GLOBAL

  • 5 dilapor maut dalam serangan tentera AS ke atas sebuah vesel di Pasifik Timur

    Tentera AS pada Selasa berkata, lima orang maut dalam satu serangan ke atas sebuah vesel di Pasifik Timur, siri terbaharu serangan yang Washington mengatakan menyasarkan “pengganas narko” namun pakar hak asasi manusia mengutuknya sebagai pembunuhan di luar proses undang-undang, lapor berita Reuters.

    Perintah Selatan AS berkata di X bahawa ia telah “melancarkan serangan kinetik membawa maut ke atas sebuah vesel laju yang beroperasi di laluan penyeludupan dadah yang lazim digunakan di Pasifik Timur.”

    Ia memetik apa yang ia sifatkan sebagai “perisikan yang disahkan” bagi mendakwa bahawa vesel terbabit terlibat secara aktif dalam penyeludupan dadah, tanpa memberikan perincian lanjut, menurut Reuters, ia berkata lima orang maut, dan melabelkan mereka sebagai “pengganas narko”.

  • Jordan akui kematian orang awam Syria dalam serangan yang didakwa sasar pelampau IS

    Jordan pada Selasa berkata serangan udaranya di Syria telah mengorbankan kira-kira 20 militan kumpulan pelampau Islamic State (IS), tetapi turut mengakui bahawa terdapat orang awam terkorban dalam serangan terbabit, lapor berita AP.

    Menurut AP, tentera udara negara itu melancarkan serangan udara di Syria pada petang Isnin sebagai tindak balas terhadap serangan minggu lalu ke atas satu upacara pengebumian di sebuah Gereja Ortodoks Greek di bandar Karak, selatan Jordan, yang mengorbankan sembilan orang.

    Terdahulu pada hari yang sama, Jordan mengumumkan penahanan tiga lelaki bersenjata, namun tidak mendedahkan kaitan mereka dengan mana-mana kumpulan, lapor AP.

    Angka yang diberikan dalam kenyataan oleh jurucakap kerajaan Jordan, Mohammad al-Momani, berbeza dengan laporan daripada pihak tindak balas pertama di Syria.

    Pertahanan awam Syria berkata, mereka hanya menemui mayat tujuh orang awam yang terkorban dalam serangan Jordan di wilayah Daraa dan Sweida di bahagian selatan, lapor AP, lima daripada mangsa adalah satu keluarga, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita; manakala dua lelaki yang terkorban adalah warga emas.

    Kerajaan Syria dilapor berkata, serangan itu dijalankan tanpa sebarang penyelarasan atau pemberitahuan awal.

    Menurut AP, Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataan mengutuk serangan itu, menyifatkannya sebagai “pelanggaran dan pencerobohan yang tidak boleh diterima” terhadap ruang udara Syria, namun turut berkata kepimpinan kedua-dua negara akan memperkukuh penyelarasan keselamatan bagi “menghalang sebarang usaha untuk menggugat kestabilan keselamatan kedua-dua negara serta mengelakkan pertumpahan darah rakyatnya.”

    Al-Momani berkata, serangan itu dilakukan berdasarkan risikan mengenai “ancaman yang disahkan serta tindakan pengganas dirancang terhadap Jordan” dan melahirkan rasa kesal atas kematian orang awam.

  • 5 maut dalam serangan udara Jordan di selatan Syria

    Lima orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, maut dalam serangan udara Jordan yang menyasarkan beberapa lokasi di wilayah Daraa, selatan Syria pada petang Isnin, menurut berita Xinhua yang memetik laporan agensi berita kerajaan Syria, SANA, memetik kenyataan ketua direktorat kesihatan wilayah.

  • Gempa bumi 5.1 magnitud landa kawasan dekat pantai Australia Selatan

    Gempa bumi bermagnitud 5.1 menggegarkan kawasan dekat pantai Australia Selatan pada 2118 GMT Isnin, menurut Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ), lapor berita Xinhua.

    Pusat gempa, terletak pada kedalaman 10 km, dikenal pasti pada kedudukan 36.48 darjah latitud selatan dan 138.53 darjah longitud timur.

  • Kanak-kanak perempuan antara 4 rakyat Palestin maut dalam serangan Israel di Gaza

    Empat rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun, maut manakala 14 yang lain cedera dalam serangan oleh tentera Israel dan lelaki-lelaki bersenjata yang disokong Israel di Jalur Gaza pada Isnin, menurut berita Anadolu memetik sumber perubatan.

    Sumber di Hospital Nasser di selatan Gaza memberitahu Anadolu bahawa mayat dua pemuda dan seorang kanak-kanak perempuan telah dibawa ke hospital itu susulan serangan udara dan tembakan di kawasan Bir 19, barat Khan Younis.

    Menurut saksi, lapor Anadolu, sebuah dron Israel melancarkan beberapa serangan ke atas Bir 19, kawasan menempatkan khemah-khemah untuk rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, menyebabkan seorang pemuda maut dan empat yang lain cedera sederhana.

    Kenderaan tentera Israel turut melepaskan tembakan berat ke arah khemah-khemah pelarian, sementara lelaki-lelaki bersenjata disokong Israel melepaskan tembakan di kawasan sekitarnya, membunuh seorang lagi pemuda dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun, yang ditembak ketika berada di dalam khemahnya, saksi terbabit menambah, menurut Anadolu.

