GLOBAL

  • 3 kanak-kanak maut feri terbalik di Sungai Euphrates, Syria

    Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut dan bilangan orang yang tidak diketahui hilang selepas sebuah feri penumpang terbalik di Sungai Euphrates di wilayah timur Syria, Deir al-Zour pada Ahad, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Feri itu terbalik sejurus selepas melanggar jambatan tentera dekat kawasan kejiranan al-Huweiqa semasa membawa penumpang dari tebing barat sungai ke kampung-kampung di sebelah timur, Xinhua memetik pihak berkuasa.

    Pasukan penyelamat menemui mayat dua kanak-kanak dan menyelamatkan lebih 13 orang susulan kemalangan itu, kata Zain al-Aboud, pengarah Pengurusan Kecemasan dan Bencana di Deir al-Zour, kepada Xinhua.

    Mayat kanak-kanak ketiga kemudiannya ditemui oleh penduduk tempatan kira-kira 20 km ke hilir dekat kampung al-Tabiya.

  • 27 maut kebakaran pub di Bangkok

    Kebakaran di sebuah pub dekat Jalan Lat Phrao di daerah Chatuchak, Bangkok mengorbankan 27 orang dan mencederakan lebih 10 orang lain lewat Ahad, menurut berita Xinhua memetik laporan media Thailand.

    Kebakaran itu dilapor berlaku sekitar jam 11:57 malam waktu tempatan dan kemudian dipadamkan.

    Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul tiba di tempat kejadian sekitar jam 1:44 pagi pada Isnin, dan berkata kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap, lapor Xinhua.

  • Pasukan Perintah Pusat AS lancar lebih banyak serangan terhadap Iran

    Pasukan AS pada Ahad melancarkan pusingan serangan baharu terhadap Iran, menurut berita Xinhua memetik Perintah Pusat AS.

    “Pada jam 5 petang ET hari ini, pasukan Perintah Pusat AS mula melancarkan lebih banyak serangan terhadap Iran untuk terus melemahkan keupayaan mereka menyerang pelaut awam dan kapal komersial yang bebas melintasi Selat Hormuz,” pasukan itu dilapor sebagai berkata dalam catatan di X.

  • Angka maut gempa berkembar Venezuela meningkat kepada 4,490

    Jumlah kematian akibat gempa bumi 24 Jun lalu di Venezuela meningkat kepada 4,490, menurut berita Xinhua memetik Presiden Dewan Nasional Jorge Rodriguez pada Ahad.

    Rodriguez mengatakan dalam kemas kini harian di media sosial bahawa bilangan yang cedera kekal pada 16,740, manakala bilangan orang yang menerima bantuan meningkat kepada 120,794.
    Pihak berkuasa telah menubuhkan 108 kem dan tempat perlindungan sementara untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal.

    Sejumlah 31,837 anggota Venezuela dikerahkan untuk tindak balas bencana, disokong oleh 2,422 penyelamat antarabangsa.

    Venezuela telah mencatatkan 1,222 gegaran susulan sejak gempa bumi berkembar itu, kata kemas kini itu, menurut Xinhua.

  • 6 maut, 7 cedera selepas kereta terbalik ke pasar terbuka di Chile

    Sekurang-kurangnya enam orang maut dan tujuh lagi cedera pada pagi Ahad selepas sebuah kereta terbalik ke pasar terbuka di bandar pesisir Vina del Mar di tengah Chile, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Kejadian itu dilapor berlaku di kawasan Gomez Carreno yang popular. Manuel Millones, perwakilan presiden untuk wilayah Valparaiso, dilapor memberitahu pemberita bahawa pemandu itu telah ditangkap semasa siasatan sedang dijalankan.

    Pihak berkuasa sedang berusaha untuk menentukan “sama ada pemandu itu berada di bawah pengaruh alkohol atau sama ada ia disebabkan oleh kecuaian atau kesilapan memandu,” dia dilapor berkata.

  • Trump ancam serangan peluru berpandu besar-besaran ke atas Iran jika Tehran bertindak untuk bunuhnya

    Presiden AS Donald Trump pada Jumaat mengancam untuk melancarkan 1,000 peluru berpandu terhadap Iran, “dengan beribu-ribu lagi akan menyusul serta-merta” jika Tehran bertindak atas ancamannya untuk membunuhnya, menurut berita Xinhua.

