3 maut, 15 cedera dalam kejadian tembakan menjelang pilihan raya parlimen wilayah autonomi Filipina

Tiga orang terbunuh dan 15 lagi cedera dalam satu kejadian tembakan sebelum tengah malam Ahad di sebuah pusat mengundi di bandar Cotabato, wilayah Maguindanao del Norte di selatan Filipina, lapor berita Xinhua.

Kejadian tembakan itu berlaku menjelang pilihan raya parlimen bagi Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao (BARMM), yang bermula pada Isnin untuk memilih parlimen pertama wilayah itu yang dipilih melalui pilihan raya.

Xinhua melaporkan, menurut polis tempatan, kumpulan politik yang bersaing berebut kedudukan dalam barisan pengundi, yang mencetuskan insiden tolak-menolak, pergaduhan fizikal, dan akhirnya kejadian tembakan di kawasan yang sesak itu.

Menurut Xinhua memetik laporan media tempatan, lebih 2 juta pengundi layak mengundi bagi merebut 80 kerusi parlimen yang dipertandingkan oleh 13 parti. Tahap keselamatan telah dipertingkatkan di seluruh BARMM sejak beberapa hari lalu, dengan lebih 20,000 anggota keselamatan dikerahkan ke pusat mengundi serta penubuhan pasukan tindak balas pantas bagi menangani sebarang kemungkinan keganasan.