Letupan bom tepi jalan di wilayah Sistan dan Baluchestan, tenggara Iran, pada Jumaat mengorbankan seorang pegawai kanan polis, menurut berita Xinhua memetik agensi berita separa rasmi Tasnim.
Laporan itu mengenal pasti mangsa sebagai Nosrat Eftekhari, dan mengatakan dia dalam misi menangani isu dihadapi oleh kumpulan etnik serta suku kaum yang tinggal di pinggir bandar Zahedan, ibu kota wilayah itu, apabila letupan itu menghentam kereta polis dinaikinya.
Eftekhari merupakan seorang anggota elit polis wilayah itu dan penduduk asal wilayah berkenaan, lapor Xinhua memetik laporan itu.
Individu utama di sebalik pengeboman itu dilaporkan maut ketika cuba melarikan diri, manakala sebilangan anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.
Sistan dan Baluchestan, yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, sering menyaksikan keganasan membabitkan pasukan keselamatan Iran, militan, dan penyeludup dadah, dengan orang awam serta anggota keselamatan menjadi sasaran.