Jumlah kematian akibat banjir kilat dan gelongsoran lumpur dahsyat di sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,420, manakala 5,649 orang masih hilang, menurut angka rasmi terkini, lapor berita Anadolu.
Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal berkata pada Khamis, bilangan kematian yang disahkan di negara itu telah meningkat kepada 1,377, dengan 5,130 orang masih hilang, menurut Anadolu memetik kemas kini dikeluarkan pada jam 11 pagi waktu tempatan.
Angka terkini menunjukkan 13,656 orang telah diselamatkan, manakala 333 telah menerima rawatan di 19 hospital dan 256 telah dibenarkan keluar.
Nepal telah menggerakkan lebih 21,000 anggota keselamatan, termasuk 8,885 anggota Tentera Nepal, 7,975 polis dan 4,203 anggota Pasukan Polis Bersenjata, untuk operasi mencari, menyelamat dan bantuan.
Di pihak China, jumlah kematian kekal pada 43 orang, dengan 519 orang hilang di Wilayah Autonomi Xizang barat daya, juga dikenali sebagai Tibet, menurut Anadolu memetik angka rasmi terkini.
Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal dilapor berkata pada Khamis, helikopter Tentera Nepal telah menjalankan 1,348 penerbangan, manakala helikopter Pasukan Polis Bersenjata telah menjalankan 272 penerbangan di kawasan terjejas.


