Dua maut nahas jet pejuang Perancis semasa penerbangan latihan

Dua orang terkorban apabila sebuah jet pejuang Mirage 2000D Tentera Udara Perancis terhempas semasa penerbangan latihan di timur laut Perancis, pihak pendakwa raya mengesahkan pada Khamis, berita Anadolu memetik laporan penyiar BFMTV.

“Bukti yang ditemui di lokasi kejadian mengesahkan dua kematian,” kata pejabat pendakwa raya Metz kepada penyiar itu.
“Walau bagaimanapun, bukti ini perlu disahkan melalui analisis DNA yang sedang dijalankan bagi tujuan pengecaman.”

Pihak berkuasa sebelum ini telah mengesahkan kematian juruterbang, sementara operasi mencari juru arah pesawat terbabit diteruskan.

Jet itu, yang beroperasi dari pangkalan udara Nancy-Ochey, terhempas lewat Selasa di jabatan Meurthe-et-Moselle, dekat Nancy.

Nahas itu berlaku sekitar jam 11.35 malam waktu tempatan (2135GMT) di antara kampung Rogeville, Domevre-en-Haye, dan Tremblecourt.