Hong Kong

  • 15 ditangkap dalam rompakan 1 bilion yen di Hong Kong

    Lima belas orang ditangkap selepas 1 bilion yen (kira-kira 6.35 juta dolar AS) dirompak dari sebuah kedai pertukaran mata wang sebelum ini di Sheung Wan, Hong Kong, lapor Xinhua memetik polis Hong Kong pada Isnin.

    Antara mereka yang ditangkap, tujuh orang didakwa dengan konspirasi untuk melakukan rompakan, lapor Xinhua, polis menyifatkan kes itu sebagai sangat serius, dan mereka sedang mengesan keberadaan dana yang dirompak.

    Siasatan masih dijalankan, dan tangkapan selanjutnya tidak diketepikan, polis dilapor berkata pada sidang akhbar.

    Pada 18 Disember, dua pekerja sebuah syarikat Jepun yang terlibat dalam perniagaan mata wang kripto dan barangan mewah pergi ke Sheung Wan, dengan niat untuk menukar 1 bilion yen yang dipek dalam empat beg pakaian. Apabila mereka keluar dari kenderaan mereka di 33 Wing Lok Street, sebuah kereta persendirian tiba-tiba muncul. Tiga perompak keluar, seorang menghunus pisau, dan merampas empat beg pakaian yang mengandungi wang itu, menurut laporan Xinhua

    Menurut polis, suspek yang ditahan membabitkan 11 lelaki dan 4 wanita, berumur antara 20 dan 69 tahun, semuanya penduduk tempatan, dan ada yang mempunyai latar belakang kongsi gelap, lapor Xinhua, polis percaya dalangnya telah ditangkap.

  • Angka maut akibat kebakaran terburuk dalam beberapa dekad di Hong Kong meningkat kepada 161

    Jumlah kematian akibat kebakaran paling dahsyat dalam beberapa dekad di Hong Kong meningkat kepada 161 pada Sabtu, apabila seorang lagi disahkan meninggal dunia melalui analisis forensik, lapor Anadolu.

    “Ujian forensik lanjut menemui DNA seorang lagi dalam salah satu mayat, yang dikenal pasti milik pasangan. Ini bermakna jumlah kematian telah meningkat kepada 161,” kata Pesuruhjaya Polis Joe Chow Yat-ming pada Sabtu selepas perarakan tamat latihan di Kolej Polis Hong Kong, lapor Anadolu memetik South China Morning Post.

    “Ujian DNA sedang dijalankan. Kami tidak menolak kemungkinan orang lain yang telah meninggal dunia mungkin ditemui dan jumlah kematian mungkin meningkat,” tambahnya.

    Ketua polis itu berkata semua enam kes hilang sebelum ini telah disahkan. Lima orang disahkan mati dalam kebakaran itu, dengan seorang lagi meninggal dunia pada 2023.

    Terdahulu, polis menghubungi kira-kira 100 isi rumah di kompleks kediaman itu untuk mengumpul sampel DNA bagi mengenal pasti mangsa.

    Kebakaran itu menyebabkan hampir 5,000 orang kehilangan tempat tinggal.

  • Jumlah kematian meningkat kepada 160 dalam kebakaran bangunan kediaman di Hong Kong

    Jumlah kematian meningkat kepada 160 dalam kebakaran bangunan kediaman di Hong Kong, lapor Xinhua memetik polis.

  • Angka kematian akibat kebakaran Hong Kong meningkat kepada 159

    Jumlah kematian dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh menara tinggi di Hong Kong minggu lalu meningkat kepada 159, kata polis pada Rabu, menurut Reuters.

    Sebanyak 140 daripada mereka telah dikenal pasti – 91 daripadanya wanita dan 49 lelaki, menurut kenyataan polis. Yang termuda hanya berusia setahun dan yang tertua 97, tambahnya.

  • 10 pembantu domestik warga asing maut, 3 cedera dalam kebakaran kediaman Hong Kong

    Setiausaha Buruh dan Kebajikan kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) Chris Sun berkata pada Selasa, 10 pembantu domestik asing terbunuh, tiga lagi cedera dan kira-kira 30 masih hilang dalam kebakaran besar kediaman yang berlaku di Tai Po pada 26 November lalu, menurut berita Xinhua.

  • Angka kematian dalam kebakaran kompleks kediaman Hong Kong dilapor meningkat kepada 151

    Angka kematian dalam kebakaran kompleks kediaman Hong Kong meningkat kepada 151, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa.

    Polis Hong Kong menahan 13 orang kerana disyaki melakukan pematian orang (manslaughter) dalam kebakaran besar di kompleks kediaman Wang Fuk Court, kata pihak berkuasa tempatan pada taklimat akhbar pada Isnin, lapor Xinhua.

