Sekurang-kurangnya seorang maut dan dua lagi cedera dalam serangan bom kereta pada Rabu di wilayah pesisir selatan Ecuador, El Oro, menurut polis nasional, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, memetik pihak polis, serangan itu berlaku di kawasan Los Laureles di daerah Pasaje pada awal pagi dan membabitkan tiga letupan yang mengejutkan penduduk tempatan.
Susulan serangan itu, pihak berkuasa menutup kawasan terbabit bagi melindungi penduduk berhampiran dan memelihara tempat kejadian.
Menurut Xinhua, Renato Gonzalez, komander polis bagi Zon 7 di El Oro, memberitahu media tempatan bahawa letupan berlaku selepas sebuah kenderaan yang membawa bahan disyaki bahan letupan diletakkan di hadapan sebuah rumah. Letupan susulan merosakkan rumah terbabit serta kenderaan di sekitarnya.
Gonzalez dilapor berkata, serangan itu dipercayai menyasarkan kediaman saudara-mara seorang individu disyaki penjenayah dikenali sebagai “Nando” sambil menambah bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada insiden itu berkait dengan pertelingkahan antara kumpulan penjenayah.

