Tiga orang terbunuh selepas sebuah helikopter persendirian terhempas di pulau Sifnos, Greece, di kepulauan Cyclades di Laut Aegean, pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik laporan penyiar kebangsaan Greece, ERT.
Helikopter itu terhempas di kawasan Tholos, tempat heliport pulau itu terletak, dan kebakaran berlaku di lokasi sejurus selepas nahas itu, menurut perkhidmatan bomba.
Tiga mayat ditemui terbakar semasa operasi memadam kebakaran. Maklumat awal menunjukkan mangsa adalah dua lelaki dan seorang wanita, Xinhua memetik ERT.
Helikopter itu, sebuah Bell 206, berlepas dari Markopoulo, timur Athens, menuju ke Sifnos. Ia terhempas tidak jauh dari heliport semasa menghampiri pulau itu.
Pusat operasi perkhidmatan bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 6:17 petang waktu tempatan (1517 GMT).

