Bom dibawa wanita dilapor menyebabkan tiga maut, 21 cedera dekat restoran di Moscow

Sebiji bom buatan sendiri yang dibawa oleh seorang wanita membunuh tiga orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 21 orang dalam satu letupan dekat sebuah restoran kelas atas di tengah Moscow pada petang Sabtu, menurut berita Reuters memetik pihak berkuasa.

Letupan itu berlaku sejurus sebelum 2000 waktu tempatan dekat sebuah restoran Itali yang terletak di satu daripada tujuh bangunan pencakar langit era Stalin di Moscow di Dataran Kudrinkskaya, polis dilapor berkata.

Jawatankuasa Anti-Keganasan Rusia berkata seorang wanita yang tidak dikenali cuba masuk ke restoran itu tetapi dihalang oleh seorang pengawal keselamatan, menurut Reuters memetik laporan agensi berita RIA.

Dilaporkan, wanita terbabit, pengawal keselamatan dan seorang pelanggan di restoran Itali Balzi Rossi terbunuh dalam letupan yang menyusul.

Menurut Reuters, akhbar harian Kommersant memetik sumbernya sendiri sebagai berkata bahawa bom itu bertujuan untuk mencederakan dan membunuh tetamu yang sedang berseronok di teres musim panas restoran di luar.

Ia mencadangkan bom itu diletupkan oleh orang lain dari jauh dan wanita yang membawanya mungkin tidak tahu bahawa ia adalah alat letupan.