Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan 22 yang lain cedera pada Selasa dalam serangan dron menyasarkan kemudahan dan objek awam di bandar Um Rawaba, negeri Kordofan Utara, tengah Sudan, menurut berita Xinhua memetik kumpulan sukarelawan Sudan.
Kumpulan sukarelawan Rangkaian Doktor Sudan dalam satu kenyataan, menyifatkan kejadian itu sebagai “pembunuhan beramai-ramai baharu” dan menyalahkan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera atas serangan itu.
Menurut Xinhua, seorang saksi memberitahunya bahawa serangan itu berlaku sekitar jam 1 tengah hari waktu tempatan, menyasarkan pasar kecil, mahkamah tempatan, dan rumah kediaman berdekatan.
Saksi mata itu berkata sebuah dron melakukan beberapa serangan berturut-turut, melepaskan tiga peluru berpandu yang melanda halaman mahkamah, tempat orang awam berkumpul, serta bangunan pentadbiran di dalam kompleks mahkamah.
Kordofan Utara telah menyaksikan peningkatan serangan dron dan operasi ketenteraan di tengah-tengah konflik berterusan antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan RSF, yang bermula pada April 2023.

