beruang

  • Pengawal Revolusi Iran dilapor sasar kedudukan AS sebagai tindak balas terhadap serangan

    Pengawal Revolusi Iran pada Sabtu berkata ia menyasarkan kedudukan tentera AS di rantau itu, sebagai tindak balas terhadap serangan baharu AS terhadap Iran, menurut berita Reuters.

    Pengawal tidak memberikan butiran mengenai kedudukan AS yang disasarkan.

    Menurut Reuters, kenyataan IRGC itu dikeluarkan selepas agensi berita separa rasmi ISNA menyiarkan kenyataan terdahulu yang dikatakannya daripada IRGC mengatakan tindak balas pasukan itu terhadap serangan baharu AS terhadap Iran akan “pantas dan tegas” sebelum kemudian memadamkan kenyataan itu.

  • Letupan dilapor kedengaran selepas projektil landa kawasan pantai di selatan Iran

    Letupan kedengaran pada malam Jumaat di selatan Daerah Sirik Iran, wilayah Hormozgan, selepas projektil melanda kawasan di kampung pantai Tahrui, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita IRIB dikendalikan oleh kerajaan, memetik sumber tentera.

  • Gempa magnitud 4.7 landa pantai utara Venezuela

    Gempa bumi dengan magnitud 4.7 melanda pantai utara Venezuela pada Jumaat, lapor berita Xinhua memetik Pusat Seismologi Euro-Mediterranean (EMSC), dua hari selepas dua gempa bumi dahsyat melanda wilayah utara dan tengah negara itu.

    Gempa bumi itu direkodkan pada 2216 GMT.

  • Tentera AS dilapor serang Iran

    Tentera AS melancarkan serangan terhadap Iran pada Jumaat, kata Perintah Pusat dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pesawat AS menyerang lokasi penyimpanan peluru berpandu dan dron Iran serta tapak radar pantai selepas serangan Tehran ke atas sebuah kapal komersial di Selat Hormuz, menurut berita Reuters.

  • PIALA DUNIA 2026

    SENEGAL 5 – 0 IRAQ

  • PIALA DUNIA 2026

    NORWAY 1 – 4 FRANCE

  • Angka maut gempa Venezuela meningkat kepada sekurang-kurangnya 920 orang

    Angka maut akibat bencana itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 920 orang dan lebih 51,000 orang hilang, menurut berita AP.

    Gempa bumi dahsyat itu berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud, melanda lewat Rabu.

  • Pesawat kecil dilapor terhempas ke bangunan tertinggi di Beijing

    Sebuah pesawat kecil terhempas ke bangunan tertinggi di Beijing pada Jumaat, menurut berita AP memetik penyedia perkhidmatan pengesanan penerbangan global Flightradar24 mengesahkan, susulan laporan saksi dan pemindahan di daerah perniagaan bandar itu.

    Menurut AP, dalam catatan media sosial, Flightradar24 menyiarkan laluan penerbangan pesawat, Sunward SA 60L Aurora, yang berlepas dari lapangan terbang kira-kira 50 kilometer (30 batu) di timur Beijing. Ia menuju ke barat dan berakhir di sebelah timur East Third Ring Road sejurus sebelum jam 6 petang waktu tempatan.
    Penyedia data penerbangan itu berkata pesawat itu terhempas di Menara CITIC, juga dikenali sebagai China Zun, yang menjulang lebih daripada 1,700 kaki (528 meter), di sebelah timur jalan lingkaran utama dalam gugusan bangunan pencakar langit, menurut AP.

    Menara CITIC setinggi 108 tingkat, berbentuk seperti bekas wain Cina purba, merupakan satu daripada bangunan pencakar langit yang paling dikenali di Beijing.

    Tidak diketahui dengan segera punca nahas di bandar yang mempunyai kawalan ruang udara yang ketat itu, termasuk larangan dron baru-baru ini. Maklumat mengenai juruterbang juga tidak tersedia dengan segera, lapor AP, tiada maklumat segera sama ada terdapat sebarang mangsa di darat.

  • 4 rakyat Palestin, termasuk 3 polis maut serangan Israel di Gaza

    Tiga polis dan seorang awam Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan udara Israel di Jalur Gaza pada Jumaat, menurut berita Xinhua memetik agensi berita rasmi Palestin WAFA dan sumber perubatan.

    Menurut Xinhua, WAFA melaporkan sebuah dron Israel melanda sebuah kenderaan dekat pintu masuk kem pelarian al-Maghazi, membunuh tiga orang dan mencederakan beberapa yang lain.

    Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara Palestin mengesahkan dalam satu kenyataan, tiga orang yang terkorban adalah polis, menurut Xinhua.

    Secara berasingan, sumber perubatan tempatan dilappor berkata seorang pemuda Palestin maut dalam bedilan Israel ketika mengumpul kayu api di pekan utara Beit Lahia.

    Tentera Israel masih belum mengulas mengenai serangan itu, menurut Xinhua.

    Angka terkini daripada pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza, 1,031 rakyat Palestin telah terbunuh akibat tembakan tentera Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu, menjadikan jumlah kematian sejak Oktober 2023 kepada 73,043, menurut Xinhua.

  • Gempa 5.0 magnitud landa 58 km selatan Boca de Yuma, Republik Dominika

    Gempa bumi berukuran 5.0 magnitud menggegarkan 58 km selatan Boca de Yuma, Republik Dominika, pada 1606 GMT Jumaat, menurut berita Xinhua memetik Tinjauan Geologi AS (USGS).

    Pusat gempa, dengan kedalaman 71.3 km, pada mulanya ditentukan berada pada 17.86 darjah latitud utara dan 68.54 darjah longitud barat.