Gaza

  • Serangan Israel dilapor mengorbankan 8 rakyat Palestin di Gaza dalam pelanggaran baharu gencatan senjata

    Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, dan mencederakan yang lain pada Khamis dalam serangan udara dan tembakan menyasarkan beberapa kawasan di seluruh Jalur Gaza, dalam pelanggaran terbaru perjanjian gencatan senjata tahun lalu, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Pesawat perang Israel menyerang sebuah rumah di bandar tengah Deir al-Balah dengan dua peluru berpandu, membunuh lima rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, lapor Anadolu memetik sumber yang memberitahunya.

    Sebilangan besar orang cedera dalam serangan itu dan dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa, kata sumber, memberi amaran bahawa jumlah kematian mungkin meningkat.

    Kawasan disasarkan terletak di luar kawalan Israel di bawah gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025, menurut seorang koresponden Anadolu.

    Tentera Israel juga membunuh dua rakyat Palestin di bandar yang sama selepas menyasarkan halaman rumah mereka, kata sumber perubatan, menurut Anadolu.

    Pasukan kecemasan di Hospital Abu Yousef al-Najjar juga menemui mayat seorang lelaki Palestin dari persimpangan Al-Alam di kawasan Mawasi di Rafah, kata sumber, lapor Anadolu.

    Menurut sumber terbabit, luka tembakan kelihatan pada tubuhnya.

    Serangan itu berlaku sejurus selepas seorang gadis Palestin cedera akibat tembakan Israel di kawasan tempat tentera Israel berundur di pekan Jabalia di utara Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata.

    Pasukan Israel juga menjalankan serangan artileri dan udara ke atas beberapa kawasan di seluruh Jalur Gaza, menurut sumber tempatan.

    Tentera Israel terus mengawal zon penampan selatan dan timur enklaf dan sebahagian besar utara Gaza, mengekalkan kawalan ke atas hampir 50% wilayah terbabit.

  • Trump kata Lembaga Keamanan untuk Gaza dibentuk

    Presiden AS Donald Trump berkata pada Khamis, Lembaga Keamanan untuk Gaza ditubuhkan dan ahli lembaga akan diumumkan tidak lama lagi, menurut berita Xinhua.

    “Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa LEMBAGA KEAMANAN telah dibentuk,” kata Trump di platform media sosialnya Truth Social, menggambarkannya sebagai “Lembaga Terhebat dan Paling Berprestij.”

    Kenyataan Trump itu dibuat sehari selepas utusan khasnya Steve Witkoff mengumumkan pelancaran fasa kedua perjanjian damai Gaza, dengan tumpuan kepada demiliterisasi, tadbir urus teknokratik dan pembinaan semula Jalur Gaza yang dilanda konflik.

    Menurut perjanjian damai itu, Lembaga Keamanan akan dipengerusikan oleh Trump sendiri.

  • Tentera Israel kata 6 rakyat Palestin terbunuh di selatan Gaza

    Pasukan Israel membunuh enam rakyat Palestin di kawasan selatan Jalur Gaza, kata tentera Israel pada Rabu, menurut berita Xinhua.

    Menurut jurucakap tentera, kereta kebal telah dihantar selepas tentera melihat enam individu bersenjata di barat Rafah pada Selasa, lapor Xinhua.

    Jurucakap itu dilapor berkata, militan telah melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta kebal, mencetuskan berbalas tembakan yang termasuk serangan udara.

    Menurut Xinhua, radio tentera Israel melaporkan dua tentera Israel mengalami kecederaan ringan dalam pertempuran itu.

    Sumber Palestin di Gaza melaporkan satu siri serangan udara di barat Rafah di selatan Jalur Gaza, di samping tembakan artileri, menurut Xinhua.

  • Sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak terbunuh di Gaza sejak gencatan senjata – UNICEF

    Sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Jalur Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025.

    Menurut berita Xinhua, jurucakap Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), James Elder, memberitahu pemberita pada taklimat PBB melalui pautan video dari Gaza bahawa agensi itu telah merekodkan laporan sekurang-kurangnya 60 kanak-kanak lelaki dan 40 kanak-kanak perempuan terbunuh di Jalur Gaza sejak gencatan senjata.

    “Kelangsungan hidup masih bersyarat. Walaupun pengeboman dan penembakan telah berkurangan semasa gencatan senjata, ia tidak berhenti,” katanya.