    Siasatan polis dilaporkan masih diteruskan, dan mungkin terdapat lebih banyak tangkapan.

    Tujuh daripada 20 sampel jejaring pembinaan yang dikumpul dari kompleks itu gagal memenuhi piawaian kalis api, pihak berkuasa dilapor berkata.

  • Angka kematian dalam kebakaran bangunan kediaman Hong Kong meningkat kepada 146

    Angka kematian dalam kebakaran bangunan kediaman Hong Kong meningkat kepada 146, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa

    Xinhua melaporkan, polis Hong Kong berkata pada Ahad, unit siasatan mangsa mengesahkan keselamatan 159 penduduk yang dilaporkan hilang sebelum ini selepas kebakaran besar berlaku di kompleks kediaman pada 26 November lalu.

    Bercakap pada taklimat akhbar, Tsang Shuk-yin, pegawai yang bertanggungjawab bagi unit siasatan mangsa Pasukan Polis Hong Kong, dilapor berkata setakat 4 petang waktu tempatan pada Ahad, angka kematian akibat kebakaran telah meningkat kepada 146, dengan 79 orang cedera.

    Pada masa ini, 100 kes diklasifikasikan sebagai tidak dapat dikesan, atas sebab-sebab seperti maklumat yang terpecah-pecah, individu yang tidak tinggal di Wang Fuk Court, atau pemberi maklumat yang tidak mempunyai alamat orang yang hilang, katanya, seperti dilaporkan Xinhua.

  • Bintang K-pop umum sumbangan sokong mangsa kebakaran menara Hong Kong

    Kumpulan K-pop aespa dan bintang pop Korea Selatan yang lain mengumumkan derma untuk menyokong mangsa kebakaran pangsapuri di Hong Kong yang mengorbankan sekurang-kurangnya 128 orang dalam salah satu kebakaran paling dahsyat di bandar itu, menurut laporan AP.

    Kumpulan gadis aespa berkata mereka akan menderma 500,000 dolar Hong Kong ($64,000) kepada Palang Merah Hong Kong, menurut catatan di akaun Weibo rasmi mereka, lapor AP.

    “Kami meluahkan rasa dukacita yang mendalam mengenai berita yang menyayat hati ini,” kumpulan itu dilapor berkata.

    Stray Kids dilaporkan menjanjikan 1 juta dolar Hong Kong ($129,000) melalui World Vision Hong Kong untuk perumahan sementara dan sokongan lain untuk kanak-kanak dan penduduk terjejas.

    “Kami semua sangat sedih apabila mendengar berita malang dari Hong Kong,” kumpulan itu dilapor berkata.

    SM dan JYP Entertainment, dua syarikat hiburan terbesar Korea Selatan, dilapor menyumbangkan 3 juta dolar Hong Kong ($385,000) untuk bantuan kecemasan dan pemulihan bencana.

    Kumpulan K-pop lain yang dikatakan turut menjanjikan sumbangan termasuk kumpulan lelaki Riize, EXO-CBX dan KickFlip menyumbang 100,000 dolar Hong Kong ($12,900) melalui World Vision Hong Kong.

    Menurut AP, penganjur MAMA AWARDS, majlis anugerah K-pop tahunan dua hari yang dijadualkan pada Jumaat dan Sabtu di Hong Kong, berdepan kritikan dalam talian di Korea Selatan kerana tidak membatalkan acara itu berikutan tragedi kebakaran.

    Syarikat hiburan Korea Selatan CJ E&M dilaporkan membatalkan acara permaidani merah kedua-dua hari tetapi berkata upacara utama akan diteruskan.

    “Kami mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan nyawa dalam kebakaran di Hong Kong,” CJ E&M dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Menurut AP, syarikat itu berkata anugerah itu akan menambah mesej “Sokong Hong Kong” dan termasuk masa untuk berkabung. Penganjur juga berjanji untuk menderma 20 juta dolar Hong Kong ($2.6 juta) kepada dana sokongan yang ditubuhkan oleh kerajaan Hong Kong.

    “Kami percaya pada kuasa penyembuhan dan solidariti muzik,” kenyataan itu dilapor sebagai berkata.

  • Angka maut akibat kebakaran maut Hong Kong meningkat kepada 128, ratusan hilang

    Angka kematian akibat kebakaran paling teruk di Hong Kong dalam beberapa dekad meningkat kepada 128 orang setakat Jumaat, dengan pihak berkuasa berkata mereka telah mengawal kebakaran, yang memusnahkan kompleks kediaman di daerah Tai Po, lapor Anadolu memetik media tempatan.

