1 maut, 11 cedera bas terbalik di Limpopo, Afrika Selatan

Sebuah bas membawa warga asing untuk penghantaran pulang terbalik dekat Musina di wilayah Limpopo, Afrika Selatan, mengorbankan pemandu dan mencederakan 11 penumpang, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa pada Rabu.

Jabatan Pengangkutan dan Keselamatan Komuniti Limpopo dilapor berkata, kemalangan itu berlaku di lebuh raya N1 dekat Pos Sempadan Beitbridge, dengan siasatan awal menunjukkan keletihan pemandu mungkin menyumbang kepada kemalangan itu.

“Pemandu disahkan meninggal dunia, manakala 11 penumpang mengalami kecederaan,” Mashudu Mabata, jurucakap jabatan itu dilapor sebagai berkata.

Pihak Berkuasa Pengurusan Sempadan dilapor berkata, bas itu membawa 65 warga Malawi, dalam perjalanan dari Durban di wilayah KwaZulu-Natal ke kem penghantaran pulang dekat lintasan sempadan Beitbridge.

Kemalangan itu berlaku ketika Afrika Selatan memudahkan kepulangan sukarela warga asing tanpa dokumen susulan demonstrasi anti-imigresen baru-baru ini di seluruh negara.

Pihak berkuasa sedang memproses rakyat Malawi, Zimbabwe, Ghana, Nigeria dan warga Afrika lain yang memilih untuk pulang melalui pengaturan diselaraskan antara kerajaan Afrika Selatan dan negara masing-masing.