    “Arahan telah diberikan, dan Tentera AS bersedia, sanggup, dan mampu, untuk tempoh satu tahun, tertakluk kepada lanjutan, untuk memusnahkan sepenuhnya semua kawasan di Iran,” dia dilapor mencatatkan di Truth Social.

  • 10 maut nahas pesawat kecil di Bahamas

    Sebuah pesawat kecil dikendalikan oleh Flamingo Air terhempas di Andros Utara, barat ibu kota Nassau, Bahamas, pada Jumaat, mengorbankan semua 10 orang di dalamnya, menurut berita Xinhua.

    Pada sidang akhbar, Pesuruhjaya Polis Bahamas, Shanta Knowles, berkata pesawat itu membawa sembilan penumpang dan seorang juruterbang.
    Kakitangan penyelamat menemui seorang yang menunjukkan tanda-tanda hidup di lokasi nahas, tetapi individu itu kemudiannya disahkan meninggal dunia.

    Menurut Xinhua, Pihak Berkuasa Siasatan Kemalangan Pesawat Bahamas dalam satu kenyataan berkata, maklumat awal menunjukkan pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lynden Pindling dan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang San Andros apabila ia menghadapi kesukaran sebelum mendarat dan terhempas ke dalam semak.

    Bahamas, yang terletak di barat Lautan Atlantik di utara Laut Caribbean, terdiri daripada lebih 700 pulau dan lebih 2,400 pulau kecil. Pesawat kecil alat pengangkutan utama antara pulau-pulau terbabit.

  • Angka maut gempa berkembar Venezuela meningkat kepada 4,118

    Jumlah kematian akibat gempa bumi di Venezuela 24 Jun lalu meningkat kepada 4,118 ketika kru terus membersihkan runtuhan di kawasan paling teruk terjejas, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa pada Jumaat.

    Jumlah yang cedera kekal pada 16,740, menurut angka yang dikeluarkan dalam kemas kini oleh Presiden Dewan Nasional Venezuela, Jorge Rodriguez. Sejumlah 6,462 orang diselamatkan.

    Kemas kini itu menyatakan 86,794 keluarga telah menerima bantuan, manakala 17,266 orang tinggal di 89 kem sementara di seluruh negara. Seramai 17,907 orang lagi kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka rosak atau musnah.

    Operasi tindak balas diteruskan dengan 30,076 anggota, 29,843 sukarelawan dan 3,454 penyelamat antarabangsa dikerahkan di seluruh negara.

    Venezuela telah mencatatkan 1,171 gegaran susulan sejak gempa bumi berkembar itu, Xinhua memetik kemas kini itu.

  • 10 maut tanah runtuh di selatan Filipina

    Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh pada Jumaat selepas tanah runtuh dicetuskan oleh hujan lebat menimbus mereka di selatan Filipina, menurut berita Anadolu memetik laporan media kerajaan.

    Kejadian itu berlaku sekitar jam 3 pagi (1900GMT) apabila tanah runtuh melanda sebuah perkampungan pertanian di perbandaran Malapatan, wilayah Sarangani, Anadolu memetik Agensi Berita Filipina.

    Hujan lebat itu dibawa oleh Taufan Inday, dan pegawai tempatan berkata pasukan mencari dan menyelamat sedang meneruskan “operasi pencarian untuk memastikan semua mangsa yang hilang ditemui, sama ada mati atau hidup.”

    “Kematian itu mempunyai kaitan antara satu sama lain, melalui pertalian dan darah,” kata datuk bandar Malapatan, Salway Sumbo Jr.

  • Anak lelaki Netanyahu dilapor buang nama keluarga sembunyi identiti dibenci global

    Yair Netanyahu, anak sulung perdana menteri Israel, mengubah namanya sejak setahun setengah lalu dan kini berdaftar dengan pihak berkuasa Israel bawah nama “Yonatan Han”, ketika nama keluarga Netanyahu dikecam di peringkat antarabangsa atas genosid pembunuhan dan kekejaman lain, menurut berita Fars Iran.