    Angka itu hanya termasuk insiden dengan butiran yang mencukupi untuk didokumenkan, jadi bilangan sebenar kanak-kanak Palestin yang terbunuh dijangka lebih tinggi, kata Elder, sambil menambah beratus-ratus kanak-kanak cedera.

    Sambil memberi amaran bahawa dua tahun perang telah meninggalkan kehidupan yang sukar untuk kanak-kanak Gaza, Elder menyeru agar akses bantuan dibuka dan pemindahan perubatan diperluas dengan ketara.

    Israel telah melancarkan serangan hampir setiap hari di Gaza sejak gencatan senjata yang rapuh itu berkuat kuasa, di mana pihak berkuasa kesihatan Gaza telah melaporkan lebih 400 kematian rakyat Palestin, lapor Xinhua.

  • 5 rakyat Palestin terbunuh akibat ribut di Gaza apabila struktur rosak runtuh

    Lima rakyat Palestin terbunuh di Jalur Gaza sejak malam Isnin selepas bangunan yang rosak akibat serangan udara Israel runtuh ketika ribut kuat melanda kawasan itu, lapor Anadolu memetik sumber pertahanan awam dan perubatan Palestin pada Selasa.

    Empat rakyat Palestin, termasuk seorang lelaki tua, seorang kanak-kanak, dan dua wanita, terbunuh selepas rumah-rumah yang retak dan struktur yang tidak stabil runtuh akibat hujan lebat dan angin kencang di Gaza, kata pegawai pertahanan awam.

    Beberapa yang lain cedera dalam insiden berasingan membabitkan bangunan yang sebahagiannya rosak di bandar Gaza ketika angin kencang semalaman.

    Seorang lelaki tua juga terbunuh pada Selasa ketika berada di dalam khemahnya dekat Masjid Al-Saraya yang musnah di bandar Gaza, ketika sisa-sisa menara masjid jatuh semasa ribut.

    Ribut itu telah memburukkan lagi keadaan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal yang tinggal di khemah-khemah di seluruh jalur itu, di mana angin kencang dan hujan lebat sejak waktu malam telah membanjiri, merobek, dan menumbangkan ribuan tempat perlindungan sementara, terutama di sepanjang pantai, kata saksi mata.

    Di tengah Gaza, beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal di kem pelarian Nuseirat mencari perlindungan di masjid dan bangunan yang sebahagiannya rosak selepas khemah mereka runtuh atau rosak teruk akibat ribut, menurut Anadolu memetik saksi yang memberitahunya.

    Pejabat media kerajaan Gaza dilapor berkata 127,000 daripada 135,000 khemah yang melindungi rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal tidak lagi sesuai untuk didiami kerana kesejukan teruk melanda jalur itu.

    Pengarah pejabat media Ismail Al-Thawabteh dilapor berkata, sistem cuaca telah mendedahkan kekurangan tempat tinggal, selimut dan pemanasan yang kritikal, terutama dalam kalangan keluarga yang tinggal di khemah usang dan di kawasan terpencil.

    Dia berkata, kekurangan selimut dan bekalan pemanasan melebihi 70% di seluruh Gaza, sambil menambah bahawa keluarga yang kehilangan tempat tinggal menghadapi suhu beku tanpa perlindungan mencukupi daripada hujan, kelembapan dan tanah yang sejuk.

    Kumpulan Palestin Hamas dilapor berkata, kematian berterusan kanak-kanak dan warga emas akibat cuaca sejuk dan rumah yang runtuh menunjukkan Gaza masih menanggung apa yang digambarkannya sebagai bentuk genosid yang paling teruk, mengkritik masyarakat antarabangsa kerana gagal menyampaikan bantuan mencukupi.

    Tentera Israel telah membunuh lebih 71,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 171,000 yang lain dalam serangan kejam sejak Oktober 2023 yang telah menyebabkan Gaza musnah.

    Walaupun gencatan senjata bermula pada 10 Oktober 2025, tentera Israel terus menyerang, membunuh 442 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 1,200 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza seperti dilaporkan Anadolu.

    Secara berasingan, menurut Anadolu, dua rakyat Palestin maut di Baitulmaqdis Timur yang diduduki apabila ribut menyebabkan banjir dan kecemasan di seluruh Tebing Barat yang diduduki.

