Kemboja

  • 4 askar Thai terbunuh, 68 cedera dalam pertempuran sempadan dengan Kemboja

    Empat askar Thailand terbunuh dan 68 yang lain cedera pada Selasa dalam peningkatan pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja, kata Tentera Thailand, menurut Xinhua.

    Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kawasan Tentera Kedua Thailand, pertempuran itu berkembang dan semakin sengit, dengan pasukan Kemboja melancarkan “serangan berat” terhadap pihak Thailand.

    Serangan Kemboja melibatkan kira-kira 125 kali serangan pelancar roket berbilang BM-21 dengan kira-kira 5,000 roket dan 33 dron berani mati yang menyasarkan pangkalan dan kedudukan pertahanan Thailand di beberapa barisan hadapan, tentera Thailand dilapor berkata.

    Menurut Xinhua, tentera Thailand berkata ia bertindak balas dengan “senjata tembakan langsung, senjata tembakan tidak langsung, kereta kebal dan pesawat serangan yang terus menyerang sasaran yang ditetapkan”.

    Kawasan Tentera Kedua juga menyatakan bahawa ia akan terus melaksanakan semua langkah yang diperlukan untuk mengekalkan keselamatan dan melindungi kedaulatan Thailand sepenuhnya.

  • 377 sekolah di Kemboja ditutup akibat konflik sempadan dengan Thailand

    Kerajaan Kemboja berkata pada Isnin, sejumlah 377 sekolah di wilayah sempadan telah ditutup akibat konflik sempadan yang berterusan dengan Thailand, lapor Xinhua.

    “Penutupan itu telah menjejaskan 78,585 pelajar dan 3,197 guru,” Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan dilapor sebagai berkata dalam satu catatan di halaman Facebook rasminya.

    Wilayah utama yang terjejas ialah Oddar Meanchey, Preah Vihear, dan Banteay Meanchey.

    Menurut Xinhua, Menteri Penerangan Kemboja Neth Pheaktra berkata pada Isnin, empat orang awam Kemboja yang tidak bersalah telah terbunuh dalam konflik itu, dengan sembilan yang lain cedera, ketika puluhan ribu orang telah melarikan diri dari rumah mereka dekat sempadan untuk mendapatkan tempat perlindungan yang selamat.

    “Tiga orang awam terbunuh di wilayah Oddar Meanchey dan seorang terbunuh di wilayah Preah Vihear,” dia dilapor berkata kepada Xinhua melalui telefon.

  • Kemboja kosongkan sebuah kampung di sempadan yang dipertikaikan dengan Thailand ketika ketegangan meningkat

    Kemboja pada Khamis memindahkan ratusan orang dari sebuah kampung di sempadannya yang dipertikaikan dengan Thailand, sehari selepas salah seorang penduduknya dilaporkan terbunuh apabila kejadian tembakan antara kedua-dua negara berlaku di sana, lapor AP.

    Penembakan pada Rabu berlaku dua hari selepas seorang askar Thailand kehilangan kakinya akibat terkena periuk api ketika meronda kawasan lain di sempadan.

    Thailand dilaporkan menyalahkan Kemboja atas letupan itu dan mengumumkan ia akan menggantung pelaksanaan terma gencatan senjata yang sebahagiannya diuruskan oleh Presiden AS Donald Trump.

    Pertikaian wilayah mengenai lokasi sebenar sempadan antara negara jiran Asia Tenggara itu menyebabkan konflik bersenjata selama lima hari pada akhir Julai yang mengorbankan berpuluh-puluh askar dan orang awam.

    Tetapi ketegangan masih tinggi. Banyak terma perjanjian gencatan senjata yang lebih terperinci yang ditandatangani bulan lalu masih belum dilaksanakan.

    Seorang lelaki Kemboja yang dikenal pasti sebagai Dy Nai dilaporkan terbunuh dalam kejadian tembakan pada Rabu, manakala tiga orang lain cedera, lapor AP.

    Kira-kira 250 keluarga dari kampung Prey Chan di wilayah Banteay Meanchey di barat laut Kemboja, tempat kejadian tembakan itu berlaku, telah dipindahkan ke sebuah kuil Buddha kira-kira 30 kilometer (18 batu) dari sempadan, kata Ly Sovannarith, naib gabenor wilayah, lapor AP.

    Kampung yang sama dikatakan lokasi konfrontasi ganas tetapi tidak membawa maut pada September antara anggota keselamatan Thailand dan penduduk kampung Kemboja.

    Menurut AP, Kementerian Pertahanan Kemboja pada Khamis mengetuai ahli pasukan yang ditugaskan untuk memantau gencatan senjata di sempadan. Pasukan pemerhati termasuk pegawai dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara.

    Thailand dan Kemboja mempunyai sejarah permusuhan sejak berabad-abad lamanya, ketika mereka berperang sebagai empayar.
    Tuntutan wilayah mereka yang bersaing sebahagian besarnya berpunca daripada peta 1907 yang dilukis ketika Kemboja berada di bawah pemerintahan penjajah Perancis, yang didakwa oleh Thailand sebagai tidak tepat.

    Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 1962 telah menganugerahkan kedaulatan kepada Kemboja ke atas kawasan yang merangkumi kuil Preah Vihear yang berusia 1,000 tahun, yang masih menjengkelkan ramai rakyat Thailand.

    Perjanjian gencatan senjata Oktober tidak menggariskan jalan untuk menyelesaikan asas pertikaian tersebut, menurut laporan AP.

  • Sempadan Thailand-Kemboja tegang, sekurang-kurangnya seorang terbunuh

    Sekurang-kurangnya seorang terbunuh di Kemboja di tengah-tengah konflik semakin memuncak dengan Thailand pada Rabu apabila kedua-dua negara berjiran itu menuduh satu sama lain melepaskan tembakan di bahagian sempadan mereka yang dipertikaikan, mengancam gencatan senjata diuruskan oleh AS, lapor Reuters.

    Menurut Reuters, terdahulu pada Rabu, kementerian luar Thailand berkata ia telah menuntut permohonan maaf daripada Kemboja selepas menuduhnya meletakkan periuk api baharu yang mencederakan seorang askar Thailand pada Isnin.

    Pada Selasa, Thailand dilapor berkata ia menggantung perjanjian gencatan senjata yang dipertingkatkan, ditandatangani oleh kedua-dua negara bulan lalu di hadapan Presiden Donald Trump.

    Kemboja menafikan dakwaan bahawa ia telah meletakkan periuk api baharu dan telah menggesa Thailand untuk mematuhi perjanjian Oktober, yang dibina di atas gencatan senjata awal yang dirundingkan oleh Trump untuk menamatkan pertempuran selama lima hari pada Julai, lapor Reuters.

    Menurut Reuters, Kementerian Pertahanan Kemboja berkata tentera Thailand melepaskan tembakan dekat sebuah kampung sempadan yang dipertikaikan sekitar jam 3:50 petang waktu tempatan (0850 GMT) pada Rabu.

    Seorang terbunuh dan tiga cedera, kata kementerian itu dalam satu kenyataan, menurut Reuters.

    Jurucakap Tentera Darat Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, dilapor berkata askar Kemboja pada mulanya melepaskan tembakan ke arah Thailand.

    “Pasukan Thailand berlindung dan melepaskan tembakan amaran sebagai tindak balas, mengikut peraturan libat urus,” dia dilapor berkata, sambil menambah bahawa tiada korban di pihak Thailand.

    “Insiden itu berlangsung kira-kira 10 minit sebelum keadaan tenang kembali.”

    Petempatan sempadan yang dipertikaikan itu, yang dikatakan Thailand sebagai sebahagian daripada kampung Ban Nong Ya Kaew di wilayah Sa Kaeo, tetapi yang dikatakan Kemboja sebagai sebahagian daripada kampung Prey Chan di wilayah Banteay Meanchey, telah menjadi tapak konfrontasi sebelum ini, menurut Reuters.

    Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, dilapor memberitahu pemberita pada Rabu bahawa Thailand meminta permohonan maaf daripada Kemboja atas insiden periuk api pada Isnin.

    “Kami meminta mereka untuk mencari fakta tentang apa yang berlaku dan siapa yang bertanggungjawab, dan dengan itu, meminta mereka untuk melaksanakan langkah-langkah bagi mencegah berulangnya situasi itu pada masa hadapan.”

    Seorang jurucakap kerajaan Kemboja enggan mengulas mengenai tuntutan Thailand, menurut Reuters.

    Menurut agensi berita itu, sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dan dianggarkan 300,000 orang kehilangan tempat tinggal sementara semasa pertempuran pada Julai, yang menyaksikan berbalas tembakan roket, artileri berat dan serangan udara.

    Letupan periuk api darat di sepanjang kawasan sempadan yang dipertikaikan dikatakan antara pemangkin di sebalik pertempuran sempadan, dengan sekurang-kurangnya tujuh askar Thailand cedera parah dalam insiden berkaitan periuk api sejak 16 Julai.

    Negara jiran Asia Tenggara itu dilaporkan mempertikaikan kedaulatan selama lebih daripada satu abad mengenai titik-titik yang tidak ditandakan di sepanjang sempadan darat mereka sepanjang 817 km (508 batu), yang pertama kali dipetakan pada tahun 1907 oleh Perancis ketika ia memerintah Kemboja sebagai sebuah tanah jajahan.

  • 5 rakyat Kemboja cedera akibat tembakan di tengah-tengah penggantungan pakatan damai dengan Thailand

    Sekurang-kurangnya lima orang awam Kemboja cedera akibat tembakan pada Rabu di sempadan dengan Thailand, di tengah-tengah tuntutan yang bertentangan dari kedua-dua pihak, hanya beberapa hari selepas pihak Thailand menggantung pakatan damai, lapor Anadolu.

    Anadolu melaporkan, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Kemboja, “pasukan Thailand melepaskan tembakan ke arah orang awam Kemboja” di kampung sempadan Prey Chan di daerah O’Chrov di wilayah Banteay Meanchey, sambil menambah bahawa “lima orang awam cedera dalam serangan ini”.