    Sumber dilapor berkata, seorang lagi lelaki Palestin mautdan empat yang lain cedera dalam satu serangan Israel di barat Khan Younis.

    Menurut Anadolu, sumber tempatan melaporkan sebuah dron Israel menyerang sebuah khemah yang menempatkan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Younis.

    Artileri Israel juga membedil kawasan di timur Khan Younis, manakala kenderaan tentera yang ditempatkan di sebelah timur bandar itu melepaskan tembakan berat.

    Di tengah Gaza, seorang wanita Palestin mengalami kecederaan sederhana akibat tembakan Israel di kawasan Ard al-Shawa, timur Deir al-Balah, lapor Anadolu memetik satu lagi sumber perubatan.

  • 7 dilapor maut dalam serangan udara Israel di Gaza

    Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin maut pada Ahad dalam siri serangan udara Israel di seluruh Jalur Gaza, lapor berita Xinhua memetik sumber perubatan dan keselamatan Palestin.

    Menurut Xinhua, di barat bandar Gaza, sumber perubatan di Hospital Al-Shifa memberitahunya bahawa hospital itu menerima tiga mayat susulan serangan udara Israel yang menyasarkan kampus Universiti Islam, di mana bangunannya menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal.

    Sumber keselamatan dilapor berkata, sebuah dron Israel pada mulanya menyasarkan pintu masuk sebuah bangunan kampus, menyebabkan lima orang cedera—seorang daripadanya kritikal—kemudian kembali beberapa jam kemudian dan menyerang lokasi sama, mengakibatkan tiga maut.

    Di utara bandar Gaza, seorang rakyat Palestin terkorban manakala tiga yang lain, termasuk seorang kanak-kanak, cedera dalam serangan dron Israel dekat Hospital Hamad, menurut sumber perubatan di Hospital Al-Shifa, lapor Xinhua.

    Di selatan Jalur Gaza, Kompleks Perubatan Nasser dilapor berkata dalam satu kenyataan, dua rakyat Palestin terkorban dan lima yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan pesisir pantai al-Mawasi, di barat Khan Younis.

    Di tengah Jalur Gaza, Hospital Al-Aqsa dilapor berkata, seorang rakyat Palestin terkorban dalam serangan dron Israel di Deir al-Balah.

  • Gempa bumi 5.2 magnitud gegar bahagian Afghanistan, Pakistan

    Gempa bumi 5.2 magnitud melanda bahagian Afghanistan dan Pakistan pada lewat Ahad, dengan gegaran dirasai di beberapa wilayah di kedua-dua negara berjiran itu, lapor berita Anadolu memetik media tempatan.

    Memetik penyiar Afghanistan, TOLOnews, lapor Anadolu, gempa itu menggegarkan ibu kota Afghanistan, Kabul, serta Nangarhar dan beberapa wilayah jirannya.

    Tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan di Afghanistan.

    Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean (EMSC) dilapor merekodkan gempa bumi itu pada magnitud 5.2.

    Menurut Anadolu, penyiar Pakistan, Geo News, melaporkan gegaran itu dirasai di bahagian wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut dan wilayah Gilgit-Baltistan di utara.

  • Iran kata ia musnahkan dron AS di bandar pelabuhan selatan

    Tentera Iran mengumumkan pada Ahad bahawa pasukan pertahanan udaranya memintas dan memusnahkan dron Amerika Syarikat (AS) di bandar pelabuhan selatan negara itu, Bandar Abbas, menurut berita Xinhua.

  • Gempa bumi 5.7 magnitud landa Xizang di barat daya China

    Gempa bumi 5.7 magnitud melanda Baqen di bandar Nagqu, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China, pada 7:25 petang Ahad (Waktu Beijing), lapor berita Xinhua memetik Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).

    Pusat gempa dikesan pada latitud 32.43 darjah utara dan longitud 93.99 darjah timur. Gempa berlaku pada kedalaman 10 km.

  • Tentera Mali kata 54 mayat orang awam ditemui dekat Menaka

    Satu pasukan rondaan bersama Angkatan Tentera Mali dan rakan sekutu mereka menemui mayat 54 orang awam di sebuah kem di Tagadayat, kira-kira 35 km ke tenggara Menaka di timur laut Mali, kata tentera dalam kenyataan pada Sabtu, menurut berita Xinhua.

    Pasukan rondaan itu dikerahkan susulan laporan mengenai apa yang disifatkan oleh tentera sebagai serangan pengganas terhadap orang awam di kawasan operasi Menaka, lapor Xinhua, kenyataan itu tidak menyatakan bila serangan itu berlaku atau bila mayat-mayat terbabit ditemui.

    Mangsa-mangsa telah dikebumikan di lokasi kejadian, lapor Xinhua.

    Sembilan orang yang terselamat turut ditemui dan dipindahkan ke Menaka, di mana mereka menerima rawatan daripada pihak berkuasa kesihatan tempatan, lapor Xinhua memetik kenyataan itu.

    Tentera berkata, keterangan awal saksi, mengaitkan pembunuhan itu kepada Islamic State di Greater Sahara (ISGS).

    ISGS dikatakan kumpulan yang bersekutu dengan Islamic State dan aktif di kawasan sempadan Mali, Niger, serta Burkina Faso, di mana kumpulan itu telah melancarkan pelbagai serangan.