    Gabenor Baitulmaqdis dilapor berkata dalam satu kenyataan bahawa Najah Marrar, 55, meninggal dunia selepas air hujan yang banyak membanjiri rumahnya di kawasan kejiranan Al-Zeitoun di pekan Anata, timur laut Baitulmaqdis yang diduduki, dengan paras air mencecah sekitar 150 sentimeter.

    Kenyataan itu menambah bahawa jirannya yang tua, Khalil Fouad Ghaith, 67, meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung akibat kejutan yang disebabkan oleh banjir.

    Jawatankuasa kecemasan kegabenoran itu dilapor berkata, kira-kira sembilan buah rumah telah dibanjiri sepenuhnya, menyebabkan penduduk dipindahkan, selepas percubaan awal untuk membuka saluran saliran gagal sebelum laluan alternatif kemudiannya diwujudkan untuk mengehadkan kerosakan.

  • Tiga rakyat Palestin terbunuh dalam pengeboman Israel di Gaza

    Tiga rakyat Palestin terbunuh pada Isnin apabila sebuah dron Israel menyasarkan sekumpulan orang awam di Khan Younis, selatan Jalur Gaza, menurut laporan web WAFA.

    Menurut WAFA, sumber tempatan melaporkan sebuah dron Israel menjatuhkan bom ke atas sekumpulan orang awam di selatan Khan Younis, membunuh tiga orang yang dikenal pasti sebagai Wissam Abdullah Salem al-Amour, Mahmoud Subhi Breika, dan Atef Samir al-Bayouk.

    Seorang wanita pula dilaporkan cedera akibat tembakan tentera Israel di kawasan Batn al-Samin, selatan Khan Younis.

  • 4 terbunuh dalam tembakan tentera Israel di Gaza, selatan Tebing Barat

    Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin terbunuh pada Ahad oleh tembakan tentera Israel di Gaza dan selatan Tebing Barat, menurut sumber Palestin, berita Xinhua melaporkan.

    Seorang rakyat Palestin terbunuh di kawasan kejiranan al-Tuffah, timur bandar Gaza, tempat tentera Israel sebelum ini telah berundur, kata sumber perubatan di Hospital Baptist al-Ahli dan saksi mata tempatan, lapor Xinhua.

    Dua rakyat Palestin terbunuh di kawasan Bani Suheila, timur Khan Younis di selatan Gaza, ketika tentera Israel menyasarkan dengan senjata berat beberapa orang awam yang cuba sampai ke rumah mereka, kata sumber perubatan di Hospital Nasser dan sumber keselamatan tempatan, menurut Xinhua.

    Seorang lagi rakyat Palestin, Shaker Falah Ahmed al-Ja’bari, 58 tahun, terbunuh di kawasan Khallat Hadour di Hebron, selatan Tebing Barat, ketika kenderaannya disasarkan oleh tentera Israel, didakwa dalam percubaan serangan rempuh kereta, kata Pihak Berkuasa Hal Ehwal Awam Palestin dan saksi mata tempatan, lapor agensi berita itu.

    Menurut mereka, tentera Israel menghalang kru Bulan Sabit Merah Palestin daripada sampai ke lelaki itu selepas dia diserang.

    Menurut Xinhua, Gabenor Nablus, Ghassan Daghlas, memberitahunya bahawa tentera Israel telah menyerbu Nablus, utara Tebing Barat, dengan mengerahkan bala bantuan tentera yang besar di sekitar kawasan terbabit.

    Sejak gencatan senjata Israel-Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, jumlah kematian di Gaza telah meningkat kepada 442 orang dengan 1,236 kecederaan, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza pada Ahad. Pasukan penyelamat dilaporkan telah menemui 688 mayat dalam tempoh itu. Dalam konflik yang lebih luas, sekurang-kurangnya 71,412 rakyat Palestin terbunuh dan 171,314 cedera sejak kempen ketenteraan Israel di Gaza bermula pada Oktober 2023.

    Sementara itu, tentera Israel menjalankan operasi di Tebing Barat hampir setiap hari. Ia biasanya menggelar operasi itu sebagai langkah “anti-keganasan” yang ditujukan kepada militan Palestin atau individu dianggap sebagai ancaman kepada Israel.

  • 15 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 5 kanak-kanak, dalam serangan udara Israel

    Sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel di Jalur Gaza sejak pagi Khamis, meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu memetik agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

    Pegawai kesihatan Palestin dilapor berkata, Israel menyasarkan khemah-khemah yang menempatkan orang terlantar, rumah dan sebuah sekolah di Gaza.

