada pihak atasan benar-benar berniat untuk menyiasat perkara sedemikian secara menyeluruh.

    Laporan ini muncul pada masa Bundeswehr sedang berusaha untuk menambah kekuatan anggotanya, dengan keperluan terhadap rekrut muda kini lebih mendesak berbanding sebelum ini.

    Minggu lalu, komander tentera tertinggi Jerman dilaporkan menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes salah laku seksual dalam angkatan tentera.

    Menurut majalah itu, lapor Anadolu, Inspektor Jeneral Carsten Breuer menyifatkan situasi itu sebagai “tidak boleh diterima” dalam satu arahan rasmi yang dikeluarkan kepada angkatan tentera pada September.

    Laporan mengenai salah laku seksual—merangkumi kenyataan yang tidak wajar sehinggalah kepada kes rogol di dalam berek tentera—dilaporkan telah meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menurut berita Anadolu.

  • Dua dilapor maut dalam serangan dron Ukraine ke atas wilayah Rusia

    Dua maut dalam serangan dron Ukraine di wilayah Smolensk, Rusia, menurut berita RT memetik gabenor tempatan, Vasily Anokhin.

    Serpihan daripada dron (UAV) yang ditembak jatuh melanda sebuah blok pangsapuri di pekan Yartsevo, mencetuskan kebakaran yang meragut nyawa dua orang awam terbabit, kata Anokhin dalam satu hantaran di media sosial pada pagi Rabu — menurut RT.

    “Saya merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga dan orang tersayang mangsa. Kami turut merasai kesedihan anda,” katanya.

    Sepuluh penduduk berjaya dipindahkan dari bangunan yang terbakar itu, kata gabenor itu.

    Menurut Anokhin, lapor RT, sejumlah 37 dron telah dimusnahkan di ruang udara wilayah Smolensk, yang terletak kira-kira 360 kilometer ke barat Moscow dan bersempadan dengan Belarus.

  • Sekurang-kurangnya 3 maut, 3 parah selepas kenderaan langgar pejalan kaki di LA

    Tiga orang maut dan sekurang-kurangnya tiga yang lain parah apabila sebuah kenderaan dilaporkan melanggar pejalan kaki di kawasan kejiranan North Hollywood, menurut Jabatan Bomba Los Angeles dalam laman web rasminya pada Selasa — lapor berita Xinhua.

  • Argentina sebagai organisasi pengganas

    Iran mengisytiharkan Tentera Laut dan Tentera Udara Argentina sebagai organisasi pengganas, umum Kementerian Luar Iran pada Rabu — lapor berita Xinhua.

    Langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap keputusan Argentina pada April untuk mengisytiharkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran sebagai organisasi pengganas.