Dua orang maut dan seorang lagi hilang selepas hujan lebat serta banjir melanda wilayah Catalonia di timur laut Sepanyol, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa pada Ahad.
Di Tordera, kawasan Costa Brava, seorang lelaki maut selepas dihempap tembok yang runtuh ketika mengeluarkan air dari rumah banglonya di tapak perkhemahan, kata Salvador Illa, presiden Generalitat (kerajaan wilayah Catalonia).
“Malangnya, kami terpaksa melaporkan satu kematian di Tordera,” kata Illa, sambil menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mematuhi arahan rasmi memandangkan keadaan cuaca buruk masih berterusan, lapor Xinhua.
Seorang lagi individu meninggal dunia di Montornes del Valles, manakala pasukan kecemasan sedang mencari seorang individu yang dilaporkan hilang di Pineda de Mar, kira-kira 52 km di utara Barcelona, menurut pihak bomba, lapor Xinhua.
Pihak berkuasa Catalonia mengeluarkan amaran cuaca tahap merah dan menggesa orang ramai supaya kekal berada di dalam rumah dari petang Sabtu hingga petang Ahad, susulan ramalan hujan lebat.

