16 maut dalam kejadian disyaki pengeboman berani mati dekat kompleks polis di barat laut Pakistan

Sekurang-kurangnya 16 orang, membabitkan 11 orang awam dan lima polis, terbunuh manakala lebih 50 lagi cedera dalam satu kejadian yang disyaki sebagai pengeboman berani mati menyasarkan kompleks polis di barat laut Pakistan ketika solat Jumaat, menurut berita Anadolu memetik pihak berkuasa.

Kejadian itu berlaku apabila sebuah kenderaan sarat dengan bahan letupan merempuh pintu pagar Old Police Lines di daerah Kohat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, kata seorang pegawai kanan polis sebagaimana dilaporkan oleh penyiar tempatan Geo News, menurut Anadolu.

Pegawai tinggi Hospital Daerah Kohat, Tahir Ali Shah, mengesahkan 15 mayat telah dibawa ke kemudahan kesihatan itu, selain mangsa yang cedera.

Polis Khyber Pakhtunkhwa mengenal pasti mangsa yang terkorban terdiri daripada 11 orang awam dan lima anggota polis, lapor Anadolu, polis berkata seorang “pengganas” turut terbunuh susulan letupan itu.

Dilaporkan, letupan menyebabkan terbentuknya sebuah lubang besar di luar masjid yang terletak di dalam kompleks polis terbabit.