109 maut, lebih 116 hilang selepas bot terbalik di luar pantai Djibouti

Sekurang-kurangnya 109 pendatang, termasuk 15 kanak-kanak, maut dan lebih 116 lagi masih hilang selepas sebuah bot yang membawa 350 orang terbalik di luar pantai Djibouti, menurut berita Xinhua memetik Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Ahad.

Bot itu dalam perjalanan dari Djibouti ke Yaman apabila ia terbalik pada waktu malam antara Khamis dan Jumaat. Pasukan IOM berada di lokasi kejadian bersama pihak berkuasa tempatan untuk memberikan bantuan kecemasan, menurut pertubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

“Ini merupakan kehilangan nyawa yang amat menyedihkan. Simpati kami bersama mereka yang terselamat dan keluarga yang kehilangan insan tersayang atau masih belum mendapat berita mengenai saudara-mara mereka,” kata Alexandre Coissac, ketua misi IOM di Djibouti, lapor Xinhua.

Daripada 109 mayat yang ditemui, 52 lelaki, 42 wanita dan 15 kanak-kanak. Lebih 80 orang terselamat dalam kejadian bot karam itu, semuanya warga Ethiopia, menurut kenyataan agensi migrasi PBB itu yang dikeluarkan pada Ahad, sambil menambah bahawa pihak berkuasa Djibouti meneruskan operasi mencari dan menyelamat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap mereka yang masih hilang, lapor Xinhua.