Jumlah kematian akibat gempa bumi Colombia meningkat kepada 132, lebih 570 cedera

Jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda barat Colombia pada Isnin meningkat kepada 132, dengan lebih 570 yang lain cedera, menurut berita Xinhua memetik kerajaan Colombia dalam kemas kini terbarunya.

Menurut laporan awal, 32 bandar di seluruh negara terjejas teruk, manakala lima ibu kota jabatan – Pereira, Cali, Quibdo, Manizales dan Armenia – kekal di bawah amaran merah. Pereira melaporkan 60 kematian, diikuti oleh Cali dengan 15, Quibdo dengan lapan dan Manizales dengan empat, Xinhua memetik laporan itu.

Sebanyak 86 bangunan runtuh, manakala operasi di tujuh lapangan terbang telah digantung akibat kerosakan berkaitan gempa bumi.

Presiden Colombia Abelardo de la Espriella dilapor berkata sebelum ini bahawa kerajaan telah mengisytiharkan keadaan bencana kebangsaan untuk tindak balas terhadap kesan gempa bumi.

Xinhua melaporkan, menurut Perkhidmatan Geologi Colombia, gempa bumi itu berlaku pada jam 7:34 pagi waktu tempatan pada Isnin. Pusat gempanya berhampiran San Jose del Palmar, di jabatan Choco, pada kedalaman 96 km.