    Kemboja “mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang tidak berperikemanusiaan dan kejam ini,” jurucakap kementerian Leftenan Jeneral Maly Socheata dilapor berkata, menggesa Thailand untuk “segera menghentikan semua permusuhan yang mengancam keamanan dan kestabilan di rantau ini”.

    Maly dilapor berkata, Kemboja “komited sepenuhnya untuk menghormati dan melaksanakan terma gencatan senjata dan perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand, serta perjanjian lain yang dicapai oleh kedua-dua pihak, atas semangat niat baik dan tanggungjawab tertinggi”.

    Dia dilapor berkata, insiden tembakan itu berlaku sekitar jam 3.50 petang (0850GMT) di sempadan negara-negara terbabit, yang telah menyaksikan peningkatan ketegangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Secara berasingan, jurucakap Tentera Darat Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvari mendakwa bahawa askar Kemboja melepaskan tembakan ke kawasan sempadan Thailand, laporan Anadolu memetik Thai PBS.

    Selepas dakwaan “serangan awal” oleh Kemboja, Winthai berkata tentera Thailand melepaskan tembakan amaran ke arah titik tembakan yang masuk, “mengikut peraturan undang-undang”.

    Tiada korban jiwa di pihak Thailand, tambahnya.

    ​​​​​​Terdahulu, timbalan jurucakap tentera Thailand, Kolonel Richa Sooksuwanon mendakwa, “pihak Thailand telah bersedia dan tidak membalas dendam dalam apa jua cara,” Anadolu memetik saluran Thai, Khaosod English.

    Insiden itu susulan penggantungan Bangkok pada Isnin terhadap pakatan damainya dengan Phnom Penh selepas empat tentera Thailand cedera dalam letupan periuk api di wilayah sempadan Si Sa Ket.

  • Thailand tuntut Kemboja nyatakan rasa kesal atas letupan periuk api darat yang mencederakan 4 askar

    Thailand menuntut Kemboja menyatakan “rasa kesal” selepas letupan periuk api darat mencederakan empat askar Thailand, mengakibatkan penggantungan pakatan damai antara dua negara jiran Asia Tenggara itu, Anadolu memetik laporan Thai Enquirer pada Selasa.

    Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, dilapor berkata Bangkok menggesa Phnom Penh untuk mengambil tiga tindakan segera, termasuk menyatakan rasa kesal, menjalankan siasatan menyeluruh, serta melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah insiden serupa.

    Thailand dilaporkan menggantung perjanjian damai dengan Kemboja pada Isnin selepas askar-askar itu cedera dalam letupan periuk api darat di wilayah sempadan Si Sa Ket.

    Menurut laporan Anadolu, tentera Thailand mendakwa periuk api anti-kakitangan, PMN-2, “baru diletakkan oleh pasukan Kemboja di kawasan Huai Tamaria, daerah Kantharalak”.

    Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata, dilaporkan melahirkan “kekesalan” mengenai letupan itu tetapi berkata rondaan oleh tentera Thailand adalah “ke dalam medan periuk api yang merupakan sisa-sisa konflik lalu”.

    Maly “menolak tegas” tuduhan bahawa Kemboja meletakkan periuk api baharu di rantau itu, Anadolu memetik laporan Khmer Times.

    Menurut Anadolu, Bangkok telah mengemukakan bantahan dengan Phnom Penh melalui panggilan dan merancang untuk mengemukakan surat rasmi kepada Kemboja, Jepun, ketua PBB, AS, Malaysia sebagai pengerusi blok Asia Tenggara ASEAN, dan negara anggota lain.

    Ia juga dilaporkan telah menangguhkan pembebasan dijadualkan 18 askar Kemboja yang telah berada dalam tahanan Thailand sejak pertempuran sempadan pada Julai.

  • Kemboja nafi dakwaan letak periuk api baharu di kawasan sempadan

    Kemboja menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Thailand bahawa periuk api baharu telah diletakkan di kawasan sempadan, kata kenyataan kementerian luar Kemboja yang dikeluarkan pada tengah malam Isnin, Xinhua melaporkan.

    “Kerajaan Diraja Kemboja menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Thailand bahawa periuk api baharu telah diletakkan oleh Kemboja di sempadan dengan Thailand,” kenyataan itu dilapor sebagai berkata.

    Menurut Xinhua, kenyataan itu menambah bahawa adalah penting untuk diperhatikan bahawa kebanyakan lapangan periuk api, daripada hampir tiga dekad perang saudara Kemboja, di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand masih belum dibersihkan kerana rupa bumi yang sukar dan status kawasan sempadan yang tidak bertanda.

    Kerajaan Kemboja amat bimbang mengenai keputusan Thailand untuk menghentikan deklarasi keamanan bersama, kenyataan itu dilapor berkata, sambil menambah “Kemboja kekal komited untuk melaksanakan Deklarasi Bersama”.

    Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dilaporkan mengarahkan penghentian deklarasi keamanan bersama pada Isnin, susulan letupan periuk api dekat kuil Preah Vihear di kawasan sempadan, mencederakan dua askar Thailand.

    Keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu menandatangani deklarasi keamanan bersama di Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 Oktober.