Angka kematian dalam kebakaran bangunan kediaman Hong Kong meningkat kepada 94, lapor Xinhua memetik jabatan bomba.
Hong Kong
-
Operasi padam kebakaran hampir selesai di kawasan kediaman Hong Kong
Operasi memadam kebakaran di Wang Fuk Court, kompleks kediaman yang dilanda kebakaran besar sejak petang Rabu, hampir selesai, kata Jabatan Perkhidmatan Bomba (FSD) dalam taklimat akhbar awal pagi Jumaat, menurut berita Xinhua.
FSD masih memadamkan api dalam empat unit dan menyembur air pada unit lain untuk mengelakkan api menyala (flare-ups).
Anggota bomba akan memasuki semua unit di tujuh bangunan yang terjejas untuk mencari penduduk yang terperangkap, kata FSD, sambil menambah bahawa pencarian dijangka selesai pada 9 pagi Jumaat, lapor Xinhua.
-
Angka maut kebakaran di Hong Kong dilapor cecah 83 orang
Angka maut dalam kebakaran kediaman bertingkat tinggi di Hong Kong dilaporkan meningkat kepada 83 orang dengan lebih ramai lagi disenaraikan sebagai hilang.
Menurut laporan Reuters, anggota bomba kebanyakannya mengawal kebakaran yang memusnahkan kompleks perumahan Wang Fuk Court itu di daerah utara di Tai Po, yang terburuk dalam tempoh hampir 80 tahun.
Jumlah kematian yang disahkan meningkat kepada 83 orang setakat tengah malam di Hong Kong pada Khamis, kata petugas kecemasan Hong Kong, lapor Reuters.
Itu menjadikannya kebakaran paling maut di Hong Kong sejak 1948, apabila 176 orang terbunuh dalam kebakaran gudang, menurut agensi berita itu.
Menurut Reuters, kerajaan berkata pada awal pagi Khamis bahawa 279 orang telah disenaraikan sebagai hilang, tetapi angka itu tidak dikemas kini selama 24 jam.
-

Hong Kong kawal kebakaran, angka maut meningkat kepada 65, dengan 280 masih hilang
Hong Kong berkata pada Khamis bahawa ia mengawal kebakaran paling dahsyat dalam beberapa dekad, kebakaran yang melanda sebuah kompleks kediaman di Tai Po, membunuh 65 orang dan menyebabkan 280 yang lain tidak dapat dikesan, lapor Anadolu memetik media tempatan.
Setakat ini, 65 orang telah meninggal dunia, termasuk seorang anggota bomba, dan 70 cedera, termasuk 10 anggota bomba, manakala 62 masih terperangkap di dalam bangunan, Anadolu memetik South China Morning Post.
Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee sebelum ini lapor menyatakan bahawa kebakaran di tujuh bangunan itu telah dapat dikawal.
Kebakaran dilapor berlaku sekitar tengah hari Rabu di kompleks itu, yang terdiri daripada lebih 1,900 pangsapuri, dan merebak dengan cepat berikutan perancah buluh yang dipasang di bahagian luar untuk kerja pengubahsuaian.
Daripada tujuh bangunan yang dilalap api di kompleks itu, dianggarkan menempatkan kira-kira 4,000 penduduk.
Seramai 280 orang masih hilang, dan pasukan bomba meneruskan operasi memadam kebakaran, lapor Anadolu.
Polis telah menahan tiga orang, dua pengurus dan seorang jurutera perunding daripada syarikat pembinaan yang menjalankan pengubahsuaian, kerana disyaki “pembunuhan tanpa niat”.
Pihak berkuasa dilapor berkata, perancah buluh yang didirikan untuk pengubahsuaian dan bahan plastik buih yang menutup tingkap menyumbang dengan ketara kepada api merebak dengan cepat.
“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa individu yang bertanggungjawab di syarikat itu cuai, yang menyebabkan api merebak dengan cepat dan menyebabkan banyak kematian,” Superintendan Kanan Eileen Chung Lai-yee dilapor berkata.
Setiausaha Keselamatan Hong Kong, Chris Tang dilapor berkata, siasatan awal menunjukkan kelajuan api merebak adalah luar biasa, terutama merujuk kepada bahan penebat buih.
“Kami mendapati bahawa bahan yang menutupi dinding bangunan, jaring di sekeliling perancah, dan kain terpal kalis air menyebabkan api merebak lebih cepat daripada yang akan berlaku dengan bahan yang memenuhi piawaian keselamatan,” dia dilapor berkata.
Buat pertama kali dalam 17 tahun, Hong Kong mengeluarkan penggera kebakaran tahap-5, yang tertinggi pada skala lima peringkat bandar itu.
Pihak berkuasa melaporkan dua kompleks bersebelahan turut dikosongkan dan kira-kira 900 penduduk yang terjejas akibat kebakaran telah berteduh di lapan kemudahan sementara, lapor Anadolu.
Lebih 140 kenderaan pemadam kebakaran dan lebih 800 anggota kecemasan dan bomba dikerahkan ke tempat kejadian.