    Seorang anggota bomba adalah antara yang maut, manakala 79 orang cedera, termasuk 11 anggota bomba, Anadolu memetik laporan South China Morning Post.

    Operasi menyelamat dilaporkan sedang dijalankan, walaupun kebakaran di semua blok kompleks pangsapuri Wang Fuk Court telah dapat dikawal.

    Setiausaha Keselamatan Chris Tang Ping-keung melaporkan bahawa jumlah kematian telah melepasi 100, kini mencecah 128, dan memberi amaran lebih banyak mayat masih boleh ditemui.

    Pihak berkuasa telah menerima 467 laporan individu hilang. Selain itu, kira-kira 200 orang berada dalam “situasi tidak menentu” termasuk 80 mayat yang “tidak dapat dikenal pasti”, kata Tang.

    Menurut Anadolu, terdahulu, akhbar harian melaporkan bahawa 280 orang masih hilang berikutan kejadian itu.

    Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee Ka-chiu sebelum ini berkata kebakaran di tujuh bangunan itu telah dapat dikawal.

    Kebakaran berlaku sekitar tengah hari Rabu di kompleks itu, yang terdiri daripada lebih 1,900 pangsapuri, dan merebak dengan cepat berikutan perancah buluh yang dipasang di bahagian luar untuk kerja pengubahsuaian.

    Kompleks itu terdiri daripada lapan menara dengan anggaran lebih 4,000 penduduk.

    Pihak berkuasa dilapor berkata, perancah buluh yang didirikan untuk pengubahsuaian dan bahan plastik buih yang menutup tingkap menyumbang dengan ketara kepada api merebak dengan cepat.

    “Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa individu yang bertanggungjawab di syarikat itu cuai, yang menyebabkan api merebak dengan cepat dan menyebabkan banyak kematian,” Superintendan Kanan Eileen Chung Lai-yee dilapor berkata.

    Lebih 140 kenderaan pemadam kebakaran dan lebih 800 anggota kecemasan dan bomba dilapor dikerahkan ke tempat kejadian.

  • 13 terbunuh, ramai cedera dalam serangan Israel ke atas pekan Beit Jinn di kawasan luar bandar Damsyik

    Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan ramai yang cedera dalam serangan Israel awal Jumaat ke atas pekan Beit Jinn dan jalan menuju ke Mazraat Beit Jinn di kawasan luar bandar Damsyik, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, korespondennya, memetik sumber tempatan, melaporkan 13 orang kehilangan nyawa, termasuk dua wanita dan dua kanak-kanak.

    Agensi berita itu melaporkan, saluran TV kendalian kerajaan Alikhbaria melaporkan dron Israel terus terbang di atas kawasan itu berikutan serangan, terutama di sepanjang jalan yang menghubungkan kedua-dua pekan itu.

    Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, tambahnya, ketika penduduk masih berusaha untuk mendapatkan mereka.

    Pasukan Pertahanan Awam dan dua ambulans dari direktorat kesihatan desa Damsyik memasuki kawasan itu untuk mengangkut orang mati dan merawat yang cedera berikutan serangan Israel, Anadolu memetik laporan Agensi Berita Arab Syria (SANA).

    Penyiar itu dilapor berkata, berpuluh-puluh keluarga melarikan diri dari Beit Jinn ke arah kawasan berdekatan yang lebih selamat selepas serangan itu.

    Menurut Anadolu, terdahulu, saluran itu melaporkan peronda Israel telah memasuki pekan itu dan bertempur seketika dengan penduduk tempatan sebelum berundur.

    Tentera Israel dilapor berkata dalam satu kenyataan, enam tentera Israel cedera, termasuk tiga dalam keadaan kritikal, semasa operasi itu.

    Ia mendakwa bahawa ia menahan anggota “Jaama Islamiya” dengan mendakwa mereka “beroperasi di kawasan Beit Jinn di selatan Syria dan melancarkan serangan terhadap orang awam Israel”.

    Menurut Anadolu, tiada sebarang komen oleh pihak berkuasa Syria mengenai serangan Israel dan tuntutan itu.

    Tentera Israel telah melakukan 47 serbuan di selatan Syria pada November, manakala data kerajaan menunjukkan tentera Israel telah melakukan lebih 1,000 serangan udara ke atas Syria dan lebih daripada 400 serbuan rentas sempadan ke wilayah selatan sejak Disember 2024, menurut Anadolu.

    Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada penghujung 2024, Israel dilaporkan meluaskan pendudukan di Dataran Tinggi Golan Syria dengan merampas zon penampan demiliterisasi, satu langkah yang melanggar Perjanjian Pemisahan 1974 dengan Syria.