Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh, membabitkan tiga pegawai perisikan dan empat “pengganas” dalam operasi oleh pasukan keselamatan Iran untuk melumpuhkan “pasukan pengganas profesional” di wilayah tenggara Sistan dan Baluchestan pada Sabtu, menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan disiarkan di saluran berita rasminya, Sepah News, sambil menegaskan bahawa operasi bersama itu dijalankan oleh pasukan keselamatan, perisikan, dan polis Iran di daerah Saravan.
Ia menambah bahawa sejumlah senjata serta peluru dan bahan letupan ditemui di tempat persembunyian “pengganas” terbabit, sambil menegaskan bahawa setelah mengalami “kekalahan ketara di medan ketenteraan, Amerika Syarikat dan Israel, dalam usaha menutup kegagalan mereka, telah mengarahkan kumpulan pengganas untuk mencetuskan ketidakstabilan di Sistan dan Baluchestan”.
Xinhua melaporkan, menurut Sepah News, anggota kumpulan yang dilumpuhkan itu berhasrat untuk melancarkan operasi pengganas di Saravan.
Sistan dan Baluchestan, sebuah wilayah yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, sering menyaksikan pertempuran antara pasukan keselamatan Iran, militan, dan penyeludup dadah.

