Brazil

  • Angka maut akibat serangan Israel ke atas Lubnan meningkat

    Sejak 2 Mac lalu, serangan udara Israel di Lubnan telah membunuh 3,151 orang dan mencederakan 9,571 orang, lapor Al Jazeera memetik Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Agensi Berita Nasiona (NNA).

    Orang yang terkorban termasuk 123 petugas perubatan, sekurang-kurangnya 210 kanak-kanak dan hampir 300 wanita, menurut statistik dikongsi oleh pegawai kesihatan, lapor Al Jazeera.

  • Bahrain penjarakan 9 seumur hidup kerana kaitan dengan IRGC

    Sebuah mahkamah Bahrain menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada sembilan orang dan dua orang lagi kepada tiga tahun penjara kerana bekerjasama dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran untuk menjalankan “tindakan bermusuhan dan pengganas” terhadap Bahrain, lapor Al Jazeera memetik agensi berita negara itu.

    Defendan terbabit dalam mengumpul maklumat di tapak sensitif dan memudahkan pemindahan kewangan berkaitan, Al Jazeera memetik laporan itu.

  • Iran tembak jatuh dron pengintip Israel di wilayah Hormozgan

    Tentera Iran menembak jatuh sebuah dron pengawasan Israel di wilayah Hormozgan, lapor Al Jazeera memetik agensi berita Mehr Iran.

    Serpihan dron Orbiter yang berkecai ditemui dengan kerjasama pasukan tentera laut Iran, Al Jazeera memetik Mehr.

  • Iran gantung lelaki kerana mengintip semasa perang dengan AS dan Israel

    Iran telah menghukum mati seorang atas tuduhan berkaitan dengan menghantar maklumat kepada AS dan Israel semasa perang, kata agensi berita Mizan badan kehakiman Iran, lapor berita Al Jazeera.

    Individu terbabit, yang dikenal pasti sebagai Mojtaba Kian, telah menghantar data mengenai industri pertahanan Iran kepada “musuh”, Al Jazeera memetik laporan agensi berita itu.

  • 3 sekeluarga terbunuh dalam serangan Israel di tengah Gaza

    Sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk seorang berusia satu tahun, terbunuh dan beberapa orang cedera dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Nuseirat di tengah Jalur Gaza, lapor Al Jazeera memetik agensi berita Palestin WAFA.

    Menurutnya, pegawai perubatan memberitahu WAFA, Mohammad Ibrahim Abu Mlaweh, 38; isterinya, Alaa Majdi Zaqlan, 36; dan anak lelaki mereka yang berusia satu tahun, Osama, terbunuh apabila pesawat Israel mengebom sebuah apartmen di kem itu.

  • Tiada keputusan boleh dibuat tanpa pemimpin tertinggi Iran – Pezeshkian

    Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata tiada keputusan mengenai perjanjian AS-Iran akan dibuat tanpa kebenaran Pemimpin Tertinggi Mojtaba Khamenei, lapor berita Al Jazeera.

    “Sebarang kenyataan, analisis atau pendirian yang membawa kepada perpecahan dalam masyarakat, sebenarnya, adalah untuk memburukkan lagi kerosakan musuh,” Pezeshkian dipetik sebagai berkata oleh Agensi Berita Tasnim, menurut Al Jazeera.

    “Tiada keputusan di negara ini akan dibuat di luar kerangka Majlis Keselamatan Negara Tertinggi dan tanpa kebenaran pemimpin tertinggi. Pentadbiran negara memerlukan satu keputusan dan kepatuhan kolektif,” katanya.

  • Iran ‘penaja keganasan utama dunia’ – Rubio

    Diplomat tertinggi AS menuduh Iran menaja ‘keganasan’ di seluruh dunia, menurut berita Al Jazeera.

    “Tiada negara di bumi ini yang menaja lebih banyak keganasan daripada Iran,” kata Rubio pada sidang akhbar di New Delhi, menurut Al Jazeera.

    Dia menyatakan bahawa Tehran tidak membelanjakan wang untuk membina jalan raya dan meningkatkan kehidupan rakyatnya tetapi sebaliknya melabur dalam menaja Hizbullah dan Hamas.

    Hizbullah dan Hamas adalah sebahagian daripada “paksi penentangan” Iran, rangkaian kumpulan bersenjata dan politik di seluruh Timur Tengah yang bersekutu dengan Iran menentang Israel, menurut Al Jazeera.

    “Penaja keganasan utama dunia ialah Iran. Lihat apa yang mereka lakukan sekarang. Mereka menahan kapal awam sebagai tebusan. … Mereka telah meletakkan ranjau di laluan air antarabangsa,” katanya.

  • Iran tidak cari senjata nuklear – Pezeshkian

    Presiden Masoud Pezeshkian berkata, Tehran tidak mencari senjata nuklear, ketika rundingan dengan AS mengenai program nuklear Iran diteruskan, menurut berita Al Jazeera.

    “Kami bersedia untuk meyakinkan dunia bahawa kami tidak mencari senjata nuklear,” kata Pezeshkian, Al Jazeera memetik laporan media tempatan.

    Tetapi dia menekankan, pasukan rundingan Iran “tidak akan berkompromi” dalam hal “kehormatan dan maruahnya”.

  • Ibu negara Ukraine, Kyiv, dilanda serangan peluru berpandu dan dron

    Ibu negara Ukraine, Kyiv, dilanda serangan peluru berpandu dan dron besar-besaran awal pagi Ahad, sejurus selepas tentera udaranya memberi amaran bahawa Rusia mungkin melancarkan peluru berpandu balistik hipersonik Oreshnik, lapor Reuters.

    Letupan dilapor bergema di seluruh bandar sejurus selepas jam 1 pagi waktu tempatan selepas tentera udara mengumumkan ancaman pelancaran Oreshnik di saluran Telegramnya.
    Sekurang-kurangnya tiga orang cedera dan beberapa bangunan kediaman rosak di seluruh bandar, kata Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, di Telegram, menurut Reuters.

  • Bekas menteri pertahanan Israel sifatkan perjanjian Iran malapetaka, tuduh Netanyahu jadikan Israel ‘republik pisang’

    Bekas Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman menuduh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menjadikan Israel sebagai “republik pisang”, ketika kemarahan semakin meningkat terhadap usaha pimpinan AS untuk mencapai perjanjian dengan Iran, lapor Al Jazeera.

    Pemimpin parti nasionalis sayap kanan jauh Yisrael Beiteinu berkata perjanjian dengan Tehran akan menjadi bencana kerana ia akan meninggalkan kepimpinan Iran yang utuh.

    “Sebarang perjanjian dari sudut pandangan kami adalah satu malapetaka, kerana sebarang perjanjian akan menyebabkan ayatollah berkuasa,” dia dilapor berkata kepada program Meet the Press Channel 12.

    Dia juga menyerang elemen yang dilaporkan mengenai potensi perjanjian, termasuk pembubaran aset Iran bernilai $110 bilion, dan membenarkan Iran menyambung semula penjualan minyak dan gas tanpa had.

    Ditanya mengenai pendekatan Presiden Trump terhadap Netanyahu dan pengecualian Israel daripada sebahagian rundingan, Lieberman berkata Trump memalukan Israel “dengan restu Netanyahu”.