10 maut nahas pesawat kecil di Bahamas

Sebuah pesawat kecil dikendalikan oleh Flamingo Air terhempas di Andros Utara, barat ibu kota Nassau, Bahamas, pada Jumaat, mengorbankan semua 10 orang di dalamnya, menurut berita Xinhua.

Pada sidang akhbar, Pesuruhjaya Polis Bahamas, Shanta Knowles, berkata pesawat itu membawa sembilan penumpang dan seorang juruterbang.
Kakitangan penyelamat menemui seorang yang menunjukkan tanda-tanda hidup di lokasi nahas, tetapi individu itu kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Menurut Xinhua, Pihak Berkuasa Siasatan Kemalangan Pesawat Bahamas dalam satu kenyataan berkata, maklumat awal menunjukkan pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lynden Pindling dan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang San Andros apabila ia menghadapi kesukaran sebelum mendarat dan terhempas ke dalam semak.

Bahamas, yang terletak di barat Lautan Atlantik di utara Laut Caribbean, terdiri daripada lebih 700 pulau dan lebih 2,400 pulau kecil. Pesawat kecil alat pengangkutan utama antara pulau-pulau terbabit.