Jabatan Pengangkutan mengumumkan jalan di kawasan itu telah ditutup akibat kebakaran.
Presiden China Xi Jinping mengucapkan takziah kepada kerajaan Hong Kong atas kehilangan nyawa dan mengarahkan Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau di Beijing untuk menyokong pihak berkuasa tempatan dalam respons mereka.
-
Angka maut kebakaran bangunan Hong Kong meningkat kepada 55 – jabatan bomba
Angka kematian dalam kebakaran besar yang melanda kawasan kediaman di Hong Kong dari petang Rabu meningkat kepada 55, kata Jabatan Perkhidmatan Bomba (FSD) dalam taklimat akhbar pada Khamis, lapor Xinhua.
FSD dilapor berkata, 72 orang yang cedera dalam kebakaran itu telah dihantar ke hospital untuk rawatan, termasuk lapan anggota bomba. Lebih 200 orang masih hilang.
FSD telah menghantar sejumlah 304 jentera bomba dan kenderaan penyelamat, dan menggunakan dron untuk memantau tahap haba bagi mengelakkan pembakaran semula. Jabatan itu telah memadamkan api di empat bangunan yang terjejas dan mengawal kebakaran di tiga yang lain.
Kawasan kediaman Wang Fuk Court terdiri daripada lapan bangunan, semuanya disarung oleh jaringan hijau dan perancah kerana projek pengubahsuaian besar. Tiga lelaki yang bertanggungjawab untuk pengubahsuaian telah ditahan sebelum ini kerana disyaki membunuh secara tidak sengaja, kerana siasatan polis menunjukkan bahan mudah terbakar yang menutupi bangunan sebagai kemungkinan punca api merebak dengan cepat.
-

Polis Hong Kong tahan 3 berhubung kebakaran kawasan kediaman yang meragut 44 nyawa
Tiga lelaki ditahan kerana disyaki meyebabkan kematian dalam kebakaran yang berlaku di Wang Fuk Court, kawasan kediaman di Tai Po, Hong Kong, pada petang Rabu, kata Pasukan Polis Hong Kong pada taklimat akhbar pada Khamis, menurut laporan Xinhua.
Kebakaran itu menyebabkan 44 orang maut dan 45 lagi cedera sehingga awal pagi Khamis, kata polis, lapor Xinhua.
Siasatan polis mencadangkan jaring pelindung, kanvas kalis air dan kain plastik yang menutupi bangunan mungkin tidak memenuhi piawaian kalis api.
Polis juga mendapati buih poliuretana digunakan untuk menutup tingkap lobi lif di bangunan yang tidak terjejas di kawasan perumahan, dan menunjuk kepada bahan mudah terbakar sebagai kemungkinan punca api merebak dengan cepat.
Ketiga-tiga lelaki itu adalah eksekutif sebuah syarikat pembinaan yang bertanggungjawab memasang bahan-bahan ini untuk pengubahsuaian bangunan.
Suspek berusia antara 52 dan 68 tahun itu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang perunding projek yang kecuaian teruk mereka dipercayai menyebabkan kemalangan jiwa. -
Api sambar bangunan kediaman di Hong Kong
Kebakaran melanda sebuah bangunan kediaman di daerah Tai Po, utara Hong Kong pada Rabu, dengan asap kelabu tebal berkepul-kepul ketika perkhidmatan kecemasan berusaha memadamkan kebakaran, menurut berita Reuters.
Beberapa orang terperangkap di dalam, Reuters memetik laporan penyiar awam RTHK, memetik polis, manakala seorang lelaki dikatakan melecur teruk.
Jabatan bomba dilapor berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 2:51 petang waktu tempatan yang kebakaran berlaku di Wang Fuk Court di Tai Po.
Wang Fuk Court ialah sebuah kompleks perumahan yang terdiri daripada lapan blok, menyediakan hampir 2,000 unit kediaman. Beberapa menara di sekeliling menara yang menyala itu mempunyai perancah buluh di bahagian luarnya.
-
Hong Kong menyaksikan Oktober terpanas sejak 1884 – Laporan
Hong Kong mencatatkan Oktober terpanas sejak rekod bermula pada 1884, Anadolu memetik laporan media tempatan pada Selasa.
Balai Cerap Hong Kong dilapor berkata, bacaan menunjukkan purata suhu bulanan tertinggi sejak 1884 pada 27.4C (81.32F), dan purata suhu minimum bulanan tertinggi pada 25.6C (78F), Anadolu memetik South China Morning Post.
Purata suhu maksimum bulanan juga merupakan yang kedua tertinggi direkodkan, pada 29.9C (85.82F), manakala yang tertinggi, 30.3C (86.54), direkodkan pada tahun 2024.
Balai cerap memetik antisiklon udara atas yang berterusan di selatan China sebagai sebab suhu tinggi.
“Di bawah pengaruh antisiklon di udara, cuaca tempatan secara amnya baik dan sangat panas pada tiga hari pertama bulan itu,” peramal cuaca dilapor berkata pada Selasa.