    Di kawasan kejiranan Zeytun di bandar Gaza, empat orang terbunuh dan ramai yang cedera apabila sebuah gudang dan sebuah rumah diserang.

    Di kawasan Mevasi di Khan Younis, serangan dron ke atas sebuah khemah mengorbankan empat rakyat Palestin, termasuk seorang wanita dan dua adik-beradik yang merupakan kanak-kanak.

    Di Kem Pelarian Jabalia, seorang terbunuh dan lapan, termasuk kanak-kanak, cedera apabila sebuah sekolah yang melindungi orang terlantar diserang.

    Juga dilaporkan di Beit Lahia, Deir al-Balah dan Kem Pelarian Bureij, terdapat korban dalam serangan yang menyasarkan khemah dan rumah.

    Pesawat perang Israel juga melancarkan serangan udara berat di barat laut bandar Gaza dan kawasan timur Khan Younis, lapor Anadolu, di beberapa kawasan, amaran pemindahan telah dikeluarkan, menyebabkan panik dan gelombang perpindahan.

    Kementerian Kesihatan Gaza dilapor berkata, walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, pelanggaran Israel masih berterusan, dengan 425 rakyat Palestin terbunuh dan 1,206 cedera dalam pelanggaran itu.

    Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, dilapor berkata menyasarkan orang awam dan tempat perlindungan adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyediakan perlindungan segera kepada orang awam.

  • 4 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Gaza

    Empat rakyat Palestin terbunuh dan tiga lagi cedera pada Khamis dalam dua serangan udara Israel berasingan di Khan Younis, selatan Gaza, menurut berita Xinhua memetik sumber Palestin.

    Mahmoud Bassal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, dilapor berkata pasukan penyelamat menemui mayat tiga orang dan memindahkan tiga individu yang cedera, termasuk seorang dalam keadaan kritikal, selepas serangan udara melanda khemah milik keluarga al-Abadla di kawasan Mawasi.

    Saksi mata dilapor berkata, sebuah dron Israel melepaskan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu ke arah khemah terbabit.

    Dalam satu lagi serangan, Xinhua memetik sumber perubatan Palestin, melaporkan seorang lelaki Palestin berusia 39 tahun terbunuh apabila sebuah dron Israel menyasarkan kawasan Sheikh Nasser dekat Garisan Kuning di Khan Younis.

    Menurut berita Xinhua, pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata hospital menerima empat mayat dan tujuh yang cedera dalam 48 jam lalu. Menurut mereka, sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober tahun lalu, serangan Israel telah membunuh 425 orang dan mencederakan 1,206 yang lain. Sejak Oktober 2023, jumlah kematian di Gaza dilapor mencecah 71,395 orang, dengan 171,287 cedera.

  • Militia disokong Israel bunuh dua anggota Hamas di Gaza

    Militia Palestin disokong Israel berkata pada Rabu, ia membunuh dua operatif Hamas di selatan Gaza, menandakan cabaran baharu kepada Hamas selepas Israel memberi kuasa kepada pesaingnya di kawasan di bawah kawalan tentera Israel, menurut laporan Reuters.

    Kumpulan bersenjata itu, yang dikenali sebagai Pasukan Popular, berkata dalam satu kenyataan, ia telah menjalankan serbuan di Rafah, membunuh dua anggota Hamas yang enggan menyerah diri dan menahan yang ketiga, lapor Reuters, ia berkongsi gambar yang dikatakan menggambarkan salah seorang lelaki yang terbunuh.

    Rafah dikatakan berada di wilayah di bawah kawalan Israel di bawah terma perjanjian Israel-Hamas pada Oktober.

    Pasukan Popular, yang diasaskan oleh pemimpin Badwi bersenjata anti-Hamas, Yasser Abu Shabab, dipercayai sebagai kumpulan terbesar yang beroperasi di kawasan yang dikawal Israel, menurut Reuters.

    Abu Shabab terbunuh pada Disember dalam apa yang digambarkan oleh kumpulan itu sebagai permusuhan keluarga, menurut Reuters, dia digantikan oleh timbalannya Ghassan Duhine, yang berikrar tidak akan berhenti dalam memerangi Hamas.

    Pasukan Popular dan lain-lain telah melaporkan lebih ramai rekrut sejak perjanjian Oktober berkuat kuasa.