Serangan dron Israel membunuh adik-beradik Palestin di kem khemah Gaza

Serangan dron Israel pada Sabtu membunuh dua adik-beradik Palestin, termasuk seorang gadis berusia 15 tahun, di selatan Gaza dan mencederakan sekurang-kurangnya tujuh orang lain, menurut hospital Nasser, tempat mangsa dibawa, lapor berita AP.

Serangan itu menyasarkan khemah-khemah yang melindungi penduduk Palestin yang terlantar di kem Muwasi yang luas, membunuh Islam Moussa berusia 15 tahun dan abangnya berusia 30 tahun, Abdullah Moussa, lapor AP.

Tentera Israel mengakui ia menyerang kawasan Muwasi, dengan mengatakan ia menyasarkan seorang militan Hamas tetapi tidak segera memberikan maklumat lanjut.

Di halaman hospital, saudara-mara menangis melihat mayat yang dilitupi kain kafan putih.

Menurut AP, juga pada Sabtu, rakyat Palestin melaporkan terdengar bunyi dentuman kuat di bandar Gaza.

Tentera Israel menyerang sebuah khemah yang melindungi penduduk Palestin yang terlantar di barat bandar Gaza, mencederakan sekurang-kurangnya 12 orang, AP memetik hospital Shifa.

Perkhidmatan ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dilapor berkata, dua orang cedera parah dan majoriti mereka yang cedera adalah wanita.

Tentera Israel dilapor berkata, ia menyerang seorang militan Hamas dan ia tidak menyedari orang awam yang tidak terlibat cedera.