Rusia berkata pada Isnin, sistem pertahanan udaranya menjatuhkan 519 dron sayap tetap Ukraine semalaman, sementara Kiev melaporkan serangan peluru berpandu dan dron Rusia ke ibu kota menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera, menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, Kementerian Pertahanan Rusia berkata dron terbabit ditembak jatuh di 20 wilayah, termasuk wilayah Belgorod, Bryansk, Kursk, Kaluga, Leningrad, Moscow, Rostov dan Yaroslavl.
Pihak berkuasa wilayah dilapor berkata seorang wanita terbunuh di bandar Kerch di Crimea, dengan beberapa orang lain cedera di Crimea dan wilayah Yaroslavl.
Di wilayah Kaluga, serangan dron mencetuskan kebakaran di sebuah perusahaan perindustrian di daerah Dzerzhinsky, tanpa sebarang korban jiwa dilaporkan selepas pemindahan, Xinhua memetik gabenor Vladislav Shapsha.
Gabenor wilayah Leningrad Alexander Drozdenko dilapor berkata 56 dron ditembak jatuh di wilayah itu, sambil menambah bahawa infrastruktur di tempat latihan Luga dan dekat pelabuhan Ust-Luga dan Vysotsk rosak. Tiada korban jiwa dilaporkan.
Menurut Xinhua, Kementerian Pertahanan Rusia berkata angkatan tenteranya telah menjalankan serangan semalaman berskala besar ke atas sasaran berkaitan ketenteraan di Kiev dan wilayah Ukraine yang lain menggunakan dron dan senjata jitu jarak jauh.
Menurut kementerian itu, lapor Xinhua, serangan itu menyasarkan perusahaan perindustrian ketenteraan, infrastruktur tenaga di Kiev dan wilayah Kiev, dan infrastruktur padang terbang tentera di wilayah Dnipropetrovsk, Poltava, Cherkasy, Chernihiv dan Kiev.
Pihak berkuasa Ukraine berkata sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 46 yang lain cedera dalam serangan ke atas Kiev, menandakan serangan besar kedua ke atas ibu negara Ukraine dalam masa kurang seminggu, lapor Xinhua.
Datuk bandar Kiev, Vitali Klitschko dilapor berkata, 27 daripada mereka yang cedera, termasuk tiga kanak-kanak, dimasukkan ke hospital. Pentadbiran bandar dilapor berkata bangunan kediaman rosak di beberapa daerah, dengan operasi pembersihan dijalankan di lebih 20 tapak.
Pentadbiran Ketenteraan Wilayah Kiev berkata 15 orang lagi cedera di wilayah sekitarnya, lapor Xinhua.
Tentera Udara Ukraine dilapor berkata, Rusia melancarkan 351 dron dan 68 peluru berpandu semalaman, sambil menambah bahawa 326 dron dan 37 peluru berpandu dipintas.