Dua rakyat Palestin, termasuk seorang lelaki warga emas, terbunuh dan dua lagi cedera akibat tembakan Israel di Jalur Gaza pada Selasa, menandakan satu lagi pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang sedang berjalan, menurut berita Anadolu memetik sumber perubatan.
Sumber perubatan dilapor berkata, seorang lelaki berusia 69 tahun meninggal dunia kerana kecederaan dialami akibat tembakan Israel yang menyasarkan khemah orang terlantar di barat daya Khan Younis di selatan Gaza. Seorang lagi rakyat Palestin cedera dalam serangan itu.
Seorang lagi rakyat Palestin meninggal dunia akibat luka dialami dalam serangan dron Israel di barat Khan Younis pada Jumaat, sumber itu dilapor berkata.
Di utara Gaza, seorang rakyat Palestin cedera ringan dalam serangan artileri Israel menyasarkan sebuah rumah di kawasan kejiranan Al-Faluja di barat kem pelarian Jabalia, kata sumber perubatan lain.
Menurut Anadolu, dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Gaza berkata pada Selasa bahawa genosid Israel telah menyebabkan 5,000 amputasi, 300 kecederaan neurologi dan tulang belakang, dan menyebabkan 10,000 pesakit memerlukan pemulihan intensif dan jangka panjang.
Walaupun gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, tentera Israel telah membunuh 1,352 rakyat Palestin dan mencederakan 4,511 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza dilaporkan Anadolu.
Tentera Israel telah membunuh lebih daripada 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 dalam perang kejam yang telah memusnahkan atau merosakkan sebahagian besar infrastruktur awam Gaza.

