Pasukan kerajaan Yaman dakwa 30 anggota Houthi terbunuh dalam pertempuran sengit di Taiz

Pasukan kerajaan Yaman pada Khamis berkata 30 pejuang Houthi terbunuh dan 50 lagi cedera dalam pertempuran sengit di wilayah barat daya di Taiz, menurut berita Xinhua.

Xinhua melaporkan, saluran televisyen pro-kerajaan, Aljoumhouriya, memetik kenyataan tentera sebagai berkata anggota Houthi terbabit terbunuh atau cedera semasa pertempuran di kawasan Al-Aqroud, daerah Al-Misrakh di selatan Taiz.

Menurut Xinhua, seorang pegawai tentera Yaman memberitahunya, pertempuran sengit telah berlaku sejak awal Khamis di lima barisan hadapan di Taiz, dengan kedua-dua pasukan kerajaan dan kumpulan Houthi mengalami kerugian besar.

Pegawai itu, yang enggan namanya didedahkan, dilapor berkata pertempuran membabitkan berbalas artileri bertubi-tubi dan serangan dron.

Dia menambah bahawa pesawat perang Arab Saudi telah melancarkan beberapa serangan udara terhadap kedudukan dikuasai Houthi di Taiz pada siang hari, sementara pasukan kerajaan mempergiatkan operasi darat dan menggerakkan pasukan tambahan untuk memperkukuh beberapa barisan hadapan yang aktif.