Sekurang-kurangnya lima orang maut dan dua lagi cedera selepas tembok usang sebuah sekolah kerajaan runtuh di bandar pelabuhan Karachi, selatan Pakistan, menurut kenyataan pihak polis dan pegawai penyelamat pada Jumaat, berita Xinhua melaporkan.
Insiden itu berlaku di kawasan Mominabad, Orangi Town, di mana tujuh orang terperangkap di bawah runtuhan selepas tembok terbabit tumbang, kata jurucakap Rescue 1122.
Tiga orang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia akibat kecederaan semasa dalam perjalanan ke hospital berhampiran, Xinhua memetik jurucakap itu.
Menurut Xinhua, pihak polis mengatakan penagih dadah sering berkumpul dekat tembok terbabit dan didakwa cuba mengeluarkan batang besi daripadanya, tindakan yang mungkin melemahkan struktur tembok itu.

