Sekurang-kurangnya 57 orang cedera selepas sebuah bas berlanggar dengan lebih 30 kenderaan di Korea Selatan pada awal Rabu, menurut berita Anadolu memetik media tempatan.
Kemalangan itu berlaku di satu hentian trafik di bandar Seongnam, wilayah Gyeonggi, di selatan Seoul, ketika waktu puncak pagi — Anadolu memetik Agensi Berita Yonhap.
Bas bandar itu yang dipandu oleh seorang lelaki berusia lingkungan 60-an, berlanggar dengan empat bas lain, sebuah trak kargo dan 27 kereta penumpang sebelum berhenti selepas merempuh penghadang jalan.
Perlanggaran itu menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang cedera parah, namun tiada kecederaan yang dilaporkan mengancam nyawa.
Pemandu bas itu memberitahu polis yang brek kenderaan terbabit gagal berfungsi. Dia didapati tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

