Enam orang maut dan 11 lagi hilang setakat petang Selasa selepas hujan lebat mencetuskan banjir di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China, menurut berita Xinhua memetik laporan pihak berkuasa tempatan.
Hujan lebat yang disebabkan oleh Taufan Maysak telah menjejaskan 375,000 orang di seluruh Guangxi dan sejumlah 130,000 orang telah dipindahkan dari kawasan terjejas, menurut pegawai pada sidang media.
Operasi menyelamat dijalankan di Guangxi, dengan lebih 8,000 orang, lebih 1,700 kenderaan dan 5,700 bot dikerahkan untuk mencari dan menyelamat, serta menghapuskan bahaya.
Sebahagian wilayah diramalkan akan menerima hujan lebat untuk tiga hari akan datang. Pada masa ini, 341 takungan di rantau itu berada di atas paras air had banjir mereka dan 56 stesen pemantauan di 41 sungai di Guangxi melaporkan paras air melebihi ambang amaran.
Pihak berkuasa tempatan berkata mereka akan terus memperkukuhkan amaran awal, penempatan semula penduduk, dan pemulihan pasca bencana.

