Pesawat kecil dilapor terhempas ke bangunan tertinggi di Beijing

Sebuah pesawat kecil terhempas ke bangunan tertinggi di Beijing pada Jumaat, menurut berita AP memetik penyedia perkhidmatan pengesanan penerbangan global Flightradar24 mengesahkan, susulan laporan saksi dan pemindahan di daerah perniagaan bandar itu.

Menurut AP, dalam catatan media sosial, Flightradar24 menyiarkan laluan penerbangan pesawat, Sunward SA 60L Aurora, yang berlepas dari lapangan terbang kira-kira 50 kilometer (30 batu) di timur Beijing. Ia menuju ke barat dan berakhir di sebelah timur East Third Ring Road sejurus sebelum jam 6 petang waktu tempatan.
Penyedia data penerbangan itu berkata pesawat itu terhempas di Menara CITIC, juga dikenali sebagai China Zun, yang menjulang lebih daripada 1,700 kaki (528 meter), di sebelah timur jalan lingkaran utama dalam gugusan bangunan pencakar langit, menurut AP.

Menara CITIC setinggi 108 tingkat, berbentuk seperti bekas wain Cina purba, merupakan satu daripada bangunan pencakar langit yang paling dikenali di Beijing.

Tidak diketahui dengan segera punca nahas di bandar yang mempunyai kawalan ruang udara yang ketat itu, termasuk larangan dron baru-baru ini. Maklumat mengenai juruterbang juga tidak tersedia dengan segera, lapor AP, tiada maklumat segera sama ada terdapat sebarang mangsa di darat.