Slovakia kata Lubnan tidak boleh jadi ‘Gaza lain’, gesa Israel hormat perjanjian AS-Iran

Menteri Hal Ehwal Luar Slovakia, Juraj Blanar, berkata pada Isnin bahawa Lubnan tidak boleh menjadi “Gaza lain” dan menggesa Israel untuk menghormati perjanjian dibuat antara AS dan Iran, menurut berita Anadolu memetik agensi berita Slovakia, TASR.

Blanar, yang berucap bersama Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares semasa sidang akhbar di Bratislava, menekankan keperluan penyelesaian diplomatik untuk konflik di Timur Tengah, termasuk Jalur Gaza dan ketegangan membabitkan Iran.

“Kami tidak mahu Lubnan menjadi bahagian lain dari Gaza, dan oleh itu, adalah perlu bagi Israel untuk mematuhi perjanjian yang telah dimuktamadkan antara Amerika Syarikat dan Iran,” kata Blanar, menurut berita itu.

Dia menekankan bahawa Bratislava dan Madrid berkongsi pendekatan serupa terhadap konflik antarabangsa, mengutamakan diplomasi, dialog dan menghormati undang-undang antarabangsa.

Blanar berkata, Slovakia dan Sepanyol melihat “pendapat yang hampir sama mengenai semua konflik yang sedang berlaku” sambil menambah bahawa mereka bersetuju mengenai keperluan untuk “peranan diplomatik aktif” oleh EU dalam usaha untuk menamatkan perang di Ukraine.

Albares mengulangi pendirian Sepanyol untuk “keamanan yang adil dan berkekalan di Ukraine” dan menekankan bahawa undang-undang antarabangsa mesti dihormati “di mana-mana dan dalam setiap konteks”.

Kedua-dua menteri itu juga membincangkan kerjasama pertahanan dan menyatakan hubungan ekonomi yang semakin berkembang antara Slovakia dan Sepanyol, terutama dalam sektor automotif, infrastruktur, kereta api dan pertahanan.