Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi pada Ahad berkata satu serangan baharu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di ibu negara Riyadh menyebabkan kecederaan, lapor berita Xinhua.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di X, GACA memaklumkan bahawa serangan itu mengakibatkan kecederaan, dan kerja penilaian kerosakan serta pemeriksaan keselamatan kemudahan lapangan terbang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
Menurut Xinhua, terdahulu pada Ahad, pakatan diketuai oleh Arab Saudi berkata satu projektil telah melanda terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.
Satu serangan menggunakan projektil yang tidak dikenal pasti telah mengenai Terminal 4 di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, kata jurucakap pakatan itu, Turki Al-Malki, di X, menurut Xinhua.
Sistem pertahanan udara telah memintas dan memusnahkan satu peluru berpandu dekat lapangan terbang itu, dan kebakaran akibat serangan itu ditangani di lokasi kejadian, katanya.
Menurut Xinhua, korespondennya mengatakan, bunyi letupan kedengaran pada petang Ahad dekat lapangan terbang itu, dan kepulan asap turut kelihatan seketika.
Serangan itu berlaku sehari selepas serangan yang menyasarkan lapangan terbang sama mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain, menurut GACA.

