Empat anggota keselamatan terbunuh dan 16 lagi cedera selepas serangan alat letupan buatan sendiri yang dibawa oleh kenderaan berani mati menyasarkan pos pemeriksaan Pengawal Pantai Pakistan di wilayah Balochistan di barat daya negara itu, menurut berita Xinhua memetik sumber rasmi pada Sabtu.
Serangan itu berlaku kira-kira jam 6:40 petang waktu tempatan (1340 GMT) pada Jumaat apabila sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan merempuh pos pemeriksaan Pengawal Pantai Pakistan di bandar Jiwani di daerah Gwadar, menurut Xinhua memetik sumber.
Letupan kuat itu memusnahkan bangunan pos pemeriksaan, membunuh tiga anggota Pengawal Pantai Pakistan dan seorang askar Tentera Pakistan di tempat kejadian, kata sumber.
Enam belas anggota keselamatan, membabitkan lapan askar Tentera Pakistan dan lapan anggota Pengawal Pantai, cedera dalam letupan itu, dengan beberapa orang yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Xinhua melaporkan, menurut sumber, sekumpulan pengganas yang mengambil kedudukan berhampiran pos pemeriksaan itu melepaskan tembakan sejurus selepas letupan sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Ahli militan yang diharamkan, Tentera Pembebasan Balochistan, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, menurut sumber, lapor Xinhua.